K Jaan Baru Tanpa Dap Amanah Boleh Cubalah Kata Dr M
 Ramieza Wahid  
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjelaskan  bahawa pihak yang ingin membentuk kerajaan baru dengan mengetepikan  Amanah dan DAP boleh mencuba melaksanakan gerakan tersebut.
“Mereka boleh cuba”, katanya ringkas.
Beliau  berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media forum  Yayasan Sejahtera 2019 sempena hari antarabangsa pembasmian kemiskinan  di Kuala Lumpur hari ini. 
Semalam  PH mendakwa, bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein,  bertanggungjawab menggerakkan usaha tersebut dalam membentuk kerajaan  baru.
Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, PH membayangkan  gerakan mencadangkan idea itu itu dilakukan Hishammuddin bersama  beberapa pihak lain.
Hishammuddin dalam penulisan dan wawancaranya  memberi isyarat yang cenderung untuk kembali kepada politik dan  pentadbiran berasaskan kaum.
"Ini adalah amalan politik usang yang bercanggah sama sekali dengan politik inklusif yang dipelopori PH," kata kenyataan itu.
Ia  ditandatangani Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah; Setiausaha  Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki  Yahya; Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir; dan Setiausaha Organisasi  DAP, Anthony Loke.
Terdahulu semasa berucap di Dewan Rakyat,  Presiden PKR, Anwar Ibrahim, turut membuat kenyataan mengenai usaha  pihak tertentu dengan menyentuh pembabitan Hishamuddin.
Ditanya  adakah pernah berjumpa Hishamuddin yang juga merupakan anggota parlimen  Sembrong untuk mengadakan perbincangan berkenaan perkara tersebut,  beiau berkata tidak.
“Tiada, tidak pernah jumpa”, katanya.
Menjawab soalan pemberita di lobi parlimen, Hishammuddin hari ini berkata dakwaan itu tidak masuk akal.
Untuk  rekod, pada 1 Ogos lalu, Dr Mahathir mengesahkan beberapa pemimpin  pembangkang dari Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertemu  beliau.
Bagaimanapun, Hishammuddin menegaskan perjumpaan tersebut bertujuan untuk memikirkan masa hadapan negara dan rakyat terutama dalam usaha pengukuhan ekonomi dan perpaduan. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/10/kjaan-baru-tanpa-dap-amanah-boleh.html