Hukum Letak Al Quran Di Bawah Bantal
SOALAN:
Apakah hukumnya perbuatan setengah orang yang membaca al-Quran sebelum tidur kemudian meletakkan al-Quran tersebut di bawah bantal tidurnya?
JAWAPAN:
Menghormati dan memuliakan al-Quran itu adalah wajib kerana ia adalah termasuk syiar Allah yang Maha Agung.
Berkata Sayyidina Umar r.a:
عظموا القرآن
“Muliakanlah oleh kamu sekalian akan Al-Quran.”
Berkata Imam Nawawi:
أجمع المسلمون على وجوب صيانة المصحف واحترامه
“Telah ijma’ sekalian muslimin atas wajib memelihara mushaf (yakni Quran) dan menghormatinya.” (At-Tibyan m.s. 108)
Haram hukumnya meletakkan al-Quran ditindih di bawah umpama bantal atau diletak di bawah barangan lain atau diletakkan di tempat-tempat yang hina atau seumpamanya.
Berkata Imam Suyuthi:
يستحب تطييب المصحف وجعله على كرسي , ويحرم توسده بالاتكاء لأن فيه إذلالاً له وامتهاناً، أو مدّ الرجلين إليه. وقد يصور ويوسد بالاتكاء عليه كالوسائد ويجعل وسادة للنوم كالمخدة وكلاهما ممنوع
“Disunatkan mewangikan mushaf dan meletakkannya atas kerusi. Dan haram menindih al-Quran kerana padanya ada rupa menghina bagi al-Quran dan merendah-rendahkannya. Begitu juga haram menjulurkan kedua kaki kepada al-Quran. Dan terkadang ayat al-Quran itu dijadikan sebagai tempat bersandar seperti bantal yang dijadikan alas kepala untuk tidur dan kedua-dua perbuatan ini adalah dilarang.” (Kitab Al-Itqan jilid 2 m.s. 172)
Tersebut pada Kitab Mausu’atul Fiqhiyah:
وقد أجمع العلماء على حرمة امتهان واحتقار القرآن، وعلى وجوب احترام المصحف وصيانته , وبهذا لا يجوز توسده
“Dan sesungguhnya telah ijma’ para ulama’ atas haram merendahkan dan menghina al-Quran dan telah ijma’ juga atas wajibnya menghormati Mushaf dan memeliharanya.
Dengan sebab inilah maka haram dijadikan sebagai tempat sandar.”
Hukum yang tersebut ini ialah jika tidak ada pada perbuatan tersebut niat menghina akan Al-Quran. Adapun jika punya niat menghina atau merendah-rendahkan akan Al-Quran maka orang yang melakukannya itu menjadi kafir.
Berkata Syeikh Athiyah Saqr:
وهذا في وضع المصحف بغير نية الاحتقار والإهانة، أما عند هذه النية فهو محرم بالإجماع، بل قال أكثر العلماء: أن من احتقر أو استهزأ بكتاب الله فهو كافر
“Dan hukum ini ialah meletakkan al-Quran bukan dengan niat menghina dan merendah-rendahkannya. Adapun jika niat menghina dan merendah-rendahkannya maka haram ia dengan ijma’ bahkan berkata kebanyakkan ulama’ orang yang menghina atau persendakan kitab Allah ini menjadi kafir.” (A-Fatawa jilid 1 m.s. 171)
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Makan
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/09/hukum-letak-al-quran-di-bawah-bantal.html