Jambang Kekasih Buat Mia Nasir Terpikat
Mia Nasir dan kekasihnya, Adam merancang untuk berkahwin pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.
Tiga tahun menjalin hubungan cinta dengan seorang ahli perniagaan yang hanya mahu diperkenalkan sebagai Mr. Adam, pelakon Mia Nasir tidak menolak untuk mengakhiri zaman bujang dengan lelaki itu hujung tahun ini atau selewat-lewatnya, awal tahun hadapan.
Kata Mia, 28, dia dan lelaki kacukan Mamak-Inggeris itu berkenalan menerusi Facebook tiga tahun lalu. Menariknya, perkenalan mereka berlaku pada bulan Ramadan.
Mendedahkan bahawa pihak keluarga masing-masing sudah mengenali antara satu sama lain, pelakon drama Kan Kukejar Cinta Kamu itu terpikat dengan lelaki tersebut kerana kematangannya dalam memikirkan hal masa depan.
Dalam soal lakonan, Mia juga akan bersikap selektif selepas bergelar isteri kelak. Jika sudah bergelar isteri orang, kakak pelakon Anzalna Nasir itu mahu mengelak daripada melakonkan babak berpegangan tangan dengan lelaki bukan muhrim.
Bagaimana perkembangan kerjaya lakonan buat Mia Nasir sekarang?
Mia Nasir: Saya berlakon hanya kerana ingin mengisi masa lapang atau hanya sebagai hobi. Saya ingin lebih fokus kepada bidang perniagaan selepas ini. Insya-Allah mungkin selepas kahwin, kerjaya lakonan tidak lagi menjadi keutamaan.
Anda menyebut selepas berkahwin, sudah ada perancangan untuk ke arah tersebut?
(Ketawa). Saya memang minat berlakon tetapi selepas berkahwin nanti, saya mahu mendedikasikan hidup untuk suami. Kalau berlakon pun, saya akan bersikap lebih selektif dari segi pemilihan watak. Saya tidak mahu lagi melakonkan babak-babak bersentuhan dengan lelaki. Selepas berkahwin juga, saya akan memberi fokus terhadap perniagaan.
Maaf bertanya, kalau tidak keberatan siapa gerangan teman lelaki anda itu?
Dia seorang usahawan. Nama dia Adam dan berusia 29 tahun. Sudah lebih tiga tahun kami berkawan saling mengenali antara satu sama lain. Insya-Allah kalau tiada aral melintang, mungkin hujung tahun atau awal tahun depan kami akan berkahwin.
Boleh ceritakan detik pertemuan anda dengan teman lelaki?
Dia mendekati saya melalui laman Facebook. Sebenarnya, sebelum itu saya ada berjumpa dengannya namun tidak berborak panjang. Entah bagaimana, ketika saya memasuki laman Facebooknya dan saya tertengok statusnya yang masih bujang (ketawa). Tidak lama kemudian, dia mengirimkan saya private messege (PM). Kami berborak dan saya ingat lagi, pertama kali kami keluar bersama adalah semasa bulan Ramadan.
Apa yang membuatkan anda tertarik dengan Adam?
Saya suka perangai dia. Dia mempunyai matlamat hidup. Kami pernah berbincang soal kahwin dan dia kata tidak akan berkahwin selagi tidak stabilkan ekonomi sendiri terlebih dahulu.
Dia seorang yang romantik tetapi bertempat dan sebenarnya, saya memang suka lelaki berjambang (tertawa). Kalau pun dia cukur jambang, tetap nampak comel.
Baiklah, maaf bertanya, bergelar kakak kepada Anzalna Nasir, bagaimana survival anda dalam industri memandangkan adik anda terlebih dahulu mengecap populariti?
Saya okey sahaja selagi tiada orang kacau keluarga saya. Sudah tentu akan ada orang yang tidak suka dengan kita. Saya sebagai kakak, saya selalu menasihati Anzalna dan Afifah, agar jangan terlalu pusing komen netizen di laman sosial. Sebenarnya, Anzalna yang memberi dorongan kepada saya untuk mencuba bidang lakonan. Saya terhutang budi kepadanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://artismeletop.blogspot.com/2019/05/jambang-kekasih-buat-mia-nasir-terpikat.html