Hasrat Mangsa Diserang Harimau Balik Kampung Tidak Kesampaian
TAIPING: Lelaki yang maut diserang harimau dalam kejadian di rumah kongsi Bagan Balak, Kilometer 79.2, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli semalam, sepatutnya pulang ke kampung di Kuala Krai, Kelantan pada hari kejadian.
Isteri mangsa, Saina Binsa-i, 54, berkata, suaminya, Adnan Ismail, 54, menyatakan hasrat pulang ke rumah isteri pertama di sana untuk menjenguk anak-anak dan membeli barangan keperluan.
“Kelmarin (Isnin) dia ada beritahu nak balik kampung dan saya suruh dia balik hari itu juga tapi dia berkeras untuk balik esok pagi (Selasa).
“Saya tidak sangka hasrat suami untuk balik bertemu isteri dan anak-anaknya tidak kesampaian. Kalau dia tidak tunggu sehingga semalam, mungkin kejadian ini tidak berlaku,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Taiping di sini hari ini.
Menceritakan kejadian yang berlaku sekitar pukul 5 pagi itu, Saina yang merupakan warga Thailand berkata, dia yang sedang solat tahajud terkejut apabila mendengar bunyi terjatuh di hadapan pintu rumah kongsi yang didiaminya dan suami sejak sebulan lalu.
Katanya, dia segera keluar meninjau kerana bimbang keselamatan suaminya yang mahu ke tandas namun hairan apabila tidak nampak kelibat lelaki itu melainkan mendengar bunyi kuat seolah-olah orang diseret dari arah semak.
“Tiada jeritan suami meminta tolong malah saya tidak dengar langsung bunyi harimau mengaum. Apa yang saya lihat adalah kesan seperti kaki suami diseret di tanah dan tapak kaki harimau.
“Saya menjerit minta tolong rakan-rakan suami di bilik sebelah dan kami cuba mencarinya di kawasan sekitar. Kami tidak berani pergi jauh kerana hari pun masih gelap dan bimbang diserang,” katanya.
Tambahnya, apabila hari telah cerah, dia melihat terdapat kesan darah dipercayai milik suaminya di laluan masuk ke dalam hutan.
Dalam pada itu, Saina yang bekerja sebagai tukang masak berkata, dia tidak menyangka kawasan rumah kongsinya itu turut didiami harimau berikutan tiada tanda-tanda kehadiran haiwan liar itu termasuk bunyi ngauman.
“Selama sebulan tidak pernah dengar pun bunyi ngauman atau nampak kelibat mahupun kesan tapak kaki kerana kawasan rumah kongsi ini bukan jauh ke dalam hutan, tepi jalan saja.
“Saya percaya harimau yang menyerang suami bersaiz besar kerana mampu mengheretnya yang mempunyai berat sekitar 70 kilogram,” katanya.
Mayat Adnan yang bekerja sebagai pemandu jentera berat itu ditemui sekitar pukul 12 tengah hari, kira-kira 100 meter dari rumah kongsi berkenaan.
Pemeriksaan pada tubuh bapa kepada 10 orang anak itu mendapati terdapat kecederaan parah pada bahagian kaki kiri dan leher. – UTUSAN
Source link
The post Hasrat mangsa diserang harimau balik kampung tidak kesampaian appeared first on Edisi Viral Plus.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://plus.edisiviral.com/hasrat-mangsa-diserang-harimau-balik-kampung-tidak-kesampaian/