Ilmu Nujum Bertopengkan Falak Menunggang Bencana Banjir
ALANG IBN SHUKRIMUN
DI SAAT rakyat Malaysia sibuk menguruskan banjir, muncul pula mesej-mesej ramalan mengenai bencana-bencana yang akan datang. Dikatakan menurut pendapat ulamak sekian-sekian, akan berlaku sekian-sekian. Dikatakan ianya dari kajian ilmu falak.
Ada beberapa perkara perlu dijelaskan berkait ramalan ini, supaya tidak tertukar antara ilmu falak dan ilmu nujum.
Maksud
Falak adalah ilmu perhitungan pergerakan alam cakerawala merangkumi bumi, bulan, bintang dan matahari. Dari ilmu inilah terhasilnya kalendar, masa, musim, waktu solat, arah kiblat dan sebagainya.
Nujum atau tanjim adalah ilmu tilik nasib berdasarkan kedudukan bintang. Kelahiran seseorang ada kaitan dengan masa depan (horoskop). Baik buruk sesuatu perbuatan berkait dengan tarikh dan seumpamanya.
Sandaran
Falak adalah ilmu saintifik berasaskan petunjuk-petunjuk empirik dan logik. Menggunakan kaedah matematik, dibantu dengan radas cerapan seperti teleskop dan sebagainya. Juga disebut sebagai ilmu astronomi. Khusus berkait dengan cuaca, ianya termasuk dalam disiplin ilmu meteorologi.
Nujum adalah pseudo-science atau sains palsu. Menggunakan kaedah yang tidak saintifik, bergantung kepada pandangan peramal sendiri. Dikaitkan dengan alam ghaib dan mistik. Juga disebut sebagai ilmu astrologi.
Sejarah
Ilmu nujum wujud sejak lama dahulu sebelum kemunculan risalah Muhammad S.A.W. Sebelum Baginda lahir, syaitan mampu mencuri maklumat di langit mengenai apa ketentuan tuhan akan datang. Maklumat ini dikongsi kepada manusia yang memuja mereka. Maklumat ini turut dicampur aduk dengan ramalan pernomboran, perbintangan bagi menampakkan keabsahan.
Lahir Nabi S.A.W, pintu langit ditutup dan maklumat tidak lagi boleh dicuri. Namun ulamak Islam melihat peredaran alam cakerawala ini mempunyai perkiraan tersendiri berasaskan sunnatullah. Dengan memisahkan unsur mistik dan ghaib, ulamak menggariskan kaedah-kaedah falak secara saintifik bagi membantu kehidupan seharian terutama ibadah.
Perspektif Islam
Islam menggalakkan kajian terhadap ilmu Falak dan astronomi. Al-Quran banyak membawa ayat-ayat berkait dengan ilmu ini seperti peredaran bintang (al-Waqiah: 75-76), bumi sfera (az-Zumar:5, al-Hajj:27), peredaran bulan dan matahari mengikut orbit (Yaasin: 40), dan banyak lagi.
Khusus berkait dengan perbintangan, Allah S.W.T Berfirman:
وَبِٱلنَّجۡمِ هُمۡ یَهۡتَدُونَ
“Dengan bintang mereka mendapat petunjuk.”
(an-Nahl: 16)
Ibnu Abbas dan para mufassir lain mengatakan ia bermaksud petunjuk arah pengembara di darat dan laut.
Nabi S.A.W menjelaskan lagi:
خلق الله هذه النجوم لثلاث : زينةً للسماء ، ورجوماً للشياطين ، وعلاماتٍ يُهتدى بها ، فمن تأول فيها غير ذلك أخطأ وأضاع نصيبه وكُلف ما لا علم له به
“Allah menciptakan bintang ini 3 tujuan; perhiasan langit, rejaman syaitan dan tanda-tanda untuk dijadikan panduan (menunjuk arah). Barangsiapa mentakwilkannya selain dari itu maka mereka telah sesat, rugi dan melakukan perkara di luar pengetahuan mereka.”
[Hadis Riwayat Bukhari]
Hadis di atas membawa dua pengajaran:
1. Menggalakkan ilmu kaji bintang atau falak atau astronomi bagi membantu kehidupan seharian.
2.Melarang sebarang bentuk ramalan nasib berasaskan perbintangan atau astrologi atau horoskop yang berleluasa sejak zaman Jahiliyyah.
Kesimpulannya, jangan terkeliru antara falak dan nujum. Berhati-hati dalam mempercayai perkara ghaib dan akan datang yang tidak bersumberkan nas. Boleh membawa kepada syirik wal iyazu billlah.
– HARAKAHDAILY
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/12/ilmu-nujum-bertopengkan-falak.html