Ini Khasiat Air Kelapa Berdasarkan Sains Yang Anda Wajib Tahu
Ini Khasiat Air Kelapa Berdasarkan Sains Yang Anda ‘Wajib’ Tahu
Kelapa merupakan salah satu buah tropika yang mengandungi air menyegarkan dan mudah dinikmati pada bila-bila masa sahaja.
Selain rasanya yang manis secara semula jadi, ia juga kaya dengan nutrien penting yang bermanfaat untuk kesihatan tubuh badan manusia.
Tidak dinafikan, ramai orang memilihnya sebagai minuman sihat kerana ia bebas bahan kimia dan rendah kalori berbanding minuman bergula yang lain.
Namun, mungkin ramai yang tidak menyedari khasiat air kelapa berdasarkan pandangan saintifik. Justeru, berikut kami kongsikan penjelasan lanjut tentang manfaat kesihatan air kelapa.
1. Sumber pelbagai nutrien penting
Secara botani, kelapa dianggap sebagai buah yang tumbuh di iklim tropika dan dikenali secara saintifik sebagai Cocos nucifera.
Difahamkan, air kelapa ialah cecair yang terdapat di tengah buah kelapa muda yang membantu menyuburkan buah.
Apabila kelapa matang (sekitar 10–12 bulan) sebahagian air kekal, manakala selebihnya berubah menjadi isi putih padat yang dikenali sebagai isi kelapa.
Air kelapa biasanya diperoleh daripada kelapa muda berusia 6–7 bulan dan terdapat juga pada kelapa matang. Malah, sebiji kelapa hijau purata mengandungi kira-kira 1/2–1 cawan air kelapa.
Selain itu, ia juga mengandungi 94 peratus air dan sangat rendah lemak serta tidak sama dengan santan kelapa yang mengandungi kira-kira 50 peratus air dan tinggi lemak.
Menariknya, satu cawan (240 ml) air kelapa mengandungi kira-kira 60 kalori serta:
Karbohidrat: 15 gram
Gula: 8 gram
Kalsium: 4 % daripada nilai harian (DV)
Magnesium: 4 % DV
Fosforus: 2 % DV
Kalium: 15 % DV
2. Mempunyai sifat antioksidan
Tubuh manusia akan menghasilkan radikal bebas ketika metabolisme dan ia boleh meningkat akibat tekanan atau kecederaan.
Ini kerana, radikal bebas yang berlebihan boleh menyebabkan stres oksidatif dan meningkatkan risiko penyakit.
Di samping itu, kajian haiwan menunjukkan air kelapa mengandungi antioksidan yang dapat mengubah radikal bebas supaya tidak lagi mendatangkan mudarat.
Namun, setakat ini tiada kajian pada manusia dilakukan untuk mengesahkan kesan antioksidan air kelapa.
3. Membantu menurunkan gula darah bagi pesakit diabetes
Beberapa kajian haiwan menunjukkan air kelapa berpotensi menurunkan paras gula darah dan meningkatkan kawalan gula jangka panjang.
Selain itu, kandungan magnesium dalam air kelapa dapat meningkatkan sensitiviti insulin, sekali gus membantu individu dengan pra-diabetes atau diabetes jenis 2 menurunkan paras gula dalam darah.
Namun, disebabkan air kelapa mengandungi karbohidrat, pesakit diabetes perlu mendapatkan nasihat doktor atau pakar diet sebelum menjadikannya sebahagian daripada diet.
4. Membantu mencegah batu karang
Menurut portal Healthline, pengambilan cecair yang mencukupi sangat penting untuk pencegahan batu karang.
Ini kerana, kajian kecil menunjukkan bahawa air kelapa dapat membantu mengurangkan pengumpulan kristal kalsium dan oksalat dalam saluran kencing.
Lebih baik lagi, ia juga meningkatkan pengeluaran kalium dan sitrat melalui air kencing, sekali gus berpotensi mengurangkan risiko batu karang.
Namun, penyelidikan lanjutan berskala lebih besar diperlukan untuk mengesahkannya.
5. Menyokong kesihatan jantung
Pengambilan air kelapa dikaitkan dengan penurunan paras kolesterol dan trigliserida dalam kajian haiwan.
Selain itu, kandungan kalium yang tinggi (sekitar 500 mg dalam setiap 240 ml) boleh membantu menurunkan tekanan darah bagi individu yang mempunyai masalah hipertensi.
Walaupun hasil awal ini positif, namun lebih banyak kajian manusia diperlukan untuk mengesahkan kesannya.
6. Bermanfaat selepas bersenam
Air kelapa ialah pilihan semula jadi untuk mengembalikan hidrasi dan elektrolit yang hilang selepas senaman.
Ini kerana, air kelapa mengandungi elektrolit semula jadi seperti kalium, magnesium, natrium dan kalsium yang penting untuk mengekalkan keseimbangan cecair badan.
Beberapa kajian mendapati air kelapa lebih berkesan berbanding air kosong, malah setanding dengan minuman sukan dalam memulihkan tenaga selepas aktiviti fizikal terutamanya dalam keadaan panas.
7. Minuman hidrasi semula jadi
Air kelapa mempunyai rasa manis semula jadi yang ringan dengan sedikit rasa kekacang. Lebih menarik, ia rendah kalori dan karbohidrat di samping menjadikannya pilihan minuman sihat.
Bagi yang tidak dapat menikmati terus dari buah kelapa segar, air kelapa dalam botol atau kotak mudah didapati di pasar raya. Namun, pastikan pilih 100% air kelapa tanpa gula tambahan atau perisa tiruan.
Air kelapa juga boleh dijadikan bahan tambahan dalam smoothie, puding chia, sos salad atau sebagai pengganti air biasa untuk menambah sedikit rasa semula jadi.
BACA: Korang Kena Tahu, Ini ‘Kebenaran’ Di Sebalik Cas Telefon Sampai 100%
BACA: Kenali Pokok Kebangsaan Malaysia, Pokok Merbau
BACA: Jangan Buang Kulit Nanas, Ini Sebab Kenapa Anda Perlu Simpan
Sumber: Healthline
The post Ini Khasiat Air Kelapa Berdasarkan Sains Yang Anda ‘Wajib’ Tahu appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/09/03/ini-khasiat-air-kelapa-berdasarkan-sains-yang-anda-wajib-tahu/