Jho Low Arah Najib Jangan Cakap Banyak Dengan Kpmg Kata Bekas Cfo 1mdb
BERNAMA
 Jho Low mengarahkan Najib  mengungkapkan bahawa beliau telah diterangkan dan mengetahui segala  pelaburan dan transaksi 1MDB dan yakin dengan dokumen yang ada. 

Bekas CFO 1MDB berkata Jho Low  menyusun semua dokumentasi dan perkara yang perlu Najib beritahu ketika  menjawab soalan KPMG. Gambar: Bernama     Mahkamah Tinggi hari ini  diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low  telah mengarahkan Najib Razak agar tidak bercakap banyak dengan firma  audit KPMG Malaysia sebagai strategi sebelum mesyuarat bersama firma  audit itu diadakan.
Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad  (1MDB), Azmi Tahir, 48, ketika mendedahkan perkara itu berkata, Jho Low  berbuat sedemikian dalam e-mel bertajuk “Urgent: Briefing Package for  YAB PM” yang dihantarnya kepada bekas perdana menteri itu dan  wakil-wakil 1MDB termasuk dirinya sebelum mesyuarat bertarikh 15  Disember 2013 diadakan di kediaman Najib.
“Dalam e-mel berkenaan, bagi strategi untuk bermesyuarat dengan KPMG,  Jho Low mengarahkan Najib agar tidak bercakap banyak dengan KPMG, dan  mesti mengungkapkan bahawa Najib telah diterangkan dan mengetahui segala  pelaburan dan transaksi di 1MDB dan yakin dengan dokumen yang ada. Jho  Low juga mengarahkan agar Najib menyatakan keyakinan beliau terhadap BSI  Bank berdasarkan fakta yang diberikan.
  “Mesyuarat  itu dibuat kerana pihak KPMG hendak mendengar sendiri pengetahuan Najib  berkenaan pelaburan 1MDB sebanyak AS$2.3 bilion di luar negara  khususnya pelaburan oleh Brazen Sky Limited,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi setebal  127 muka surat pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram  dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.
Brazen Sky Limited merupakan syarikat Special Purpose Vehicle  (SPV) yang ditubuhkan pada 12 Julai 2012 bagi tujuan mendapatkan balik  dana pelaburan milik 1MDB.
Ketika menjelaskan mengenai mesyuarat yang diadakan di rumah Najib  pada malam 15 Disember 2013, saksi pendakwaan ke-12 itu berkata beliau  mendapati Najib juga menerima e-mel  yang sama daripada Jho Low dan  perkara yang digariskan oleh Jho Low dalam e-mel tersebut telah  dibincangkan oleh Najib dengan Johan Idris iaitu wakil KPMG.
Azmi berkata terdapat juga wakil lain daripada KPMG yang ingin  menghadiri perjumpaan tersebut namun Najib tidak membenarkan mereka  masuk ke rumahnya.
Katanya, dalam mesyuarat berkenaan, Johan telah bertanyakan kepada  Najib berkenaan pelaburan di Bridge Global Absolute Return Fund SPC dan  Najib menjawab bahawa beliau tahu berkenaan pelaburan Brazen Sky Limited  di Bridge Global Absolute Return Fund SPC.
“Dalam mesyuarat ini juga, Najib bertanya kenapa KPMG tetap  menimbulkan isu syak wasangka berkenaan aset pendasar pelaburan tersebut  sedangkan BSI Bank sendiri sudah menunjukkan penyata pelaburan  berkenaan. Najib juga memberitahu KPMG untuk menutup akaun 1MDB sebelum  31 Disember 2013.
  “Selepas  mesyuarat berkenaan, KPMG masih tidak menutup laporan kewangan tahun  2013 kerana tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan,” kata Azmi  sambil menambah bahawa tidak lama kemudian, KPMG digantikan dengan  firma audit Deloitte selepas KPMG ditamatkan kontraknya oleh 1MDB pada  akhir tahun 2013.
Tambah Azmi walaupun beliau merupakan CFO dalam 1MDB, iaitu audit di  bawah bidang kuasanya, namun Jho Low yang telah mengaturkan segala  dokumentasi dan tajuk perbincangan kepada Najib untuk menjawab persoalan  yang ditimbulkan oleh KPMG.
Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan  beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21  pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/11/jho-low-arah-najib-jangan-cakap-banyak.html