Ismail Sabri Bimbang Jadi Pm Paling Singkat Rayu Jangan Tarik Sokongan
AGENDA DAILY	 								 								 											

						Kerajaan Keluarga Malaysia Ismail Sabri hanya mempunyai majoriti empat kerusi di Parlimen.
															 																					 									 							 					 						Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam  dilihat seolah-olah ‘merayu’ Perikatan Nasional (PN) yang turut  membentuk kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ sekarang supaya tidak menarik  sokongan terhadap beliau.
‘Rayuan’ itu dilihat dibuat setelah sekurang-kurangnya dua kali  Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi peringatan bahawa sokongan  kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Ismail Sabri sekarang ini  bersyarat.
Pada 27 Januari lalu, selepas mempengerusikan mesyuarat PN di Pagoh,  bekas PM itu berkata sokongan PN kepada Kerajaan Pusat masih kekal  tetapi beliau memberi peringatan supaya UMNO tidak mengambil kesempatan  dengan membuat keputusan sesuka hati mereka.
Peringatan itu dibuat setelah UMNO bertindak sendirian membubarkan  Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan membelakangkan PN yang bersama  dalam pembentukan kerajaan negeri.
Semalam pula (29 Januari 2022), pada sidang media di Shah Alam,  Presiden Bersatu itu menegaskan bahawa Muzakarah PAS Bersatu membuat  resolusi dengan menegaskan sokongan mereka kepada Kerajaan Persekutuan  adalah bersyarat, perlu dihormati dan dirundingi, di atas nilai  integriti, antirasuah dan berkebajikan.
Susulan itu, semalam juga ketika mengulas peringatan berkenaan,  Ismail Sabri menjadikan alasan ‘demi keselamatan dan kesejahteraan  rakyat’ maka kestabilan politik perlu diutamakan – dengan harapan beliau  akan terus mendapat sokongan menjadi PM.
Kestabilan politik itu penting bagi membolehkan kerajaan melaksanakan  semua perancangan yang telah dan sedang dibuat untuk membantu rakyat  dalam situasi sukar akibat pandemik Covid-19, kata Ismail Sabri yang  tidak melihat ‘kestabilan politik’ dikatakannya itu sebaliknya menyokong  UMNO mengkucar-kacirkan politik Johor.
Tetapi, demikianlah sikap UMNO – parti yang dicop oleh bekas Ketua  Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad sebagai parti berimej rasuah –  melaksanakan strategi politik mereka.
Bagaimanapun, rakyat mengetahui bahawa Ismail Sabri hanya sekadar  Naib Presiden sebuah parti politik yang dikawal oleh Presiden dan  Timbalan Presiden. Beliau tidak mampu menghalang sama sekali tindak  tanduk partinya yang sekarang ini dilihat menyusahkan rakyat, selain  telah dicop sebagai parti rasuah.
Sementara UMNO boleh bertindak sendirian mengadakan dua PRN tanpa  berbincang dengan parti gabungan yang membentuk Kerajaan Negeri dan  Pusat, Ismail Sabri boleh pula meminta parti lain yang memberi sokongan  kepadanya, memikirkan kebajikan rakyat.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah PM  kesembilan pada 21 Ogos 2021, setelah PN sebulat suara bersetuju  mencalonkannya memimpin Kerajaan PN yang baharu.
Sebelum itu, Kerajaan PN yang turut mendapat dukungan UMNO setelah  Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan PM Kerajaan Pakatan Harapan  (PH), dipimpin Muhyiddin mulai 1 Mac 2020.
Tetapi Muhyiddin meletak jawatan pada 16 Ogos 2021, setelah 15 Ahli  Parlimen (MP) UMNO diketua Presiden parti itu Zahid Hamidi melakukan  pengkhianatan dengan menarik balik sokongan.
Bagi mengelakkan berlakunya Pilihan Raya Umum tatkala kehidupan  rakyat dibebani pandemik Covid-19 yang menyebabkan sektor ekonomi  terjejas, PN bersetuju memberi sokongan kepada Ismail Sabri yang sebelum  itu menjadi Timbalan Perdana Menteri, untuk dilantik menjadi PM.
Namun, sokongan lebih 50 MP daripada parti gabungan PN dan Bebas,  termasuk 31 MP Bersatu, 18 PAS dan seorang daripada Parti Solidariti  Tanah Airku Rakyat Sabah (Star), dibuat secara bersyarat.
Antara syarat itu ialah memastikan anggota Kabinet yang dilantik  terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada  sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.
Kerajaan PN di bawah pimpinan Ismail Sabri juga mestilah meneruskan  amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan  kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.
Dua kali peringatan oleh PN menunjukkan ianya adalah amaran terakhir  kepada Ismail Sabri, jika tidak mahu kerajaan pimpinannya tumbang,  sekali gus menjadi PM paling singkat.
Dan, jika tumbang pun tidak semestinya PRU15 boleh diadakan, malah  kerajaan baharu boleh terbentuk dengan kerjasama PN dan PH, sebagaimana  kata Muhyiddin di dalam politik apa sahaja boleh berlaku. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/ismail-sabri-bimbang-jadi-pm-paling.html