Idea Kabinet Dapur Untuk Ruang Kecil
Tak perasan masa terlalu cepat berlalu, kita kini berada dalam minggu pertama bulan Julai 2020. Bulan ini masuk bulan kelahiran saya. Sebab itulah sejak dua menjak ini kepala saya makin pening. Pening memikirkan hadiah hari lahir yang bakal saya terima untuk tahun ini. Kenapa pening
Sebenarnya saya ada request pada suami untuk buat kabinet dapur memandangkan table top dapur kami telah dipenuhi dengan kebanyakan barang asas memasak, almaklumlah dapur kami memang kecil. Jadi bila suami kata on, automatik hadiah hari lahir saya yang ke 34 adalah kabinet dapur. Yey! Alhamdulillah perdana menteri keluarga telah luluskan permohonan menteri kewangannya :P
Idea Kabinet Dapur untuk Ruang Kecil
Setelah diluluskan, kami mula panggil orang untuk ambil ukuran dapur bagi dapatkan gambaran belanjawan yang perlu disediakan sebelum mula membuat kabinet. Tapi kelakarnya pula bila pakcik tukang yang pada asalnya datang untuk ambil ukuran kabinet, mula cadangkan kami untuk besarkan saiz dapur. Tak cukup dengan itu, beliau juga siap suruh kami beli rumah lain. Pulak dah..haha. Tergelak sekejap. Agaknya pakcik tu tengok rumah kami kecil sangat agaknya, itu yang suruh beli rumah lain tu.
Nak beli rumah lain memang tak mampu pakcik, jadinya pilihan yang ada samada besarkan sikit dapur atau buat kabinet sahaja. Jadi kami yang pada awalnya cuma nak buat kabinet dapur kini dah bertukar plan pula nak besarkan dapur. Maknanya kami terpaksa KIV dulu kabinet dapur buat masa sekarang. Terima kasih pakcik sebab kasi cadangan, memang tak pernah terfikir pula kami nak besarkan dapur. Bernas idea pakcik
Masalah pening kepala saya mula datang apabila memikirkan pilihan padanan warna jubin lantai dan cat dapur yang sesuai supaya masuk dengan kabinet yang bakal menyusul nanti. Disebabkan saya dah pening nak buat pilihan yang banyak sangat cantik menarik tertarik, jadi saya simpan di sini gambar kabinet untuk dapur kecil yang saya ambil daripada Google. Kredit dan terima kasih kepada laman web asalnya ya. Dikongsikan juga tips supaya dapur nampak lebih besar di bawah untuk panduan bersama.
Tips supaya Dapur Nampak Lebih Besar
Ada beberapa tips yang boleh dilakukan supaya dapur kecil saya boleh kelihatan besar. Selain tiga tips di bawah, boleh baca juga di sini untuk tips umum yang lain ya >> Design Hacks for Small Space Living
1. Pilihan warna putih atau plain lembut
Warna putih atau plain lembut merupakan pilihan terbaik agar dapur kelihatan lebih besar. Bukan sahaja membantu memberi effect luas kepada ruang dapur, malah warna lembut juga mampu menenangkan diri dengan persekitaran dapur yang nampak damai. Meskipun warna ini boleh menenangkan namun jangan lupa ia juga mudah kotor jika tidak dijaga dengan baik. Jadi saya perlu selalu rajin mengemas dan membersihkan dapur setelah selesai memasak untuk memastikan warnanya tidak ternoda
2. Simpan semua alatan dapur dalam kabinet
Ingin dapur nampak lebih kemas dan besar? Sembunyikan barangan dapur di dalam kabinet. Dengan cara ini bukan sahaja dapat memudahkan kerja mengemas dilakukan, malah turut mengelakkan alatan kecil seperti periuk dan pinggan kelihatan menyerabutkan suasana sewaktu memasak di dapur. Dapur akan kelihatan kemas tersusun dengan padanan warna monotone hanya daripada kabinet dapur sahaja. Keluarkan makanan daripada bungkusan plastiknya, masukkan ke dalam botol dan susun di dalam kabinet. Tentu lebih kemas dan menarik mata untuk memandang
3. Pencahayaan yang mencukupi
Pencahayaan yang cukup mampu menjadikan suasana nampak lebih besar dan menarik. Cuba bayangkan jika dapur di rumah tidak mempunyai aliran pencahayaan yang mencukupi, pasti mood memasak akan jadi pudar semalap cahaya di dapur. Untuk atasi masalah ini, dua cara boleh dilakukan samada untuk menggunakan tingkap atau memasang lampu. Pilihan tingkap yang sesuai samada menggunakan tingkap aluminium atau tingkap kayu pasti membantu untuk dapatkan cahaya langsung daripada matahari. Jika dapur tidak mempunyai tingkap, tambahkan beberapa buah lampu di dapur. Letak di bawah kabinet dapur atau pasang di atas island bar pasti membantu mood untuk terus berada di dapur
Progress Dapur Kecil Saya
Sudah masuk seminggu saya cuti memasak demi misi menyambung dapur dijalankan. Progress siap baru dalam 40%. Kalau ikut anggaran suami sepatutnya dalam dua minggu akan siap tapi rasanya memang tak dapat nak siap dalam jangka masa tersebut. Nampak gayanya saya akan selalu makan makanan luar dan saya dah tak sabar nak mula masak di dapur sendiri ni
Kami cuma tarik lapan kaki dari dapur asal dan anggaran kasar belanjawan bagi tambahan dapur ni adalah dalam RM10,000. Harga ini termasuk kos beli hood dan dapur tanam, lampu dan jubin tapi belum termasuk servis mengecat dan kabinet dapur lagi. Makanya tahun ni no holiday ye anak-anakku sayang..huhu.
Cepat siap please dapur kecil mak, tak sabar dah mak nak update youtube channel dan masak lauk sedap-sedap setiap hari. Kitorang dah muak makan roti, nasi goreng, ayam goreng dan maggi je. Nak buat macammana, dapur dah takde. Masak pun kat ruang tamu, basuh pinggan pulak dalam tandas. Huwaa...bertabahla mak. Btw terima kasih tukang yang buat dapur. Sorry saya cuma boleh hidangkan air je untuk hilangkan dahaga, makanan takde :(
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.nurzariniismail.com/2020/07/kabinet-dapur-ruang-kecil.html