Hidup Bukan Seperti Cerita Cinderella
Ramai orang mengimpikan kehidupan mewah ala-ala drama TV3 jam tujuh malam. Hidup kaya-raya, duduk di rumah besar dan pandu kereta mewah. Bercinta pula dengan wanita-wanita cantik seperti Mira Filzah, Neelofar dan Heliza Helmi atau lelaki kacak seperti Asyraf Muslim, Remy Ishak, Fahrin Ahmad dan Izzue Islam. Gaduh-gaduh kemudian bercinta.
Ringggggggggg! Loceng jam berbunyi. Buka mata, badan masih terlantar di atas katil empuk bersama baju tidur. Bilik besar, rumah pula banglo tiga tingkat. Masuk bilik air semuanya tersusun rapi. Sabun muka, ubat gigi, berus, pencukur bulu-bulu semunya kelihatan baru dan teratur. Mandi pula menggunakan pancuran air panas. Fuhh.
Keluar bilik air, badan yang basah dilap dengan tuala tebal lagi empuk. Rambut pula dikeringkan dengan pengering rambut. Kemudian kemeja disarung pada badan dan seluar dipakai dengan cermat. Akhir sekali, tali leher diikat pada leher dengan kemas.
Penuh bergaya.
Sebelum keluar bilik, dilihat dahulu cermin besar yang tergantung dan dibetul-betulkan lagi rambut. Ermmm, muka macam Fahrin Ahmad. Fuhh.
Baju kot dicapai dan terus keluar.
“Morning, papa…” Fahrin menyapa si ayah yang sibuk membaca akhbar sambil menghirup secawan kopi panas.
“Morning, Fahrin…” balas Dato’ Mansor. Suaranya seperti Datuk Jalaludin Hasan.
“Darling… Sudah-sudahlah tu baca paper. Makan lauk tu,” kata Datin Salmah. Mukanya seperti Liza Abdullah. Ehh sesuai ke tak eh? Tak mengapalah kita teruskan.
“Ehh Fahrin, tak nak makan dulu ker?” Tanya Datin Salmah.
“Tak apalah, mama. Rin kena cepat. Banyak kerja di pejabat tu. Papa mama, I need to go now. Papa, see you di pejabat.”
Pakai kasut hitam berkilat dan masuk dalam kereta BMW warna merah. Vrooommmm… vroooommmmm…
Bila sampai pejabat, disapa pula oleh pembantu peribadi yang cantik.
“Morning, Encik Fahrin. Saya dah sediakan kopi kegemaran encik di atas meja.”
“Morning, Shila. Thank you so much.”
Rakan-rakan kerja Shila ada yang cemburu melihat situasi itu. “Pandai si Shila tu ambik hati si Fahrin. Tengoklah, aku pasti akan dapat Fahrin,” monolog Zie, musuh ketat Shila.
“Encik Fahrin, ada orang dari Kencana Holding datang nak berjumpa dengan Encik Fahrin. Saya minta dia tunggu di bilik tamu terlebih dahulu,” beritahu Shila.
“Oh, baik. Boleh suruh dia masuk.”
“Knokk… knookk…” Pintu dibuka.
“Encik Fahrin, ini Cik Nialofa dari Kencana Holding. Anak kepada Dato’ Salim.”
Dalam keadaan gerak peralahan, kamera zum dekat pada wajah cantik ayu Cik Nialofa. Muzik tiba-tiba kedengaran. Irama dan lagu bersatu.
Kelipan mata begitu memikat hati dan wajahnya cantik warna kekuningan langsat.
“Nuuuuurrrr Kasih… Nurrrr kasih…” lagu OST Nur Kasih mula kedengaran. Ehh, sesuai ker lagu Yasin dalam drama ini? Ahh, hentam sahajalah! Kita teruskan.
Hati Fahrin mula bermonolog, “Siapakah dia? Tidak pernah aku melihat gadis secantik ini… Waaaaahhh”
“Vrrooooooooooommm… Bangunn… Bangunnn... Oii, bangun dari mimpi!” kejut emak untuk bangun solat Subuh.
Air liur basi dilap dengan tangan sambil wajah masam mencuka. Arrrgggghhhhhhhh. Menguap kemain besar lagi.
Hakikatnya, hidup saya dan ramai orang yang saya kenal tidak seperti yang sering kita idam-idamkan seperti dalam drama TV, ya tak?
Menurut laporan akhbar sebanyak 400,000 orang masih menganggur. Angka itu hampir setengah juta.
Saya harap kita sedar bahawa hidup ini bukan macam cerita Cinderella yang buka-buka mata sahaja ada anak raja masuk meminang. Itulah hakikatnya.
Kita perlu buat sesuatu. Jangan terus menunggu.
Hidup ada asam garamnya, ada manis tebunya. Adakala kita senyum kegembiraan, ada masanya kita sedih kedukaan. Ramai dalam kalangan kita bukanlah dibesarkan dalam keluarga orang-orang besar yang mempunyai syarikat-syarikat besar.
Habis sahaja belajar boleh terus kerja jadi orang kanan di syarikat besar Daddy. Segala-galanya sudah siap disediakan. Pejabat, kereta, pembantu am (PA), pelanggan pun sudah ada. Tak perlu susah-susah turun padang buat marketing dan sales.
Hidup bukan sesenang dan seromantik seperti dalam-drama TV. Awal-awal pagi ketika langit masih gelap, ada yang sudah mula memacak payung gerai di tepi jalan, ada yang sudah bersesak di jalan raya dan pengangkutan awam dan ada yang sudah menunggu depan pintu kedai menunggu pelanggan datang.
Hidup kian mencabar dengan kos sara hidup yang semakin tinggi. Pesaing pula semakin kuat dan bertambah. Fikiran mula stres kebingungan. Namun, hidup perlu diteruskan.
Kerana itu sahaja jalan yang kita ada.
Zaman sekarang ialah zaman di mana kita perlu cari peluang atau cipta peluang. Tiada istilah tunggu peluang sebab kita bukannya anak menteri atau anak raja yang berbondong-bondong orang nak harta kita.
Ada yang dibesarkan dalam keluarga miskin, ada yang dibesarkan dalam keluarga sederhana dan ada yang kaya. Ia tidak penting di mana kita bermula tetapi ia amat penting di mana kita akan berakhir.
Tidak kira siapa kita, setiap orang ada ceritanya yang tersendiri. Kita adalah hero dalam filem kita tersendiri. Setiap hari, setiap jam dan setiap saat, kisah hidup kita dirakam dan akan ditayangkan di akhirat kelak.
Jadi, jadikan kisah hidup kita satu perjuangan hidup yang sangat bermakna dan mampu menjadi inspirasi kepada ramai. Teruskan bermimpi agar impian tidak mati. Teruskan berdoa dan berharap agar hati tidak mati. Teruskan langkah agar impian menjadi pasti.
Ingat. Jalan Terus!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://catatanusahawan.blogspot.com/2019/02/hidup-bukan-seperti-cerita-cinderella.html