Hisham Persoal Tindakan Mat Sabu Tangani Isu Penculikan
Hishammuddin Hussein menggesa penggantinya, Mohamad Sabu, memainkan peranan lebih tegas dalam menjaga keselamatan negara, termasuk memantapkan inisiatif Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) selepas kes penculikan di perairan Sabah yang melibatkan nelayan Indonesia baru-baru ini.
“Dah dekat dua tahun Mat Sabu terajui Mindef (Kementerian Pertahanan). Kenapa masih tiada perkembangan baru dan usaha pemantapan inisiatif TCA ini?” soalnya.
“Kalau ya pun tak suka inisiatif yang dimulakan BN, beritahulah apa perancangan PH untuk perkukuh keselamatan khususnya di kawasan perairan Sabah.
“Dah berkali-kali saya tanya, di parlimen dan media sosial. Tak pernah dijawab!” kata anak bekas perdana menteri itu dalam satu hantaran di Facebooknya semalam.
Kritikan Hishammuddin itu muncul selepas lima nelayan Indonesia diculik oleh militan Abu Sayyaf di perairan Tambisan berdekatan Lahad Datu, Sabah, apabila kapal mereka dinaiki kumpulan bersenjata dan membawa lari mangsa.
Ekoran daripada itu, Kementerian Pertahanan mengeluarkan satu kenyataan bahawa pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Indonesia, dan Filipina dalam menjaga perairan Laut Sulu.
Mengulas lanjut, anggota Parlimen Sembrong itu turut mempersoalkan adakah Mohamad sudah menghubungi rakan sejawat di Indonesia bagi menjernihkan keadaan selepas pasukan keselamatan dikritik dalam kejadian lima nelayan Indonesia diculik di perairan Lahad Datu pada Khamis lepas.
Hishammuddin berkata, sehingga kini masih tidak dimaklumkan Mohamad sudah bertemu atau menghubungi rakan sejawat, selepas Jakarta mendakwa penyelarasan dan pembabitan pihak berkuasa Malaysia dalam pengamanan perairan Sabah, Sulu dan Sulawesi tidak berkesan, membolehkan penculikan lima nelayan oleh militan Abu Sayyaf.
“Saya sentiasa yakin dengan kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mahupun Markas Angkatan Bersama (MAB). Namun menteri mesti bertanggungjawab dan memainkan peranan.
“Pergi ke puluhan negara termasuk Iran sejak jadi menteri pertahanan boleh. Ini sudah dua hari sejak kerajaan Indonesia mengkritik pasukan keselamatan kita,” katanya.
Malaysiakini sudah menghubungi pembantu Mohamad Sabu bagi mendapatkan penjelasan lanjut, namun dimaklumkan pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan mengenai perkara itu.
Mkini
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2020/01/24/hisham-persoal-tindakan-mat-sabu-tangani-isu-penculikan/