Hina Petugas Hospital Diva Aa Didenda Rm17 000
Bernama Selebriti yang sering mengundang kontroversi, Azwan Ali didenda RM17,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen kerana menghina kakitangan Hospital Putrajaya di laman sosial YouTubenya, sebagai petugas di barisan hadapan dalam menangani penularan wabak Covid-19.
Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap Azwan, 54, atau dikenali dengan gelaran “Diva AA” selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadapnya.
Mengikut kertas pertuduhan, Azwan didakwa secara sedar telah menggunakan laman sosial Youtubenya, “DIVAAATERSOHOR” telah membuat penghantaran bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dan perbuatan itu telah ditonton di Pejabat Timbalan Pengarah Hospital Putrajaya di Putrajaya, 24 Mac lepas.
Hantaran itu kemudiannya dilaporkan di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, jam 4.59 petang, pada 25 Mac 2020.
Azwan didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.
Azwan yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) dalam kes ini juga membuat permohonan maaf secara terbuka di dalam mahkamah kepada semua petugas Hospital Putrajaya.
“Saya menyesal dengan perbuatan tersebut dan ini adalah pengajaran terbesar dalam hidup saya,” katanya.
Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ammanjeet Singh yang mewakili Azwan merayu hukuman ringan dengan alasan ini adalah kesalahan pertama anak guamnya dan dia telah membuat permohonan maaf dalam semua akaun media sosial miliknya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Radzi Shah Ab Razak memohon hukuman setimpal dengan alasan situasi sekarang semua pihak harus belajar untuk menghormati mereka yang bertugas di barisan hadapan.
“Hantaran ini dikeluarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat dan ia adalah sesuatu yang serius. Sekiranya ia berulang ia akan memberi satu impak yang tidak baik,” katanya.
Hakim Azura sebelum menjatuhkan hukuman antara lain menasihati semua pihak agar menghormati petugas yang berada di barisan hadapan dan bersama-sama menangani wabak Covid-19.
Susulan pelaksanaan PKP bermula 18 Mac hingga 14 April untuk membendung penularan wabak Covid-19, mahkamah di seluruh negara ditutup dan hanya beroperasi untuk mengendalikan kes-kes baharu, reman dan permohonan jaminan dengan kehadiran minimum sahaja.
Oleh itu petugas media tidak dibenarkan masuk ke dalam perkarangan dan bilik bicara mahkamah dan mendapat maklumat daripada pihak pendakwaan.
Mereka dibenarkan berada di luar pintu pagar mahkamah berhampiran pondok pengawal.
- Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/03/hina-petugas-hospital-diva-aa-didenda.html