Individu Bersih Berintegriti Bebas Rasuah Akan Dilantik Sebagai Menteri Pm
Wartawan MalaysiaGazette                                                                                                                                                                                                                                                                                          

Perdana  Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menurunkan tandatangan pada borang  rasmi sempena hari pertama bertugas di Bangunan Perdana Putra,  Putrajaya. foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA 
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin  sedar bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang bersih,  berintegriti dan bebas rasuah.
 Berikutan itu, sebagai permulaan, beliau berjanji akan melantik  anggota jemaah menteri dari kalangan individu yang mempunyai ciri-ciri  demikian.
 Katanya, kerajaan pimpinannya akan memberi keutamaan kepada  usaha-usaha untuk meningkatkan integriti dan tadbir urus kerajaan yang  baik.
 Ini termasuk usaha-usaha untuk membanteras amalan rasuah dan salah  guna kuasa dengan meningkatkan penguatkuasaan dan memperkemaskan  undang-undang, peraturan dan amalan yang berkaitan, jelas beliau.
 “Saya juga faham bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan  yang prihatin dan cekap dalam menyelesaikan permasalahan rakyat.
 “Saudara memerlukan wang untuk membeli barang keperluan harian,  membeli buku dan keperluan sekolah untuk anak-anak, membayar bil air,  letrik dan sewa rumah, membayar pinjaman kereta dan kediaman, serta  lain-lain keperluan untuk menyara kehidupan sekeluarga,” katanya dalam  ucapan yang disiarkan secara langsung oleh rangkaian televisyen RTM  malam ini.
 Menurut Muhyiddin, beliau juga tahu bahawa antara perkhidmatan yang  paling diperlukan oleh rakyat ialah perkhidmatan kesihatan yang  berkualiti dengan kos yang berpatutan dan ini akan menjadi keutamaannya.
 Tambah Perdana Menteri, beliau sedar bahawa rakyat juga mahukan  pendidikan yang berkualiti untuk anak-anak mereka dan dengan pengalaman  selama enam tahun sebagai Menteri Pendidikan beliau akan berusaha untuk  melonjakkan lagi kualiti pendidikan negara.
 “Saya akan pastikan anak-anak kita mendapat taraf pendidikan yang  setanding dengan negara-negara maju. Usaha ini telah pun saya mulakan  dahulu. InsyaAllah ianya akan diperkukuhkan lagi pada masa hadapan.
 “Saya tahu bahawa saudara dan saudari mahukan sebuah negara yang  stabil, aman dan makmur.
Sebuah negara yang menawarkan kehidupan yang  lebih baik untuk kita semua,” ujarnya.
 Berkiutan itu, jelas Muhyiddin, kerajaan pimpinannya akan memberi  tumpuan kepada pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang akan  melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dan merapatkan jurang ekonomi  dalam masyarakat.
 Dalam ucapannya, Muhyiddin menyeru rakyat bersama-sama membina semula negara dan kembalikan kegemilangannya.
 “Saya adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dari Perlis  hingga ke Sabah. Baik saudara orang Melayu, saudara orang Cina, saudara  orang India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, orang asal, atau apa jua  kaum dan etnik, saya adalah Perdana Menteri saudara.
 “Samada saudara adalah petani, saudara nelayan, saudara peniaga,  saudara penjawat awam, saudara pekerja swasta, saya adalah Perdana  Menteri saudara,” tambah beliau.
 Sementara itu, Perdana Menteri merayu agar rakyat memberi sokongan  padu kepadanya untuk memikul amanah dan tanggungjawab besar ini dengan  memberi peluang untuk memanfaatkan 40 tahun pengalamannya dalam politik  dan kerajaan untuk mengemudi Malaysia ke arah kegemilangan.
 Muhyiddin juga meminta sedikit masa diberikan kepada untuk menetapkan  garis-garis utama hala tuju kerajaan dan negara di bawah pentadbiran  baharu ini yang akan diumumkan kepada rakyat dalam masa terdekat.
 Pada akhir ucapannya, selain mengucapkan terima kasih kepada rakyat  yang telah menghadapi kemelut politik dengan sabar dan tenang, Muhyiddin  turut mengucapkan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohmad yang telah  banyak berjasa kepada negara. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/03/individu-bersih-berintegriti-bebas.html