Jualan Kenderaan Jenama Proton Meningkat Pada Bulan Jun
Jualan kenderaan di Malaysia meningkat naik semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada bulan Jun susulan insentif daripada pihak Kerajaan dan permintaan meningkat yang telah melonjakkan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) berbanding pada tahun 2019. PROTON turut memperoleh keuntungan daripada pertumbuhan ini kerana jualan bagi jenama automotif Malaysia dianggarkan merangkumi 66.4% pasaran pada bulan ini.
Dengan jualan sebanyak 9,623 unit, Syarikat mencatat bulan penjualan kedua terbaik pada tahun 2020 dengan tiga model mendahului jualan dalam segmen masing-masing. Angka tersebut juga menunjukkan pertumbuhan 69.5% berbanding Mei 2020 dan kenaikan 26.3% berbanding bulan yang sama pada tahun 2019 ketika dunia masih belum lagi dijangkiti wabak.
PROTON mengukuhkan kedudukan pegangan pasaran apabila Saga terus mencatat jualan terbaik bulanan hampir enam tahun Dengan angka pegangan pasaran setakat ini sebanyak 21.2%, kutipan jualan PROTON untuk separuh pertama tahun 2020 menunjukkan kenaikan 6.5% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Jurang jumlah keseluruhan berbanding 2019 juga menurun menjadi hanya 14.6%, pencapaian luar biasa sebanyak hampir tiga kali lebih baik daripada jenama pesaing.
Saga telah mendorong kenaikan jualan Syarikat, model yang meraikan ulang tahun ke-35 akan datang dengan mencatat prestasi penjualan terbaik dalam tempoh 70 bulan. Angka jualan pada bulan Jun adalah yang terbaik iaitu sebanyak 4,447 unit berbanding 4,275 unit yang dicatatkan pada Oktober 2019, iaitu angka terbaik bulanan sebelum ini dan merupakan yang tertinggi sejak Ogos 2014.
Proton X70 berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai SUV segmen C terlaris di negara ini, dan dengan 1,909 unit yang terjual pada bulan Jun, X70 turut menjadi SUV paling menjadi pilihan secara keseluruhan untuk separuh pertama tahun ini. Sementara itu, Proton Persona masih berada di kedudukan teratas dalam kategori sedan segmen B untuk bulan kedua berturut-turut. Walaupun terdapat penurunan jualan selama dua bulan, jumlah kumulatifnya mencatat lebih 25.1% berbanding tahun lepas.
Proton Exora kekal menjadi MPV segmen C terlaris dan Proton Iriz pula, model hatchback segmen B Syarikat berada di kedudukan ketiga di dalam kategorinya.
"Jualan PROTON pada sebulan penuh pertama operasi semenjak Februari, amat memberangsangkan. Dalam kami kekal optimis untuk separuh kedua tahun 2020, permintaan pembelian kereta di negara ini secara umumnya dan kenderaan PROTON khususnya, menunjukkan peningkatan keyakinan pengguna terhadap produk kami. Peningkatan ini juga adalah disebabkan pembelian tanpa cukai jualan yang diumumkan baru-baru ini yang mana pada pendapat kami, menjadi pemangkin jualan”, kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON Edar.
"Separuh masa kedua tahun ini akan menjadi lebih sibuk dan tidak lama lagi kami akan menyambut ulang tahun ke-35 Proton Saga. Kami berharap dapat menggunakan kesempatan ini sebagai batu loncatan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti lain pada tahun ini untuk kami meneruskan usaha dalam menambah baik pengalaman pelanggan PROTON yang turut merangkumi pusat 3S/4S serta penambahbaikan produk-produk baharu yang lebih berinovatif,” tambah beliau.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://taipingmali.blogspot.com/2020/07/jualan-kenderaan-jenama-proton.html