Hukum Menyebarkan Rakaman Video Perbuatan Membunuh Diri
Soalan:
Assalamualaikum SS Mufti. Baru-baru ini banyak kes bunuh diri yang direkodkan terutamanya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan. Semakin ramai insan yang tertekan dengan hidup hingga membuat keputusan untuk membunuh diri. Sebahagian mereka merakam detik akhir hayat mereka. Sebahagiannya dirakam melalui CCTV. Kemudian, rakaman tersebut menjadi tular di media sosial. Mohon SS Mufti ulas sedikit berkenan ini. Terima kasih.
Ringkasan Jawapan:
Hukum menyebarkan rakaman video atau gambar si mati adalah haram dan tidak sepatutnya dilakukan kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga. Ia juga boleh menyumbang kepada copycat suicide (sila rujuk huraian jawapan). Penyebaran video sebegini adalah ancaman kepada kesihatan mental dan risiko nyawa orang lain. Perbuatan yang mengancam keselamatan diri dan insan lain adalah diharamkan dalam Islam.
Oleh itu, kita mesti memelihara lidah dan tangan daripada menyakiti serta menjadi ancaman kepada orang lain. Ini adalah akhlak yang perlu dipegang oleh seorang Muslim. Kita juga perlu lebih cakna mengenai kesihatan mental dengan menambah pengetahuan terhadap bunuh diri serta isu-isu kesihatan mental yang lain. Semoga Allah memelihara kita dan semua ahli keluarga daripada tragedi menyedihkan sebegini.
Huraian Jawapan:
Waalaikumussalam wrm. wbt.,
Terlebih dahulu, kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa tragedi yang menyedihkan ini. Kematian insan tersayang dengan cara sebegini pasti akan menimbulkan trauma dan kesedihan yang lama kepada keluarga dan rakan terdekat. Sekiranya perlu, carilah pertolongan pakar untuk menguruskan trauma tersebut.
Berbalik kepada soalan, hukum menyebarkan rakaman video atau gambar si mati adalah haram dan tidak sepatutnya dilakukan kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga. Ia telah dibincangkan di artikel-artikel seperti berikut:
IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-519: HUKUM MENYEBARKAN GAMBAR MAYAT ORANG YANG TELAH MENINGGAL DUNIA
IRSYAD AL-FATWA SIRI KE 540: HUKUM MERAKAM VIDEO ORANG YANG MENINGGAL DUNIA?
Tambahan pula, penyebaran gambar dan rakaman video perbuatan membunuh diri adalah sangat merbahaya kerana ia boleh memberi idea kepada orang yang menonton untuk melakukan perkara yang sama. Ia sangat berisiko jika ditonton oleh individu yang cenderung membunuh diri atau individu di bawah umur. Perkara ini disebut sebagai ‘Copycat Suicide’.
Menurut American Psychological Association, perbuatan membunuh diri adalah “contagious (mudah berjangkit)”. Hal ini kerana, ia mampu mempengaruhi individu lain untuk melakukan perkara yang sama seperti mereka yang ditimpa penyakit kecelaruan mental dan individu bawah umur. [1]
Disebabkan itu, pelaporan media mengenai hal ini mestilah mengikut garis panduan seperti yang digariskan oleh Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) [2]:
Perlu menggunakan peluang ini untuk mendidik masyarakat mengenai bunuh diri.
Menghindari penggunaan bahasa yang akan mensensasikan, menormalisasi atau menunjukkan bahawa bunuh diri adalah penyelesaian masalah.
Menghindari pendedahan secara terperinci mengenai kaedah yang digunakan.
Menghindari pendedahan secara spesifik tempat perbuatan ini dilakukan.
Mengambil kira individu lain yang cenderung untuk membunuh diri.
Memberi informasi tentang talian bantuan sokongan yang boleh didapatkan.
Membunuh diri atau orang lain adalah suatu perbuatan yang diharamkan oleh Islam kerana urusan mencabut nyawa seseorang adalah hak Allah SWT dan ia merupakan tindakan yang memudaratkan diri sendiri. Kadangkala, ia juga melibatkan insan lain.
Menurut sebuah hadis, Baginda SAW menjelaskan tentang akibat dan siksaan atas mereka yang membunuh diri dengan sengaja. Baginda SAW bersabda:
منْ قَتَلَ نَفْسَهُ بحَديدَةٍ فَحَدِيدَتُهُ فِى يَدِهِ يَتَوَجَّأُ بِهَا فِى بَطْنه فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا، وَمَنْ شَرِبَ سمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَحَسَّاهُ فِى نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا، وَمَنْ تَردَّى مِنْ جبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَرَدَّى فِى نَارِ جَهَنّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أبَدًا
Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.”
Riwayat Muslim (109), Sunan al-Tirmizi (2044)
Menyebarkan gambar atau rakaman video perbuatan membunuh diri pula memiliki impak yang sangat besar. Ia nampak kecil, tapi mampu memberi kesan yang besar kepada masyarakat. Maka, menyebarkan gambar dan video sebegini dengan sengaja adalah diharamkan.
Pengharaman adalah berdasarkan pengharaman terhadap aktiviti-aktiviti yang merbahaya. Antaranya adalah yang disebutkan dalam al-Quran:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya: “…dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
Surah al-Baqarah (195)
Penyebaran video sebegini adalah ancaman kepada kesihatan mental dan risiko nyawa orang lain. Baginda Nabi SAW juga berpesan mengenai sifat seorang Muslim yang sebenar iaitu tidak menyakiti Muslim lain dengan kata-kata atau perbuatan.
المسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
Maksudnya: “(Sifat) seorang Muslim adalah apabila Muslim lain selamat daripada lidah dan tangannya”
Riwayat al-Bukhari (6484), Riwayat Muslim (42), Musnad Ahmad (6515)
Ini juga juga berdasarkan kaedah fiqh yang berikut:
ما أدى إلى الحرام فهو حرام
Maksudnya: “Apa sahaja yang membawa kepada perkara haram, maka ia haram.”
Melalui dalil-dalil ini, jelas kepada kita bahawa penyebaran video sebegini secara sengaja adalah diharamkan kerana ia mampu mempengaruhi tindakan copycat suicide yang diharamkan secara jelas dalam Islam.
Kesimpulan:
Kita mesti memelihara lidah dan tangan kita daripada menyakiti serta menjadi ancaman kepada orang lain. Ini adalah akhlak yang perlu dipegang oleh seorang Muslim seperti yang diajar oleh Islam. Kita juga perlu lebih cakna mengenai kesihatan mental dan menambah pengetahuan terhadap bunuh diri dan isu-isu kesihatan mental yang lain. Dalam situasi kecemasan, Befrienders Kuala Lumpur juga boleh dihubungi melalui talian +603-76272929 atau e-mel di
[email protected]
Semoga Allah memelihara kita dan semua ahli keluarga daripada tragedi menyedihkan sebegini.
Wallahu a’lam.
[1] American Psychological Association, Help the media prevent copycat suicides, diakses pada 1 Julai 2021 melalui pautan https://www.apa.org/monitor/oct03/media
[2] World Health Organization 2008, Preventing Suicide: A Resourceful for Media Professionals, International Association for Suicide Prevention, Switzerland: WHO Press.
Sumber: muftiwp.gov.my
The post Hukum Menyebarkan Rakaman Video Perbuatan Membunuh Diri appeared first on Islam Itu Indah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.islamituindah.my/hukum-menyebarkan-rakaman-video-perbuatan-membunuh-diri/