Jentera Keadilan Sedia Gempur Prn Sabah Simsudin Sidek
Jentera KEADILAN dilihat sudah bekerja keras dan bersiap siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Simsudin Sidek berkata ia boleh dibuktikan menerusi pertambahan bilangan ahli, persediaan bahan kempen pilihan raya dan strategi parti di media sosial.
"Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, angka ahli KEADILAN di Sabah dianggarkan sekitar 130,000 tetapi tahun ini bilangan ahli mencecah lebih 174,000. Ini membuktikan KEADILAN Sabah sudah bersedia.
"Bila ahli cukup ramai, KEADILAN sudah separuh kaki menuju kemenangan dan ahlinya pasti mengundi pada PRN nanti," katanya ketika sesi temubual "APA BAH CERITA?" bersama Yahya Sahri.
Simsudin yang juga Ketua Cabang KEADILAN Labuan berkongsikan dengan terperinci mengenai gerak kerja yang dilakukan oleh jentera parti ketika ini.
"Semua bahan-bahan kempen pilihan raya sudah diserahkan kepada cabang-cabang yang dikenal pasti akan bertanding pada PRN kali ini. Bendera juga sudah diserahkan kepada kesemua 26 cabang termasuk Labuan iaitu sebanyak 3,000 bendera.
"Malah, jentera sudah mulakan persiapan sejak 3 bulan lepas dengan mengadakan pelbagai latihan di DUN yang dijangka bertanding.
"Biro latihan juga menyampaikan maklumat kepada cabang-cabang termasuk bakal calon seperti menyediakan latihan kepada jentera bagi menumpukan strategi siber untuk menjawab segala persoalan di media sosial.
"Dengan keadaan wabak COVID-19, kita juga mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) ketika berkempen dan ia mesti dipatuhi oleh jentera bagi memastikan soal keselamatan terjaga," katanya.
Justeru, Simsudin menyeru semua rakyat Sabah supaya menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Saya merayu kepada rakyat Sabah supaya turun mengundi, ambil tanggungjawab mengundi sebagai hak bersuara.
"Bila mengundi, banyak perkara yang boleh diubah. Jangan sekadar berbincang dan berkata-kata sahaja di media sosial.
"Ini hak kamu, bukan kerana datuk seri suruh kamu mengundi, tapi kamu sendiri tahu apa itu tujuan mengundi dan apa yang undi boleh lakukan.
"Bila mengundi ditunaikan, apa yang kamu mahukan mungkin terlaksana, sekurang-kurangnya ia jadi penentu ke arah kerajaan yang kamu inginkan," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wrlr.blogspot.com/2020/09/jentera-keadilan-sedia-gempur-prn-sabah.html