I Miss You Ph
malaysiakini.com
Diterbitkan Hari ini 12:45 pm
Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu menyampaikan penghargaan khusus kepada Pakatan Harapan (PH) selepas gagal dalam undi percaya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua barisan ahli-ahli dewan undangan negeri.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada rakan rakan seperjuangan saya dalam kerajaan Pakatan Harapan.
“I miss you guys sometimes actually, seriously,” katanya dalam ucapannya yang mungkin terakhir sebagai menteri besar.
Faizal dilantik menjadi menteri besar semasa PH mengambil alih tampuk kepimpinan negeri dalam pilihan raya umum lalu.
Selepas penjajaran semula politik tanah air yang menyaksikan PH ditumbangkan, dia kekal menjadi menteri besar dengan sokongan BN dan PAS.
Faizal pagi tadi kalah dalam undi percaya yang dibawa oleh wakil rakyat Umno, menyebabkan Adun Chenderiang hilang majoriti sebagai menteri besar.
Hanya 10 daripada 59 Adun menyokong usul itu berbanding 48 yang menolak. Satu undi rosak atau berkecuali.
Timbalan presiden Bersatu itu juga berharap usaha kerajaan PH sebelum ini diteruskan.
“Saya harap usaha-usaha yang dibuat oleh kerajaan PH utk menubuhkan seketriat wanita disambung oleh YB Kampung Gajah yang akan direalisasikan tahun depan.
“Kita sama sama bagi sokongan ini amat penting untuk golongan wanita,” katanya.
Faizal juga mengucapkan terima kasih kepada beberapa pihak lagi, termasuk exco dalam kabinetnya, tetapi tidak menyebut parti lain secara khusus.
Faizal juga berkata penggal pentadbiran kali ini adalah yang terbaik untuk “memperbetulkan apa yang tak betul dan memperbaiki apa yang tak baik”.
“Jadi saya kira di masa yang akan datang dengan kepimpinan kerajaan baru insya-Allah kita harap perkara yang tak baik itu diperbaiki dan tak baik itu diperbetulkan,” katanya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2020/12/i-miss-you-ph.html