Juruterapi Oku Penglihatan Lega Pusat Refleksologi Bakal Kembali Beroperasi
Bernama
Umpama  “rumput yang sudah kering, ditimpa hujan segar kembali” - demikian  menggambarkan perkhabaran yang disampaikan kerajaan dua hari lepas  mengenai kebenaran spa dan pusat refleksologi beroperasi kembali bermula  1 Julai ini bagi kira-kira 3,000 juruterapi kurang upaya penglihatan di  negara ini.
Ini kerana, sejak pelaksanaan  Perintah Kawalan  Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac, disusuli PKP Bersyarat pada 4 Mei dan  PKP Pemulihan pada 10 Jun, mereka langsung tiada pendapatan berikutan  subsektor pelancongan itu dikecualikan kerajaan daripada beroperasi bagi  membendung penularan COVID-19 di negara ini.
Mengulas keputusan  kerajaan membenarkan kembali operasi subsektor itu, Ketua Pegawai  Eksekutif Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) George Thomas berkata  sepanjang hampir tiga bulan lepas, golongan berkenaan tidak dapat  melakukan apa-apa pekerjaan untuk menampung kehidupan.
“Tidak  seperti OKU lain, mereka terbatas pergerakan. Sepanjang tempoh PKP,  kami turut memberi bantuan barangan runcit dan makanan kepada mereka di  sekitar Kuala Lumpur bagi mengurangkan bebanan," katanya kepada Bernama  di Kuala Lumpur.
Menurutnya, sebagai persediaan untuk beroperasi  semula,  MAB telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk  dipatuhi oleh pemain industri berkenaan demi menjamin keselamatan  juruterapi dan juga pelanggan.
"SOP akhir masih di peringkat  Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan masih belum diserahkan kepada kami.  Diharap ia akan diterima dalam tempoh sehari dua ini sebelum pusat urut  berkenaan kembali beroperasi," katanya.
Beliau  juga berharap kerajaan dapat menanggung kos saringan  COVID-19 untuk  golongan itu memandangkan sumbangan dan derma yang diterima pihaknya  semakin berkurangan. 
“Kita minta agar kerajaan beri mereka  lakukan swab test secara percuma. Mereka ini tiada pendapatan, kos untuk  buat ujian itu agak mahal sekitar RM300 selain perlu membeli barangan  untuk operasi seperti pembelian pelitup separyh muka, sarung tangan dan  sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, Thomas berkata bantuan  sosial menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi OKU dan  ibu tunggal dengan pemberian RM300 secara sekali gus sebelum ini dapat  mengurangkan beban golongan masyarakat dalam menghadapi waktu sukar  tersebut. 
Sementara itu, Hermi Abd Rahim, 42, meluahkan  kesyukuran kerana dapat kembali bekerja setelah hampir tiga bulan tiada  sumber pendapatan untuk menyara keluarga.
“Kita perlu fikir  bagaimana untuk beroperasi semula dalam situasi ketika ini dengan  mengamalkan setiap SOP yang akan digariskan. Kerajaan sudah buka laluan,  jadi kena cuba juga walaupun agak asing,” kata anak jati Alor Setar,  Kedah itu yang berkecimpung dalam bidang berkenaan sejak 1996.
Vanagopal  Subramaniam, 36, yang berpengalaman hampir 15 tahun dalam bidang itu  pula berharap agar kerajaan terus mempromosikan sektor tersebut kepada  orang ramai.
"Saya harap kerajaan memberi perhatian agar sektor  refleksologi dan urutan ini difahami kebaikannya dan orang ramai akan  mencubanya," kata bekas atlet paralimpik lontar peluru itu.- Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/juruterapi-oku-penglihatan-lega-pusat.html