Isu Mn Jangan Cipta Alasan Ibarat Tukar Fatwa Ikut Selera Politik Zahid Beritahu Hadi
FMT Reporters -December 6, 2021
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilihat menyelar Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung Muafakat Nasional.PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilihat menyelar Abdul Hadi Awang apabila menyifatkan tindakan Presiden PAS itu mempersoalkan keikhlasan Umno menjayakan Muafakat Nasional (MN) sebagai “alasan politik ibarat menukar fatwa mengikut selera politik”.
“Seseorang yang bergelar ulama harus mengikut ‘nas’ yang sahih, bukan memanipulasi hukum mengikut selera politik untuk memperdagangkan agama demi mencapai objektif siasah,” kata Zahid di Facebooknya.
“Mencipta pelbagai alasan baharu untuk menjustifikasikan kononnya Umno tidak mematuhi piagam merupakan alasan politik ibarat menukar fatwa mengikut selera politik,” tambah Zahid.
Hadi sebelum ini dipetik berkata, PAS menolak MN yang diasaskan bersama Umno pada 2019 kerana parti tunjang Barisan Nasional itu tidak mahu menerima Bersatu, yang menjadi sekutu PAS dalam Perikatan Nasional.
Hadi membayangkan Umno sudah “lari” daripada piagam MN apabila “mahu PAS dan parti mereka sahaja dalam MN”.
Zahid berkata, apa juga muafakat harus membawa kebaikan kepada semua, “bukan untuk dimanipulasi oleh yang berdendam kesumat ke atas Umno.”
“Muafakat harus membawa berkat dan tidak sesekali mengundang padah terhadap mana-mana pemegang taruh kemuafakatan. Tiada keberkatan dalam istilah muafakat apabila sebilangannya diselubungi agenda keegoan, kebencian dan kepura-puraan,” katanya.
Beliau berkata, Umno perlu bijaksana mentafsir antara muafakat yang jujur berbanding sebuah muafakat yang terselindung tipu daya.
“Sebab itu Umno mempercayai MN yang asal adalah sebenar-benar muafakat yang terbina atas keikhlasan.
Beliau seterusnya mempersoalkan keikhlasan PAS sendiri untuk menjayakan kerjasama dengan Umno menerusi MN, khususnya pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka lalu.
Zahid berkata, Umno “bertepuk sebelah tangan” sahaja apabila berusaha mengekalkan kemuafakatan itu termasuk dalam PRN Melaka.
“Pimpinan PAS sering menyatakan menyokong MN, tetapi di Melaka menolak pelawaan Umno untuk berpadu atas nama MN…(dan) membuat keputusan untuk bergandingan dan bersama Bersatu yang diketahui tujuannya menjatuhkan Umno,” katanya.
Zahid turut menolak tanggapan pemimpin PAS bahawa Umno “mengarahkan” parti itu berhubung hala tuju politiknya atas semangat kemuafakatan MN yang dimeterai.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/12/isu-mn-jangan-cipta-alasan-ibarat-tukar.html