Hishammuddin Disoal Sprm 7 Jam Dalam Isu Land Swap
    Nur Hasliza Mohd Salleh     

Hishammuddin Hussein berkata, beliau sedia didakwa jika terbukti terbabit dalam sebarang salah laku. PUTRAJAYA: Bekas menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein disoal  siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selama 7 jam berhubung isu  “land swap” atau pertukaran tanah milik Kementerian Pertahanan.
 Katanya, beliau hanya terbabit dalam satu projek “land swap” di Paloh  ketika menjadi menteri pertahanan dan berharap SPRM tidak bertindak  selektif dalam siasatan ke atas 16 projek itu.
 Beliau sedia didakwa jika terbukti terbabit dalam sebarang salah laku.
 “Yang lain mereka (SPRM) kena panggillah. Menteri mana yang terlibat, pastikan mereka panggil jugalah.
      “Apa yang istimewanya tentang (projek) saya? Siapa sebenarnya yang hilang duit? Siapa dapat kontrak? Siapa yang dapat untung?
 “Saya dah beritahu, saya tak ada keuntungan langsung ke atasnya.
 “Siapa yang salah, mari lihat kebenarannya. Kalau saya salah, dakwa,”  katanya selepas memberi keterangan di ibu pejabat SPRM petang tadi.
 Hishammuddin tiba di ibu pejabat SPRM pada 11.03 pagi tadi dengan menaiki Vellfire berwarna hitam.
 Beliau ialah bekas menteri Barisan Nasional ke-2 yang dipanggil  membantu siasatan isu “land swap” selepas bekas timbalan perdana  menteri, Ahmad Zahid Hamidi dipanggil agensi anti-rasuah itu pada Khamis  lalu.
 Pada 9 Mei lalu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu  mengumumkan 13 daripada 16 projek “land swap” Kementerian Pertahanan  membabitkan Najib dan bekas menteri pertahanan sejak 1997.
 Katanya, hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan  dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) ke atas 16 projek itu turut mendapati  kerajaan kerugian lebih RM500 juta disebabkan penilaian tanah lebih  rendah daripada nilai pasaran dan pengurusan kontrak yang lemah.
 Beliau berkata, 16 projek itu terdiri daripada 1,183 hektar tanah  milik Kementerian Pertahanan bernilai RM4.7 bilion dan kos projek  sebanyak RM4.8 bilion.
 Hari ini, Hishammuddin memberi jaminan akan terus memberi kerjasama  penuh kepada SPRM sepanjang siasatan itu kerana ia penting untuk  kredibiliti dan integriti agensi anti-rasuah itu.
 “Kita perlu kerja lebih dekat dengan SPRM untuk tahu kebenaran perkara ini.”
 Beliau turut mencabar Kementerian Pertahanan mendedahkan projek “land swap” sebelum beliau menerajui kementerian itu.
“Saya mahu menteri dan timbalan menteri beritahu projek ‘land swap’ sebelum masa saya.
 “Saya mahu mereka juga mendedahkan apa rancangan untuk menaik taraf  kem dan rumah untuk tentera yang telah menunggu selama bertahun-tahun.”
 Beliau berharap melalui siasatan SPRM, orang ramai akan tahu apa yang beliau lakukan untuk anggota tentera dan keluarga mereka.
 “Siasat saya. Saya mahu orang tahu apa yang saya buat adalah untuk tentera, keluarga mereka dan kem (tentera).”
 Isu pembelian 6 helikopter
 Hishammuddin berkata, isu pembelian 6 helikopter bernilai RM300 juta pada 2015 tidak dibangkitkan SPRM hari ini
“Saya sudah jawab mengenai kes helikopter, saya tiada apa  yang nak disembunyikan. Apa yang salah tetap salah dan sekiranya ia  membabitkan pegawai saya sebelum ini, saya tak sekat (siasatan).”
Bulan lalu, FMT melaporkan 6 helikopter tempur  ringan MD530G yang dikeluarkan MD Helicopters milik gergasi aeroangkasa  Amerika Syarikat, McDonnel Douglas dipesan Kementerian Pertahanan di  bawah pimpinan Hishammuddin pada 2015.
 Pada 13 Jun lalu, sumber yang rapat dengan siasatan kes itu  dilaporkan berkata, sebuah syarikat tempatan yang menjadi ejen rundingan  dalam pembelian itu sudah ditamatkan kontrak sebagai ejen rasmi oleh  syarikat AS terbabit.
 Susulan itu, SPRM menahan 2 individu dari syarikat tempatan itu dan mereka direman selama 6 hari. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/06/hishammuddin-disoal-sprm-7-jam-dalam.html