Ingin Jatuh Cinta 6 Buah Buku Ini Bisa Buat Anda Mengalaminya
CINTA - umpama satu kuasa yang ada di mana-mana. Cinta kepada Allah, cinta fitrah sesama manusia, cinta kepada keluarga dan masyarakat. Setiap dari kita pasti pernah merasainya, rasa cinta, kasih dan sayang ini tidak akan pernah luput dari jiwa seorang manusia.
Novel cinta salah satu genre yang banyak di pasaran seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Lambakan novel cinta menyebabkan ramai pembaca merasakan genre ini sudah tepu dan jalan ceritanya yang klise.
Jadi kami ingin berikan anda 6 buah novel cinta yang luar dari kebiasaan. Bisa membuat anda jatuh cinta sekali lagi.
Sunan Cinta Nan SaktiPenulis: Ramlee Awang MurshidTahun Terbit: 2015Penerbit: Alaf21
Buku ke-8 dalam siri epik SUNAN. Kisah cinta Saifuddin dan Ratna Sang Ratu Sulaman dalam kancah peperangan dan permusuhan.
Wali Sufi menegah cinta itu kerana cinta kepada Pencipta diutamakan, lalu cinta fitrah suci bakal dikurniakan.
Maharani melarang cinta Sang Ratu kerana ia bakal melemahkan semangat srikandi seorang pejuang.
"Sebagai manusia...aku sayang padamu." - Laksamana Sunan
"Akan aku pastikan kuburanmu tidak bertanda. Akan kupastikan kematianmu tidak diratapi... apatah lagi untuk dikenang. Seluruh marga negerimu akan kuseksa. Kujadikan negerimu sebuah neraka dunia!” - Ratna Sang Ratu Sulaman.
Dalam kancah peperangan dan permusuhan yang sedang rancak bergolak, maka...
Di sinilah... lahirnya seorang legenda.Di sini jugalah zahirnya sebuah cinta.
Siapa yang bakal belasungkawa? Pencinta atau yang dicintai?
Cik Yah dan Encik LiasPenulis: AiriszTahun Terbit: 2019Penerbit: Karya Seni
Kisah Yah yang duduk dikampung mengusahakan perniagaan ikan pekasam. Selalu dipandang hina dan busuk oleh orang sekeliling dan adik beradiknya sendiri. Namun, dia tidak patah semangat. Yah menjadikan hinaan itu sebagai pembakar semangat. Biar satu hari nanti, mereka sedar busuk ikan pekasam itu akan jadi wangi bila menjadi duit.
Lias seorang pemuda kampung yang hanya bekerja di kolam ikan. Dengan motor cabuknya dia ke hulu ke hilir mencari rezeki. Orang kampung dengan mudah memanggilnya pemalas kerana mereka tidak nampak usaha dan penat lelahnya menternak ikan.
“Kau tahu kan Lias tu tak ada kerja tetap? Dia tu tak ada masa depan. Dengan lelaki tak guna tu kau nak kahwin?” - Along
“Tak ada lelaki lain ke nak buat suami? Apa Lias yang boleh berikan pada kau? Kerja kampung macam tu tak menjamin masa depan langsung!” - Wan
Cinta mereka mungkin kebetulan, mungkin tidak semanis kisah cinta yang lain. Namun, kisah cinta mereka bersama perjuangan membuka mata orang sekeliling supaya tidak memandang hina kepada usaha yang mereka lakukan. Tanpa pelajaran yang tinggi, mereka berusaha untuk berjaya. Dengan kecaman dari orang sekeliling, mereka buktikan yang mereka boleh berjaya.
PulangPenulis: Lily Haslina NasirTahun Terbit: 2018Penerbit: Karya Seni
Che Thom dan Othman bertemu dan bercinta. Tuntutan hidup memisahkan mereka bila Othman belayar menjadi kelasi kapal untuk mencari nafkah buat keluarga mereka. Janji Othman sentiasa diingati Che Thom.
"Aku janji Thom, aku pulang. Aku janji aku balik semula ke Serkam. Aku tak ada harta di sini. Izinkan aku belayar keliling dunia, Aku buat semua ini untuk kau, Thom. Aku janji aku kirim berita untuk kau." - Othman
Penantian itu sesungguhnya satu penyiksaan. Penantian Che Thom yang tiada penghujung dan kesudahannya. Mampukah cinta mereka dipertahankan? Adakah bahagia masih milik mereka? Lupakan Othman pada janji yang pernah dilafazkan. PULANG, sebuah naskah yang memaparkan kisah cinta yang tidak diduga.
Jaja & DinPenulis: Noor SurayaTahun Terbit: 2009Penerbit: Jemari Seni
Cinta pandang pertama, adakah wujud di alam nyata? Jaja tidak menyangka sebuah gambar telah buat dia jatuh cinta. Dia nekad mencari empunya diri berdasarkan maklumat yang diperolehi dari juru gambar yang terbabit. Jalan lama itu ditelusuri sambil berdoa kepada Allah agar dia dipertemukan dengan tuan punya diri.
Inilah cerita Jajayang meminang ustaz Sastera Arab lulusan Universiti al-Azhar sebagai suami. Tegarkah Jaja seorang media planner memilih hidup ala-ala ‘zuhud’ macam Din nanti?
Jaja yang berubah 360 darjah demi cintanya kepada Din.
Din yang cuba menerima Jaja dalam kehidupannya.
Semuanya tak seindah yang diimpikan. Kehidupan Din dan Jaja yang berbeza. Impian dan cita-cita Din yang ingin berjihad di jalan Allah. Dapatkah Jaja menerima semuanya? Tegarkah Jaja menunggu Din untuk pulang semula kepangkuannya?
Tak ada cinta sepertimuPenulis: Anna MiliaTahun Terbit: 2017Penerbit: Fajar Pakeer
Kisah kehidupan Athea yang penuh cabaran dan dugaan. Segala kebaikannya disalah erti, Hazran merasakan kehadiran Athea menjadi punca dia putus tunang. Tuduhan berat yang dilemparkan Hazran kepada Athea menyebabkan Athea nekad tidak lagi wujud dalam hidup Hazran.
Athea meneruskan kehidupan seperti biasa hingga dia bertemu semula dengan Azam. Athea seperti mendapat nafas baru dalam hidupnya. Azam dirasakan lelaki yang bakal memahami dan menghargai dirinya. Kehadiran Azam sedikit sebanyak menyedarkan Hazran akan perasaan sebenarnya kepada Athea. Dan Azam...bukan lelaki seperti yang Athea idamkan.
Namun, kisah cinta mereka terus dihujani dengan konflik. Ayah Athea yang jatuh sakit, Azam yang mementingkan diri sendiri dan ibu Hazran yang menentang pilihan hati anaknya.
Cabaran dan dugaan, mampukah Athea harunginya? Adakah kebahagiaan bakal jadi milik mereka?
Salju SakinahPenulis: Zaid AkhtarTahun Terbit: 2008Penerbit: PTS Milllenia
Salju Sakinah sebuah novel yang masih membumbukan secebis kisah cinta namun tetap mesra dan tepu dengan persoalan global dunia Islam, ekonomi, politik dan sosial yang digauli wataknya. Novel Islami ini menyorot ketabahan watak Sumayyah, siswi Malaysia di Universiti Yarmouk, Jordan yang berada di semester terakhir pengajiannya.
KISAH cinta memang enak dibaca. Namun tidak banyak kisah cinta yang dinovelkan menyuguh batas-batas cinta menurut Islam apalagi menyuntik wacana pemikiran yang seharusnya menjadi bekal sekaligus memperkaya jiwa pembaca. Lantas Salju Sakinah cuba menawarkan apa yang jarang-jarang ditawarkan selama ini.
Salju Sakinah sebuah novel yang masih membumbukan secebis kisah cinta namun tetap mesra dan tepu dengan persoalan global dunia Islam, ekonomi, politik dan sosial yang digauli wataknya. Novel Islami ini menyorot ketabahan watak Sumayyah, siswi Malaysia di Universiti Yarmouk, Jordan yang berada di semester terakhir pengajiannya.
Meskipun Salju Sakinah menjadikan wanita sebagai watak utama dan mengambil dua latar tempat yang jauh berbeza iaitu Jordan dan Malaysia, novel ini dengan sengaja mengetengahkan suasana kehidupan pelajar Malaysia di Timur Tengah selain konflik sosial seperti hasad dengki, fitnah-memfitnah serta kepercayaan khurafat dan ilmu sesat yang menjadi penyakit sebahagian masyarakat.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dulatbuku.blogspot.com/2019/08/ingin-jatuh-cinta-6-buah-buku-ini-bisa.html