Isteri Dah Merayu Untuk Tidak Ke Laut Tak Sangka Suami Akhirnya Mati Lemas Dalam Tragedi Bot Terbalik
”Saya sudah merayu kepadanya untuk tidak ke laut, namun dia tetap berkeras untuk pergi juga,” kata Rosmaliza Rosdin, 42, isteri kepada seorang lelaki yang lemas selepas bot yang dinaiki 20 pemancing termasuk tekong dan awak-awak terbalik selepas dibadai ribut di Jeti Pengkalan Kuala Kemasin di sini, malam tadi.
Rosmaliza berkata, arwah suaminya Mohd Syafizan Daud, 43, sempat menghantar pesanan ringkas sekitar 7.35 petang semalam selain turut memberitahu akan pulang pagi ini.
”Dia ada memberitahu akan bertolak pulang awal pagi ini dan menjangkakan akan tiba sekitar tengah hari hari ini. Namun saya tidak menyangka keterujaannya untuk memancing sejak seminggu lepas bersama rakan-rakannya bertukar menjadi tragedi sehingga meragut nyawanya.
”Saya mengetahui kejadian bot terbalik ini sekitar awal pagi ini melalui status WhatsApp kenalan,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, hari ini.
Rosmaliza, yang juga seorang jururawat di Hospital Lati, Pasir Mas berkata, beliau tidak menyangka debaran sejak beberapa hari lepas juga seakan petanda awal beliau akan kehilangan suami buat selama-lamanya.
”Sejak beberapa hari lepas, saya sering kali berasa berdebar-debar sehingga terpaksa melakukan ujian kesihatan untuk mengetahui masalah yang dialami, namun bersyukur semuanya baik. Walaupun masih terkejut dan berasa seolah-olah mimpi, namun saya redha menerima ketentuan Allah,” katanya.
Manakala, Wan Mohd Tajuddin Wan Hussin, 53, adik kepada Wan Aminuddin Wan Hussin, 63, yang turut maut, berkata arwah abangnya sangat teruja untuk keluar memancing bersama rakan-rakan yang lain selepas sekian lama tidak memancing.
”Tiada perilaku aneh yang ditunjukkan oleh abang sulungnya itu yang juga bekas pegawai di sebuah bank itu, cuma dia hanya berpatah balik sebanyak dua kali kerana tertinggal telefon bimbit dan rokok.
”Arwah menetap bersama saya memandangkan tiga orang anaknya masing-masing bekerja dan belajar di luar negeri. Walaupun berasa sedih, namun saya redha,” katanya.
Sementara itu, Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali ketika dihubungi berkata, lapan daripada 12 individu yang terselamat dalam tragedi itu di perairan Kuala Kemasin, Bachok malam tadi telah dirawat sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang.
”Manakala, yang lain masih dirawat dan kini berada di bawah pemantauan pihak hospital,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian pukul 8.00 malam itu, empat daripada mereka ditemukan lemas, empat lagi masih hilang manakala 12 lagi disahkan selamat yang kesemua mereka berusia 18 sehingga 60 tahun.
Mereka yang disahkan meninggal dunia ialah Mohd Syafizan Daud, 43, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Hussin, 60-an dan seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an.
Empat yang masih hilang ialah Arman Ismail, 43, Harun Daud, 60-an, Syafiq Abdul Halim, 30 dan Che Wadi Bakar, 40-an.
Dalam kejadian itu juga, bot nelayan yang dinaiki pemancing itu dilaporkan telah dibadai ribut dan ombak kuat menyebabkan tali sauh terputus dan bot terbalik menyebabkan kesemua mangsa tercampak ke dalam laut.
— BERNAMA
The post Isteri Dah Merayu Untuk Tidak Ke Laut, Tak Sangka Suami Akhirnya Mati Lemas Dalam Tragedi Bot Terbalik appeared first on Suara Viral Malaysia.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suaraviral.org/isteri-dah-merayu-untuk-tidak-ke-laut-tak-sangka-suami-akhirnya-mati-lemas-dalam-tragedi-bot-terbalik/