Individu Serang Pos Kawalan Sempadan Sedang Dikenal Pasti
KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengenal pasti beberapa individu yang terlibat dalam insiden serangan menggunakan mercun roket ke atas kawasan pos kawalan 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) berhampiran pagar sempadan di Padang Besar, Perlis, semalam.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor mengesahkan berlaku serangan di kawasan pos kawalan berkenaan.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan.
“Polis tidak boleh tuju sama ada serangan itu dilakukan warga Thailand atau warganegara lain sekalipun. Tapi apa yang pasti memang ada berlaku serangan mercun (roket) di pos kawalan PGA berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sistem e-Pengambillan PDRM di Bukit Aman di sini hari ini.
Pos kawalan itu dilaporkan diserang pada kira-kira 11.20 pagi dan 12.40 tengah hari semalam dengan beberapa das tembakan mercun roket yang antara lain menyebabkan cermin tingkap pecah.
Mengenai isu basikal lajak, Mazlan berkata pihaknya boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap ibu bapa yang membenarkan anak mereka mengubai suai basikal tanpa menepati aspek keselamatan.
Beliau berkata dalam hal ini, tindakan penguatkuasaan dmasih diambil demi keselamatan pengguna jalan raya.
“Polis trafik akan pantau perkara ini dan tindakan akan diambil, banyak kesalahan (peruntukan undang-undang) boleh diambil (tindakan) terhadap individu terbabit tarmasuk ibu bapa,” katanya.
Semalam, Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Feb 2017.
Majistret Siti Hajar Ali membebaskan Sam Ka Ting, 24, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
— BERNAMA
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2019/10/29/individu-serang-pos-kawalan-sempadan-sedang-dikenal-pasti/