Jatuhkah Kualiti Komedi Filem Hollywood
Semua peminat filem ada selera masing-masing berkenaan jenis filem yang ditayangkan di panggung seperti drama, aksi, thriller atau komedi. Sebut pasal komedi, trend filem sebegini di Amerika Syarikat dilihat semakin menurun bukan saja dari kuantiti tetapi juga dari segi kualiti. Dengan cerita yang bersifat cliche dari awal sampai akhir, penggunaan teknik komedi yang mengarut dan melampau serta tiada lagi tarikan bintang membabitkan pelakon seperti John C. Reilly dan Adam Sandler, tidak hairanlah mengapa genre filem sebegini semakin ditolak oleh penonton di sana.
Mungkin ada yang berpandangan kata-kata sebegini terlalu kasar dan keras. Tetapi melihat kepada gerak kerja promosi dan sambutan filem terbaru yang menampilkan Reilly dan regu kolaborasinya Will Ferrell iaitu Holmes dan Watson yang ditayangkan pada Disember tahun lepas, ia sememangnya mengecewakan. Keengganan pengedar mereka Sony Pictures menayangkan filem ini kepada pengkritik dan menyiarkan trailer filem sudah memberi tanda ia akan membawa kekecewaan kepada pasukan produksi dan pengedar. Maka tidak hairanlah, ramai menggelar filem berkenaan antara filem terburuk tahun 2018 dan hanya mampu mengutip sembilan juta dolar pada minggu pembukaannya.
Trend sebegini berlawanan dengan apa yang berlaku lima tahun lepas di mana studio-studio berlumba-lumba menerbitkan filem komedi mereka seperti We’re The Millers, Neighbors dan 22 Jump Street. Tetapi bilangan tersebut semakin berkurangan dengan filem komedi yang dianggap paling berjaya tahun lepas ialah Night School yang menampilkan Kevin Hart dan Tiffany Haddish yang mengutip kutipan pecah panggung $100 juta dengan belanjawan lebih $20 juta. Namun, itu bukan bermakna pengakhiran bagi bintang-bintang seperti Melissa McCarthy, Hart dan Ferrell kerana mereka masih menjadi taruhan studio-studio untuk menghasilkan filem-filem komedi pecah panggung.
Tetapi ramai juga figura yang dianggap legenda dalam dunia komedi meninggalkan takhta mereka dan memfokuskan usaha mereka pada perkara lain. Steve Carell yang dikenali sebagai Michael Scott dalam siri komedi The Office lebih berminat kepada peranan dramatik dan serius seperti Mark Baum (The Big Short) dan Donald Rumsfeld (Vice). Seth Rogen pula lebih berminat kepada bidang penerbitan dan sekali-sekala mengambil peranan sebagai pelakon pembantu. Sementara Sandler pula sibuk menghasilkan filem-filem komedi untuk Netflix. Hanya Ferrell sahaja yang cuba meneruskan trend filem komedi biasa yang masih bergantung kepada premis penceritaan menarik dan plot yang bersifat suam-suam kuku.
Plot sebegini dilihat sudah hilang serinya kerana tidak membawa sebarang unsur pembaharuan. Ini ditambah pula kecenderungan mereka merekrut rakan-rakan yang dilihat boleh menambah indeks ketawa sesebuah filem yang kadangkala bukan saja tidak berhasil tetapi juga menambah kerosakan pada sesebuah filem. Dan dengan kos pembikinan dan pemasaran yang semakin mahal, perkara terakhir yang dimahukan studio ialah melihat filem-filem edaran mereka rugi besar di sebalik nama-nama besar yang membarisinya. Bukan sekali filem-filem sebegini gagal, dapat pulangan modal atau dapat keuntungan yang bersifat sederhana.
Atas sebab itu, studio-studio cuba membawa variasi dalam setiap filem komedi yang diedarkan mereka di pasaran. Game Night misalnya yang ditayangkan pada tahun lepas membawa pendekatan misteri dan komedi gelap dalam plot penceritaannya hasil idea duo sama yang menghasilkan lakon layar Spider-Man: Homecoming, John Francis Daley dan Jonathan Goldstein. Filem yang menampilkan Jason Bateman, Rachel McAdams, Kyle Chandler dan Jesse Plemons bukan saja mendapat pujian penonton dan pengkritik, bahkan mendapat kutipan pecah panggung $117.5 juta.
Tetapi dengan skop filem komedi arus perdana semakin mengecil, penonton mendapat nilai hiburan dan jenaka dari sumber yang tidak disangka-sangka: filem adiwira. Jika anda perasan, elemen komedi yang diselitkan dalam filem-filem sebegini sentiasa bikin penonton tidak kering gusi. Adegan sebegini berjaya kerana elemen lucu yang diselitkan bersifat semulajadi dan tidak dibuat-buat. Siapa tidak tahan melihat kerenah Deadpool/Wade Wilson (Ryan Reynolds) dalam Deadpool dan Deadpool 2 yang suka bercakap dan bikin ramai geleng kepala. Bagi peminat Marvel Cinematic Universe (MCU), pasti sudah masak dengan kerenah Thor (Chris Hemsworth) dan Hulk/Dr Bruce Banner (Mark Ruffalo) termasuk dalam filem Thor: Ragnarok. Filem ketiga Thor yang mendapat sentuhan Taika Waititi ini mendapat pujian penonton dan pengkritik kerana dapat menyelitkan elemen ringan dan humor, sekaligus menjadikan ia tampak segar dan menarik.
Filem-filem animasi juga cuba membuat perkara sama tetapi reaksi dari eksperimen itu bersifat bercampur-campur seperti The Grinch dan Ralph Breaks the Internet. Justeru, ini menimbulkan persoalan mengapa mereka jadi pilihan penonton? Filem-filem sebegini membawa pelbagai jenis aksi yang tidak pernah menghampakan dan membina hubungan emosi yang kuat dengan penonton. Pada masa sama, ia turut membawa elemen-elemen yang dahulunya merupakan hak eksklusif sesebuah filem komedi dan lebih berjaya dalam percubaan mereka.
Melihat kepada angin perubahan yang melanda genre filem komedi, tidak hairanlah ramai berubah angin dan cuba menyelit unsur kepelbagaian genre dalam filem mereka. Mereka sedar penonton hari ini tidak lagi terhibur dengan jenaka-jenaka berunsur slapstik. Suka atau tidak, elemen komedi yang dibawa harus diberi nafas baru agar ia terus mendapat sambutan dari kalangan peminat. Dan ini disedari oleh ramai pembikin filem termasuk filem komedi terutama di Malaysia. Bagi yang pernah menonton Hantu Kak Limah Balik Rumah atau Hantu Kak Limah pasti sedar dua filem komedi seram yang mendapat sentuhan Mamat Khalid ini berisi dan membawa mesej bermakna kepada masyarakat. Jika pembikin filem masih kekal di takuk lama dengan filem-filem yang buruk dari segi kualitinya, maka bersedialah filem dikecam habis-habisan oleh geng bawang tak berlesen dan apa saja bentuk kepercayaan yang masih ada dengan studio akan hancur berkecai.
SUMBER
Hassenger, Jesse. (2018). TheVerge.com. Holmes & Watson’s failure shows how the world is changing for cinematic comedy. http://bit.ly/2GLYPTv
Tonton TV online secara percuma dari handfon atau android box anda!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://thetrendingnow.blogspot.com/2019/02/jatuhkah-kualiti-komedi-filem-hollywood.html