Himpunan Mutiara Kata Daripada Para Sahabat Nabi
As-salam,
Hidup kita memang selalu indah. Apabila kita berbuat kebaikan, insya'Allah ada orang lain yang membalas perbuatan baik tersebut. Sambil kita melayari kehidupan ini, mari kita renung-renungkan himpunan mutiara kata daripada sahabat Rasulullah. Sahabat utama Rasulullah SAW, Sayidina Abu Bakar As Siddiq r.a pernah meninggalkan pesan, katanya:
1. Siapa yang memasuki kubur dengan tidak membawa bekalan samalah seperti orang yang belayar di lautan dengan tidak berperahu.
2. Kegelapan itu ada lima perkara dan penerangnya juga ada lima perkara iaitu:
i. Cinta dunia itu kegelapan dan penerangnya adalah taqwa.
ii. Dosa itu kegelapan dan penerangnya adalah taubat.
iii. Akhirat itu kegelapan, penerangnya adalah amal soleh.
iv. Kubur itu kegelapan, penerangnya adalah kalimah ‘La ilaha illallah Muhammadur Rasulullah.’
v. Siratul Mustaqim itu kegelapan, penerangnya adalah yakin.
3. Sesungguhnya iblis itu berdiri di hadapanmu, nafsu di sebelah kananmu, dunia di belakangmu, anggota di sekelilingmu dan Allah juga bersamamu. Iblis yang dilaknat menyuruhmu meninggalkan agama. Nafsu menyuruhmu berbuat maksiat. Keinginan hawa nafsu menyerumu ke arah syahwat. Dunia menyeru supaya memilihnya daripada Akhirat. Anggotamu menyerumu berbuat dosa. Allah menyerumu ke Syurga dan keampunan-Nya. Siapa yang menyahut seruan iblis terkeluarlah agamanya. Siapa yang menyahut seruan nafsu terkeluar rohnya (roh kemanusiaan). Siapa yang menyahut seruan syahwat, terkeluar akalnya. Siapa yang menyahut seruan anggota, terkeluarlah Syurganya. Siapa yang menyahut seruan Allah, terkeluarlah kejahatannya dan memperolehi segala kebaikan.
4. Sayidina Abu Bakar berkata: Terdapat lapan perkara yang menjadi perhiasan kepada lapan perkara: –
i) Menjaga perkara yang haram, perhiasan kepada fakir.
ii) Syukur perhiasan kepada nikmat
iii) Sabar perhiasan kepada bala.
iv) Tawaduk perhiasan kepada kemuliaan.
v) Berlemah lembut perhiasan kepada ilmu.
vi) Merendah diri perhiasan kepada orang yang bercakap.
vii) Meninggalkan riyak perhiasan kepada kebaikan.
viii) Khusyuk perhiasan kepada sembahyang.
5. Sesungguhnya hamba itu apabila datang ujub dengan sesuatu dari perhiasan dunia nescaya Allah memurkainya hingga dia menceraikan perhiasan itu.
6. Moga-moga aku jadi pokok kayu dicantas kemudian dimakan.
7. Dia berkata kepada para Sahabat: Sesungguhnya aku telah mengendalikan urusan kamu, tetapi bukanlah aku ini orang yang paling baik di kalangan kamu maka tolonglah aku, kalau aku berlaku lurus maka ikutilah aku tetapi kalau aku menyeleweng betulkan aku.
SAYIDINA UMAR AL KHATTAB:
Khalifah kedua, Sayidina Umar Al-Khattab berpesan:
1. Siapa yang menjaga percakapannya dianugerahkan kepadanya hikmah.
2. Siapa yang menjaga penglihatannya dianugerahkan kepadanya hati yang khusyuk.
3. Siapa yang menjaga makanannya dianugerahkan kepadanya kelazatan dalam beribadah.
4. Siapa yang bersabar di atas ujian, Allah sempurnakan sabarnya lalu memasukkannya ke dalam Syurga mana yang dia suka.
5. Siapa yang menjaga daripada ketawa dianugerahkan kepadanya kehebatan.
6. Siapa yang menjaga daripada bergurau dianugerahkan kepadanya keelokan atau kemuliaan.
7. Siapa yang meninggalkan cinta dunia dianugerahkan kepadanya dapat melihat kesalahan sendiri.
8. Siapa yang meninggalkan kesibukan mencari kesalahan pada perbuatan Allah, dianugerahkan kepadanya pelepasan daripada nifak.
9. Jika tidaklah kerana takut dihisab sesungguhnya aku perintahkan kamu membawa seekor kambing untuk dipanggang di depan pembakar roti ini.
10. Siapa takut kepada Allah SWT, nescaya marahnya tidak dapat dilihat. Dan siapa takutkan Allah, kehendaknya akan ditunaikan.
11. Wahai Tuhan, jangan Engkau jadikan kebinasaan umat Muhammad SAW di tanganku.
12. Termaktub dalam sepucuk surat khalifah Umar kepada Abu Musa Al Asyaari:
“Milikilah sifat sabar. Sifat sabar itu ada dua. Sabar yang pertama lebih afdhal dari sabar yang kedua iaitu sabar dalam meninggalkan larangan Allah SWT dan sabar dalam menghadapi musibah. Ketahuilah bahawa sabar itu sangkutan iman (orang yang bersabar akan mendapat iman) kerana kebajikan yang paling utama adalah taqwa dan taqwa hanya dapat dicapai dengan sabar.”
Semoga perkongsian mutiara kata di atas menjadikan kita mempunyai pengetahuan tentang apa yang kita buat dan faedahnya. Untuk dapat lebih banyak lagi mutiara kata yang indah, anda boleh layari blog berikut:
http://www.ahmad-sanusi-husain.com/2012/02/mutiara-kata-sahabat-sahabat-nabi.html#axzz2DIjOBZti
p/s: Sambil membaca dan blogwalking, apa salahnya kita saling pesan memesan ke arah kebaikan. Selamat membaca, Sebarkan bahagia
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.aynorablogs.com/2012/11/himpunan-mutiara-kata-daripada-para.html