Janna Nick Terlebih Belanja
Sejak meniti populariti, nama Janna Nick tidak pernah lekang daripada dihimpit kontroversi.
Ada sahaja cerita negatif yang menghambatnya baik dari segi kerjaya, peribadi mahupun imej. Ia sekali gus mengheret bekas pengacara Melodi itu dalam kemelut tidak berkesudahan.
Namun, pastinya paling menonjol mengaitkan 'Janna Nick seksi' dalam carian gergasi internet Google.
Tidak hanya dikecam dan mengundang perhatian netizen dengan penampilan mencolok mata dalam hantaran yang dimuat naik menerusi laman Instagram (IG), Janna turut terkait isu lain termasuk masalah gangguan bipolar dan pernah melakukan cubaan bunuh diri.
Namun, Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner sekali lagi mengundang kecaman apabila memuat naik gambar berpakaian baju kurung sempena Hari Kemerdekaan Ke-64, baru-baru ini.
Meskipun dilihat sopan menyarung baju kebangsaan, namun tanpa disedari memperlihatkan bahagian dada yang agak terdedah dan seksi.
Mengulas dikatakan 'terlebih belanja' menerusi gambar dimuat naik dalam IG, Janna berkata, dia pasti sekarang bukan masa yang sesuai untuk memperkatakan perkara negatif.
"Jadi, saya pilih untuk tidak memberi sebarang komen. "Jujurnya, ini juga satu persoalan yang saya sendiri tiada jawapan apabila ditegur tidak sensitif teguran soal imej seksi.
"Sudah tentu, saya hanya mengharapkan ucapan dan kata-kata baik daripada semua orang," katanya.
Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-32 itu berkata, soal seksi, ia terserah pada penerimaan seseorang.
"Bagi saya, lain orang lain pandangan terhadap perspektif seksi.
"Biarpun ada yang menuduh saya sengaja mahu mencuri perhatian, tetapi mereka kena ingat, kerjaya saya sebagai selebriti sememangnya sentiasa dalam perhatian termasuk golongan netizen.
"Jadi, saya tidak akan putus semangat meneruskan kerjaya sebagai anak seni selagi diterima," katanya.
Beralih kepada perkembangan terbaharu, Janna berkata, dia masih aktif berlakon, malah sudah kembali ke dunia pengacaraan.
"Saya mengendalikan program berbentuk ilmiah dan berita mengenai isu terkini berjudul Banteras COVID-19.
"Program 13 episod ini terbitan RTM dan sudah bersiaran setiap Ahad, jam 12 tengah hari di TV1, Bernama dan TVS," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://artismeletop.blogspot.com/2021/09/janna-nick-terlebih-belanja.html