Juruukur Dihanyut Arus Sungai Puchong
Puchong : Seorang juruukur sungai dikhuatiri lemas setelah dihanyutkan arus deras, ketika bertugas menyukat keluasan Sungai Puchong berhampiran Taman Angkasa di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian 11.28 pagi, enjin bot yang dinaiki Ahmad Firdaus Muhammad, 24, dari Jeli, Kelantan dilaporkan rosak, menyebabkan mangsa bersama seorang lagi rakan setugasnya bertindak terjun daripada bot berkenaan, untuk menundanya ke tebing sungai.
Menurut kakak mangsa Nor Asma Muhammad, 37, rakan adiknya itu berjaya berenang ke tebing sungai, bagaimanapun adiknya gagal berbuat demikian setelah dihanyutkan arus deras.
“Saya dimaklumkan ketika kejadian, Aus (Firdaus) telah berjaya berdiri di atas sebuah batu di tengah sungai itu, tetapi dia kemudian dihanyutkan arus deras, setelah terjun sekali lagi untuk berenang ke tebing sungai,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian petang ini.
Mangsa dilaporkan baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang penerbangan di Universiti Kuala Lumpur dan majlis graduasinya dijangka akan berlangsung pada bulan Oktober ini.
Sementara itu,Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil Jalaluddin Abd Mubin berkata seramai 20 anggota serta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil serta Sri Petaling bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.
“Unit anjing pengesan turut digunakan untuk mengesan mangsa, selain kayak untuk operasi mencari sepanjang Sungai Puchong menghala ke Puchong yang mempunyai ke dalaman tiga meter itu,” katanya.
Menurutnya, keluasan kawasan pencarian setakat ini sejauh 500 meter dari kawasan mangsa dilaporkan terjatuh dan operasi akan diteruskan bergantung pada keadaan sungai dan cuaca,” katanya.
Sumber : Bernama
The post Juruukur Dihanyut Arus Sungai Puchong appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2020/02/18/juruukur-dihanyut-arus-sungai-puchong/