Ibu Bapa Rayu Kpm Benar Sekolah Cuti Raya Awal
Imej hiasan
PETALING JAYA – “Kalau tahun lalu saya terpaksa tempuh hampir 20 jam balik Kelantan, kalau tahun ini masih raya mengejut, tidak mustahil akan alami situasi sama atau lebih lama atas jalan.”
Demikian ujar seorang kerani swasta, Aini Ameera Mohd. Azhar, 29, yang bimbang sekiranya ramalan 1 Syawal yang akan jatuh pada 21 April 2023 benar-benar menjadi kenyataan
Dia adalah merupakan sebahagian daripada ibu bapa yang merayu kepada Kementerian Pendidikan (KPM) supaya tarikh cuti Aidilfitri tahun ini diawalkan sekurang-kurangnya sehari iaitu pada 19 April ini
Ujarnya, aliran trafik di lebuh raya utama akan terlalu sesak disebabkan ramai ibu bapa akan mengalami situasi kelam kabut dan sukar merancang perjalanan pulang ke kampung dengan baik
“Kalau yang kampung dekat mungkin tak ada masalah balik sehari sebelum raya, tetapi yang jauh macam saya tinggal di Kuala Lumpur dan kampung di Kuala Krai pastinya memerlukan perjalanan lebih lapan jam
“Orang bersiap pagi raya di kampung, saya dan keluarga masih bersengkang mata duduk dalam kereta tempuh kesesakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam
Kelmarin, Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpengkalan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menjangkakan akhir Ramadan adalah pada hari Khamis bersamaan 20 April ini dan 1 Syawal dijangka keesokkannya
Pekerja swasta, Fatin Insyirah Kamaruzzaman, 35, turut menyarankan agar satu perbincangan semula dilakukan KPM dan beberapa pihak berkaitan dalam mengkaji semula kewajaran mengawalkan cuti sekolah
Katanya, ia memberi ruang kepada ibu bapa untuk merancang perjalanan serta keperluan menyambut raya selari dengan cuti sekolah anak-anak
“Kalau cuti sekolah dapat lebih awal pada 17 atau 18 April, ibu bapa boleh rancang jadual perjalanan balik kampung khusus buat mereka yang perlu meredah lebih 200 kilometer (km)
“Kalau ada dua ke tiga hari jarak sebelum raya, maknanya pengguna jalan raya juga tidak balik kampung serentak. Dapat juga elak kesesakan yang melampau saat-saat akhir ini,” ujarnya
Seorang lagi pekerja swasta, Khairunnisa Mohd. Jahid, 33, beranggapan tidak salah untuk KPM memberi cuti persediaan yang cukup buat ibu bapa, guru dan pelajar dalam merancang perjalanan pulang beraya
“Kalau diawalkan pada 19 April pun sudah memadai, sekurang-kurangnya perantau tidak kepenatan sehingga mengundang kecelakaan jalan raya,” katanya.
Sumber asal - KOSMO! ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.cikgushare.com/2023/04/ibu-bapa-rayu-kpm-benar-sekolah-cuti.html