Jual Serbuk Pencuci Pakaian Tiruan Dalam Facebook Tumpas
Kumara Sabapatty

Penguatkuasa  KPDNHEP dari ibu pejabat Putrajaya berjaya merampas sejumlah besar  serbuk pencuci pakaian tiruan berjenama berjaya ditumpaskan dalam  serbuan di sebuah kediaman di Cheras ibu negara hari ini.-Foto ihsan  KPDNHEP             KUALA LUMPUR – Satu sindiket penjualan serbuk pencuci  berjenama tiruan menerusi dalam talian media sosial, Facebook,  ditumpaskan pihak berkuasa.
Seramai lima Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam  Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya telah melakukan  operasi untuk membanteras barang-barang tiruan itu di sebuah rumah  kediaman di Cheras hari ini.
Pengarah Bahagian Penguatkuasanya, Datuk Iskandar Halim  Sulaiman berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat yang  diterima daripada pengadu yang merupakan wakil pemilik cap dagang  berdaftar serbuk pencuci itu.
Katanya, modus operandi (MO) peniaga barang tiruan ini ialah dengan  mengiklankan produk serbuk pencuci tiruan pada harga yang lebih murah  bagi menarik perhatian pembeli.
“Pengadu berjaya mengesan lokasi tempat pengedaran selepas membuat pesanan dalam talian.
“Peniaga barang tiruan tersebut telah membekalkan alamat untuk mengambil barangan yang dipesan (self collection).
“Rentetan dari urus niaga tersebut pengadu telah membuat perbandingan  dengan serbuk pencuci TOP yang asli sebelum berjaya mengenal pasti  produk yang dibeli adalah tiruan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Rentetan itu tambah beliau, pengadu telah membuat aduan kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP untuk tindakan selanjutnya.
Menurut Iskandar, pemeriksaan telah dijalankan di sebuah premis  kediaman di Cheras itu membawa kepada penemuan sebanyak 651 bungkusan  serbuk pencuci.
Justeru katanya, hasil daripada verifikasi awal yang dijalankan oleh  wakil pemilik cap dagang berdaftar mendapati serbuk pencuci tersebut  disyaki tiruan.
“Perbandingan serbuk pencuci tiruan dan asli mendapati dari segi  pembungkusan serbuk pencuci tiruan yang berkualiti rendah dan terdapat  kesalahan ejaan pada kotak pembungkusan
“Kesemua barang-barang tiruan tersebut yang dianggarkan berjumlah RM4,882.50 telah dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.
Iskandar berkata, kes berkenaan disiasat dibawah seksyen 102 (1) (c)  Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud  perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar digunakan  dengan salah.
Menurutnya, jika pesalah adalah suatu pertubuhan perbadanan dan  disabitkan kesalahannya, boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi  setiap barang-barang yang dipakaikan dengan
salah cap dagangan berdaftar itu, dan bagi kesalahan yang kedua atau  yang berikutnya, didenda maksimum RM30,000 bagi setiap barang-barang  yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.
Sekiranya orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, katanya, dia  akan didenda maksimum RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan  dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan maksimum tiga  tahun atau kedua-duanya.
“Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda maksimum  RM20,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap  dagangan berdaftar atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau  kedua-duanya.
“Para peniaga diingatkan agar lebih bertanggungjawab dan menghormati  harta intelek orang lain dan memberi amaran kepada mana-mana individu  mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang, terutama  membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan dalam talian bagi  mengelak dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang,’ ujar beliau.
“Orang ramai juga perlu lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan  berjenama di pasaran agar tidak terpedaya dengan taktik sesetengah  peniaga yang tidak beretika dan cuba mengambil keuntungan dengan mudah,”  katanya sebarang salahlaku boleh disalurkan melalui hotline  1-800-886-800 atau 03- 8882 6088. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/jual-serbuk-pencuci-pakaian-tiruan.html