Imigresen Kaji Cara Kekang Pelacuran Warga Asing Guna Pas Lawatan Sosial
Dewi Nur Harasha Alias, Astro Awani                                                                                                                                                                

                                Seramai  19 wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO)  ditahan dalam Ops Gegar di dua buah hotel sekitar George Town malam  tadi. - BERNAMA                              GEORGE TOWN: Jabatan  Imigresen Malaysia akan mengkaji kaedah bersesuaian yang boleh digunakan  ke atas pelancong yang kerap menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka  di negara ini.
 Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, ia bagi mengekang kegiatan pelacuran membabitkan pelancong asing.
 "Mereka ini masuk melalui jalan darat, biasanya Changlun dan Bukit Kayu Hitam di Kedah.
 "Dari segi kekerapan, mereka masuk dalam dua kali sebulan atau dua  minggu sekali untuk membolehkan pasport mereka dicop. Kemudian mereka  akan masuk semula untuk kegiatan yang tidak bermoral ini," kata Khairul  Dzaimee. Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu perlu dikaji terlebih dahulu  bagi memastikan tiada pelancong tulen teraniaya, khususnya mereka yang  kerap masuk ke negara ini untuk urusan perniagaan.
 "Mungkin  selepas ini, pelancong yang kerap masuk menggunakan pas lawatan sosial  akan ditemuramah secara lebih mendalam di pintu masuk negara. 'Genuine  traveller' juga perlu dikaji dengan lebih teliti," katanya.
  Tambahnya, setakat ini cadangan berkenaan masih di peringkat  perbincangan di jabatan dan memerlukan pertimbangan serta kelulusan  Kementerian Dalam Negeri (KDN) jika ia mahu dijadikan dasar baharu.
 Pada Rabu, Khairul Dzaimee menyertai Ops Gegar yang dijalankan Jabatan  Imigresen Pulau Pinang di beberapa lokasi di negeri itu – dua hotel di  Jalan Rangoon dan di sebuah tapak pembinaan di Perai. 

Pegawai  Imigresen melakukan pemeriksaan ke atas sebahagian daripada 137 pekerja  asing di tapak pembinaan dekat Kampung Jawa Perai yang diperiksa oleh  Jabatan Imigresen Negeri malam tadi.
 - BERNAMA
  Dalam serbuan itu, seramai 19 wanita warga asing membabitkan 15 dari  Thailand, tiga dari Myanmar dan seorang dari Laos ditahan di atas  pelbagai kesalahan termasuk pelacuran.
 Mereka juga didapati  menyalahgunakan pas lawatan sosial. Kes mereka disiasat mengikut  Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
 Turut  ditahan, seramai 50 pendatang tanpa izin (PATI) daripada 137 individu  yang bekerja di sebuah tapak pembinaan di Kampung Jawa, Perai atas  pelbagai kesalahan.
 Kes mereka disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963  
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/imigresen-kaji-cara-kekang-pelacuran.html