Irfan Haris Cuba Nasib Jadi Pelakon
Tiga tahun bergiat aktif sebagai penyanyi memberikan peluang buat Irfan Haris untuk terus memperbaiki kemampuannya.
Tidak hanya mampu menjadikan nyanyian sebagai cabang seni, Irfan juga merancang untuk mencuba nasib sebagai pelakon.
Irfan yang popular menerusi lagu Redha mengakui sebelum ini pernah menerima tawaran lakonan, tetapi terpaksa ditolak.
“Saya tolak kerana sedar dengan kemampuan saya waktu itu dan saya akui, saya belum bersedia. Jadi, saya terpaksa tolak,” katanya.
Satu lagi kekangan yang membuatkannya terpaksa menolak tawaran berlakon ketika itu adalah kerana komitmen kepada program realiti Big Stage yang disertainya.
“Tahun lalu, saya baru selesai dengan Big Stage. Jadi, saya mencari waktu untuk berehat dan itu juga menjadi alasan kenapa saya terpaksa tolak tawaran berlakon,” katanya yang juga adik penyanyi dan pelakon, Amira Othman.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 19 tahun ini turut meluahkan rasa teruja sekiranya sekali lagi diberi peluang untuk berlakon.
“Tahun 2020 menjadi tahun di mana saya menyelitkan lakonan sebagai salah satu perancangan karier seni saya. Insya-Allah, sekiranya tawaran yang datang itu sesuai, saya takkan lepaskan,” katanya.
Menetap di Johor bersama keluarga, Irfan memaklumkan akan berpindah ke Kuala Lumpur, Mac depan.
“Insya-Allah, saya berpindah ke Kuala Lumpur kerana akan melanjutkan pelajaran dalam bidang seni persembahan di sebuah kolej swasta.
“Mungkin selepas ini lebih mudah untuk saya mengendalikan kerjaya seni saya apabila menetap di Kuala Lumpur,” katanya.
Terbaru, Irfan akan hadir dengan single baru, hasil kerjasama bersama abangnya, Haikal Iskandar.
“Insya-Allah, dalam Mac atau April, saya dan abang saya akan keluarkan satu single baru. Lagunya sudah ada dan kini dalam proses persiapan akhir untuk dilancarkan,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://artismeletop.blogspot.com/2020/01/irfan-haris-cuba-nasib-jadi-pelakon.html