Jas Komited Laksana 22 Projek Kampung Angkat Madani Di Kampung Linggi
JAS Komited Laksana 22 Projek Kampung Angkat Madani Di Kampung Linggi
Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini telah menyempurnakan Program Serahan Kampung Angkat MADANI (KAM) 2025 di Kampung Linggi, Negeri Sembilan oleh YBhg. Dato’ Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, Ketua Pengarah Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar.

Program ini telah berjaya dilaksanakan dan direalisasikan melalui 22 projek di bawah lima (5) skop utama seperti berikut:
1. Pusat Advokasi Alam Sekitar
2. Sekolah Lestari
3. Masjid Lestari
4. Dewan Orang Ramai & Balai Raya Lestari
5. Gotong-Royong Lestari
Inisiatif KAM merupakan usaha Kerajaan mempercepatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya dari segi penambahbaikan kemudahan asas dan pengukuhan peranan komuniti dalam kelestarian alam sekitar.

Penjimatan Melalui Projek Solar dan Pendidikan Kelestarian
Antara projek utama yang dilaksanakan oleh JAS melalui KAM ialah pemasangan sistem solar berkapasiti 9.3 kiloWatt-peak (kWp) di Dewan Orang Ramai Linggi dan 18.6 kWp di Masjid Sheikh Jamaluddin Al-Linggi, yang dijangka memberikan impak dalam penjimatan kos bil elektrik tahunan sebanyak RM6,000 bagi dewan dan RM12,000 bagi masjid.
Selain menjimatkan kos operasi, projek solar ini berperanan mendidik masyarakat tentang penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta amalan jimat tenaga sebagai sebahagian daripada pendidikan kelestarian yang dibawa oleh JAS.
Pusat Advokasi Alam Sekitar: Rujukan Komuniti
Salah satu pencapaian penting KAM JAS 2025 ialah penubuhan Pusat Advokasi Alam Sekitar, yang berfungsi sebagai pusat rujukan masyarakat mengenai pengurusan dan kelestarian alam sekitar.

Hasrat penubuhan pusat ini oleh JAS adalah untuk:
1. Memperkukuh usaha advokasi dan kesedaran awam,
2. Menyediakan ruang pembelajaran dan penyebaran maklumat,
3. Menjadi lokasi pelaksanaan program kelestarian JAS pada masa hadapan,
4. Memupuk pembudayaan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam komuniti.
Pusat ini akan dimanfaatkan oleh JAS Ibu Pejabat dan JAS Negeri Sembilan sebagai pusat latihan, advokasi dan penglibatan komuniti secara berterusan.
Pembudayaan Kelestarian dan Peranan JAS
Dalam ucapannya “Ketua Pengarah Alam Sekitar menegaskan bahawa pembudayaan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat tidak boleh sama sekali dikesampingkan.
JAS bukan sahaja berperanan sebagai penguat kuasa, tetapi juga sebagai pendidik, pemudah cara dan rakan strategik komuniti’.

Pelaksanaan KAM JAS 2025 membuktikan usaha JAS mendekati masyarakat melalui pendidikan, teknologi hijau, pemerkasaan komuniti dan amalan kelestarian yang inklusif dan mampan, sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI.JAS berharap kerjasama baik antara komuniti dan agensi pelaksana dapat diteruskan dalam program masa hadapan.
Dengan pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi ini, Kampung Linggi diyakini berpotensi menjadi model rujukan kepada kampung lain yang bakal melaksanakan KAM pada masa akan datang.
The post JAS Komited Laksana 22 Projek Kampung Angkat Madani Di Kampung Linggi appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/16/jas-komited-laksana-22-projek-kampung-angkat-madani-di-kampung-linggi/