Ibu Hamil Terpaksa Induce Waktu Nak Bersalin Ni Puncanya
Terpaksa bersalin melalui proses induce atau proses bersalin secara paksa adalah untuk membolehkan kontraksi rahim terjadi sebelum kelahiran semula jadi berlaku.
Proses bersalin secara induce ini mungkin akan disarankan oleh doktor atau pengamal perubatan disebabkan oleh faktor tertentu, sama ada melibatkan perubatan atau bukan perubatan.
Tetapi adakah ia selamat atau terdapat risiko yang boleh berlaku? Bagaimana pula dengan persediaan jika perlu menjalani prosedur ini Teruskan pembacaan anda untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.
Kenapa perlu bersalin secara induce?
Selalunya proses bersalin secara induce ini akan disarankan jika wujud kebimbangan mengenai kesihatan ibu mahupun bayi dalam kandungan. Di samping itu, faktor lain yang mungkin memerlukan proses bersalin secara paksaan ini adalah jika jarak tempat tinggal anda jauh dari hospital.
Maka pemilihan bersalin induce adalah wajar untuk mengawal masa bersalin dan tempoh kelahiran bayi.
Perkara lain mungkin melibatkan:
Telah melepasi tarikh jangkaan bersalin (EDD)
Menghidap diabetes gestasi
Chorioamnionitis – jangkitan pada rahim
Tumbesaran bayi terhenti
Oligohydramnios – cecair ketuban sedikit atau bocor
Halangan atau gangguan plasenta
Air ketuban pecah tetapi tidak berlaku kontraksi
Sejarah proses bersalin cepat dan pantas
Bagi wanita berbadan dua dengan isu kesihatan tertentu tidak boleh disyorkan untuk melakukan proses bersalin secara induce ini.
Kaedah untuk bersalin induce
Untuk prosedur bersalin secara paksa ini, terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan. Cuma perlu diingatkan adalah kaedah yang mungkin sesuai dengan seseorang individu lain, mungkin tidak berkesan untuk anda.
Antara kaedah yang boleh digunakan dalam proses bersalin secara induce adalah:
Amniotomi atau memecahkan air ketuban. Doktor akan mencucuk lubang kecil pada kantung ketuban. Ia sekali gus menyebabkan kontraksi lebih kuat
Pitocin atau disebut oxytocin, yang merupakan hormon untuk mempercepatkan proses bersalin. Kaedah ini menggunakan intravena (IV) pada lengan
Cervical ripening. Dilakukan dengan pengambilan ubat secara oral atau dimasukkan ke dalam faraj (analog prostaglandin) untuk meregang, melembutkan dan mengembangkan serviks
Kaedah bersalin induce menggunakan kateter (catheter) atau belon yang berfungsi untuk menjarakkan kantung dengan rahim. Ia akan merangsang hormon dan mencetuskan kontraksi
Menarik selaput (stripping membrane). Untuk kaedah ini doktor akan menggunakan jari yang telah dipakaikan sarung tangan bagi memisahkan kantung nipis pada ketuban daripada dinding rahim
Dari masa ke masa, bergantung kepada keadaan, doktor mungkin akan menggunakan lebih daripada 1 kaedah untuk proses bersalin secara paksa ini.
Berapa lama proses bersalin induce?
Secara amnya, ia adalah berbeza mengikut individu. Sekiranya serviks anda lembut dan matang, ia hanya memerlukan dorongan lembut untuk berlakunya kontraksi. Jika tidak, ia boleh mengambil masa beberapa jam sehingga beberapa hari sebelum berlakunya kelahiran bayi.
Dalam sesetengah kes, proses induce tidak berfungsi seperti diharapkan dan kaedah yang sama perlu diulang.
Risiko yang boleh terjadi dalam proses bersalin induce
Antara risiko proses bersalin secara induce, adalah:
Boleh mengalami kontraksi lebih kuat, menyakitkan dan kerap
Berdepan peningkatan risiko kemurungan selepas bersalin
Prosedur induce gagal dan perlu menjalani kaedah kelahiran caesarean
Wujud risiko jangkitan pada ibu dan bayi
Masalah rahim pecah. Ini terutamanya bagi wanita yang pernah menjalani pembedahan czer atau pembedahan rahim lain
Kontraksi yang terlalu banyak boleh menyebabkan perubahan pada kadar degupan jantung bayi
Risiko kematian janin
Persediaan diri
Biasanya prosedur ini akan dilakukan di hospital atau pusat bersalin, di mana anda dan bayi boleh dipantau oleh doktor.
Pun begitu, ada beberapa persiapan yang ibu perlu lakukan sebelum menjalani proses bersalin secara induce.
1. Bertanyakan soalan
Jika terdapat sebarang keraguan atau kebimbangan, jangan ragu untuk bertanya. Ia pastinya akan membantu anda untuk lebih tenang selepas mengetahui perkara yang boleh dijangkakan. Anda mungkin ingin mengetahui kaedah yang akan dipilih, risikonya dan rancangan doktor jika kontraksi tidak berlaku seperti diharapkan.
Antara beberapa soalan lain yang boleh ditanya:
Sebab perlu melakukan induce
Keadaan serviks
Kedudukan bayi
Bolehkah anda bergerak selepas prosedur induce?
Adakah ia menyakitkan dan pilihan yang anda ada untuk mengurangkan rasa sakit?
2. Keselesaan diri
Persiapan untuk keselesaan diri akan bergantung kepada prosedur yang dipilih. Anda mungkin tidak dapat bergerak banyak sekiranya diberikan Pitocin melalui IV.
Antara perkara yang boleh membantu meringankan rasa sakit adalah:
Sokongan daripada pasangan, rakan atau ahli keluarga
Kekal terhidrat
Mengubah posisi kedudukan, seperti bergerak dari sisi ke sisi, berjalan, squatting atau berdiri
Ciptakan persekitaran yang menyelesakan seperti mendengar alunan muzik
Mandi – bergantung kepada kemampuan anda bergerak dan fasiliti
Teknik pernafasan mendalam
Bersalin induce? Terima dengan terbuka
Mungkin proses bersalin secara induce bukanlah apa yang anda jangkakan. Tetapi tiada salahnya untuk anda bersikap terbuka dan menerimanya. Ini kerana perkara yang paling penting adalah keadaan diri anda dan bayi selamat dilahirkan.
Dalam kebanyakan kes, prosedur bersalin secara paksa ini berjaya membawa kepada kelahiran normal.
Menarik: “Impian Hari Lahir Ke-45” Mahu Sambut Di Mekah, Siti Nurhaliza Bawa Anak-Anak Tunai Umrah!
Untuk mama papa yang ada baby masih merangkak, jom sertai Pa&Ma x Meracle Baby Merangkak Race dan berpeluang menang wang tunai.
Daftar SINI (https://toko.ideaktiv.com/product/baby-merangkak-race/)
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Kredit: Hello Doktor
The post Ibu Hamil Terpaksa Induce Waktu Nak Bersalin, Ni Puncanya! appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/ibu-hamil-terpaksa-induce-waktu-nak-bersalin-ni-puncanya/