Jasmine Suraya Dicurangi Dua Kali
Lima tahun mencipta nama dalam industri seni tanah air, pelakon dan pengacara jelita, Jasmine Suraya memaklumkan pernah ingin mengalah kerana kekurangannya terutama penguasaan bahasa Melayu yang lemah.
Bagaimanapun, pemilik nama sebenar, Jasmine Suraya Chin Xian Mei itu terus berjuang demi impiannya untuk bergelar seorang pelakon yang disegani ramai. Filem Paskal berjaya menonjolkan bakatnya sebagai seorang pelakon berbangsa Cina yang mempunyai berpotensi.
Ditemui Kosmo! pada acara makan malam bersama peminat di Hyde Out, Mont Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini, Jasmine dikejutkan dengan kehadiran penyanyi kegemarannya, Sufian Suhaimi.
Amat meminati lagu Di Matamu dendangan penyanyi itu, Jasmine mendedahkan, lagu itu merupakan peneman setianya ketika berpisah dengan kekasih awal tahun lalu.
Apakah pandangan Jasmine terhadap perjalanan karier seni sepanjang lima tahun berada dalam industri?
Jasmine Suraya: Mencabar kerana pada permulaan dalam bidang ini, bahasa Melayu saya agak teruk. Jadi, untuk diterima berlakon dalam filem atau drama sedikit sukar. Namun, saya percaya setiap bidang kerja pasti ada cabarannya yang tersendiri. Ada ketikanya, saya berasakan diri tidak cukup bagus untuk bergelar pelakon. Biarpun begitu, saya tetap cuba memberi yang terbaik.
Bagaimanakah anda mengekalkan profil seni supaya bersih daripada sebarang kontroversi?
Kalau bercakap soal kontroversi, saya sebenarnya tidak mahu fikir sangat. Mungkin hanya ada satu sahaja kontroversi membabitkan saya iaitu netizen mengkritik saya berpakaian terlalu seksi kerana mereka sangka saya orang Melayu. Selain daripada itu memang tidak ada kerana saya hanya fokus pada kerja sahaja.
Ramai yang agak terkejut melihat reaksi anda apabila Sufian datang memberikan kejutan dan menyanyikan lagu Di Matamu pada majlis ini. Apakah komen anda?
Syarikat pengurusan tahu saya memang sukakan lagu Di Matamu. Bagi saya, lirik lagu nyanyian Sufian itu amat bermakna. Sebenarnya, awal tahun lalu saya telah berpisah dengan bekas teman lelaki. Dia curang dan kemudian saya mendapat tahu, dia sudah berkahwin dengan perempuan lain. Mendengar bait lirik lagu Di Matamu membuatkan saya begitu tersentuh.
Mengapakah anda memilih untuk tidak berkongsi perihal peribadi dalam media sosial?
Bagi saya media sosial adalah tempat untuk kita sebarkan perkara yang positif. Saya tidak mahu orang melihat saya sedih atau murung. Itu bukan saya. Sebenarnya, sudah dua kali saya dicurangi.
Kali pertama adalah bersama lelaki Melayu sewaktu menyambung pelajaran di Melbourne, Australia. Kali kedua adalah pada awal tahun lalu dengan seorang lelaki Cina yang saya sangka hubungan itu akan berakhir dengan perkahwinan, bagaimanapun perkara tersebut tidak berlaku. Apapun, saya sudah melupakan kisah silam dan bergerak ke hadapan. Jadi, status saya sekarang ini adalah solo.
Adakah anda berasa serik untuk kembali bercinta selepas dua kali dicurangi?
Saya suka berada dalam percintaan. Saya rasa perasan orang yang sedang dilamun cinta umpama magis.
Selain meraih 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), anda turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dan Ekonomi dari Universiti Monash, Melbourne, Australia. Adakah anda menyesal melibatkan diri dalam bidang seni?
Saya akan lebih menyesal jika tidak berada dalam industri seni. Menjadi seorang anak seni merupakan impian saya sejak kanak-kanak. Kalau hari ini saya bukan pelakon, rasa seperti masa saya sudah banyak terbuang.
Sebenarnya, sebelum ini saya pernah bekerja sebagai penulis selama dua tahun, namun saya tidak mendapat kepuasan bekerja. Sekurang-kurangnya sekarang, kepuasan itu ada.
Terbaharu saya akan berlakon dalam sebuah filem terbitan Netflix berjudul Daulat bersama Vanidah Imran dan akan turut melakonkan watak seorang penagih dadah dalam sebuah drama.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://artismeletop.blogspot.com/2019/07/jasmine-suraya-dicurangi-dua-kali.html