Hari Hari Kelam Seorang Kapten Yang Dibuang Secara Keji
malaysiakini.com
Asyraf Malik
Diterbitkan: May 21, 2022 10:00 AM
Pernah dulu dia dianggap wira. Khidmatnya kepada rakyat malah pernah meniti di dada akhbar.
Namun, nama baik yang dipahat hampir dua dekad lalu tidak sepadan dengan keadaan hidupnya sekarang yang ibarat seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Bekas kapten Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Joraymi Jamaludin pernah dipertanggungjawabkan mengemudi aset negara DHC-4 Caribou.
Kapal itu berkebolehan mendarat dan berlepas dalam masa singkat di kawasan bercerun dan sesuai untuk operasi di pedalaman Borneo.
Menabur bakti bersama TUDM dari tahun 1992 sehingga 1998, antara momen yang melekat dalam ingatan Joraymi ialah membantu menjayakan Operasi Haze 1997 ketika kebakaran hutan di Kalimantan meruncing.
Joraymi yang mahir menerbangkan DHC-4 Caribou diberikan kepercayaan mengetuai operasi pembenihan awan di Malaysia Timur yang akhirnya membuahkan hasil.
Hujan lebat berterusan berjaya mengurangkan titik panas di kawasan terjejas.
Selain itu, dia juga pernah membuat penerbangan ihsan dari kawasan terpencil Sabah ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu untuk menyelamatkan nyawa seorang bayi perempuan yang memerlukan rawatan segera.
Jasa baiknya itu mendapat liputan muka depan akhbar New Sabah Times.
Namun, babak seterusnya merencatkan perjalanan karier Joraymi yang baru sahaja hendak bermula.
Titik hitam
Walaupun pahit ditelan, sebagai manusia biasa, Kapten Joraymi akui dia tidak lari daripada membuat kesilapan.
Ia akhirnya menjadi persimpangan dalam hidupnya yang meninggalkan parut sehingga ke hari ini.
Dia digugurkan dari perkhidmatan Seri Paduka Baginda melalui tindakan disiplin mahkamah tentera.
Dalam dokumentasi hitam putih pemberhentianya dicatat status dibuang dengan keji (dismissed with disgrace).
“Perasaan sedih dan sebak semua ada bila dengar hakim bacakan pertuduhan sebab ini adalah kerjaya yang paling saya sayang,” katanya ketika diwawancara Malaysiakini minggu lepas.
Joraymi disabitkan dengan pertuduhan tidak hadir tugas tanpa sebab, memudaratkan perkhidmatan, memburukkan nama TUDM dan beberapa lagi isu disiplin.
Anggota tentera yang diberhentikan secara keji tidak layak bergelar veteran tentera, sekali gus dinafikan sebarang imbuhan dan manfaat yang sepatutnya dinikmati seorang pesara tentera.
“Saya ada cuba pergi ke Mindef (Kementerian Pertahanan) untuk tuntut hak saya yang boleh diselamatkan, tetapi ternyata tiada sebarang kelebihan ataupun imbuhan yang tinggal untuk saya, kosong.
“Tunggang terbalik rasa hidup ini. Nak pergi ke dunia luar sana tanpa ada apa-apa bekalan.
“Rasa geram dan nak mengamuk memang ada, apalah nasib,” katanya yang kini menetap bersendirian di sebuah kawasan setinggan di Gombak, Selangor.
Awan mendung menanti Joraymi dalam episod mendatang untuk memulakan hidup baharu sebagai orang awam.
Lautan bergelora
Rekod dibuang secara keji menghantui si kapten walau ke mana saja dia pergi.
“Setiap pesara tentera apabila tamat khidmat akan diberikan satu buku pasport untuk membuktikan mereka pernah berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Tetapi sebab cara saya diberhentikan, saya tidak ada kertas kerja itu.
“Memang susah sangat nak cari kerja sebab majikan nak tengok buku pasport itu.
“Tambah pula bila mereka buka pangkalan data Mindef untuk cari nama saya, sejarah masa silam saya mereka tahu, lagi liat mereka nak terima saya masuk,” keluhnya.
Tidak cukup dengan itu, kecaman bertali arus dari komuniti sekeliling dan ahli keluarga boleh diibaratkan seperti meletakkan garam pada luka yang bernanah.
“Pada mata mereka, saya ini memang jahat sangat. Semua orang mula menjauhkan diri dari saya. Keluarga dan saudara pinggirkan saya. Isteri minta cerai. Saya difitnah macam saya ini penjenayah.
“Kadang ada terfikir, setelah apa yang saya sumbangkan kepada tanah air, adakah begini pengakhiran hidup saya?” soalnya.
Keadaan kewangan yang tenat bertambah buruk apabila Joraymi didiagnos dengan penyakit jantung dan buah pinggang sehingga memerlukan rawatan dialisis.
“Saya makan setiap hari pun sekadar alas perut, lagi pula nak pergi ke hospital untuk dapatkan rawatan.
“Kos pengangkutan untuk pergi ke sana pun satu hal lagi. Saya mana ada kereta, motosikal saya pun kejap berfungsi, kejap rosak.
“Ada minggu memang terpaksa ponteng rawatan dialisis itu.
“Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan yang memberikan rawatan percuma untuk pesara tentera pula tak terima saya sebab saya ini bukanlah seorang veteran tentera.
“Masyarakat ada yang kesian dengan nasib saya. Mereka sumbang apa yang boleh untuk bantu ringankan beban tetapi ada sesetengah bila dapat tahu saya ini ‘dibuang secara keji’, mereka cancel dan minta pulangkan balik duit sumbangan itu. Macam saya ini scammer.
“Saya tidak kisah. Saya pulangkan balik semua duit itu,” katanya pasrah.
Dia kini membuat rawatan “dialisis air” sendiri di rumah mengguna mesin yang dibeli oleh penderma.
Dia mengakui mendapat bantuan zakat secara bulanan tetapi jumlahnya masih tidak mencukupi.
Hidup harus diteruskan
Bagaimanapun, Joraymi enggan menjadi seorang manusia yang hidup segan mati tak mahu.
“Saya mulakan satu projek kitar semula. Apa ilmu pengurusan dan strategi operasi yang saya belajar dalam tentera dulu, saya pakai semula dalam projek saya ini.
“Pada mulanya, saya berjalan kaki dari Gombak ke Kuala Lumpur untuk kutip sampah di tepi lebuh raya yang boleh dikitar semula.
“Kemudian, ada hamba Allah ini yang baik hati hadiahkan saya motosikal yang disertakan sekali dengan kereta sampingan.
Motosikal yang digunakannya bagi mengumpulkan barang kitar semula
“Senang sikit nak angkut barang kitar semula bila ada motosikal kereta sampingan ini. Barang-barang kitar semula itu saya periksa semula di halaman rumah saya, apa yang boleh diambil untuk dijual.
“Projek kitar semula ini boleh beri saya pulangan dalam RM 200 macam itu sebulan. Cukuplah untuk tampung makan minum saya. Saya ada tebalkan muka minta duit dari kawan-kawan tetapi nak tagih simpati mereka setiap masa rasa segan.
“Saya ada juga ambil upah sapu sampah, basuh kereta, dan bekerja di kedai jual buah,” katanya.
Lembaga pengampunan
Joraymi menyokong penuh perhimpunan aman Veteran Bangkit pada 6 Jun ini di ibu kota yang bersempena dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.
Antara tuntutan dalam perhimpunan aman tersebut adalah untuk mewujudkan lembaga pengampunan bagi membawa kes mahkamah tentera kepada perhatian Yang di-Pertuan Agong.
“Saya sangat memerlukan pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong untuk melayakkan diri saya bergelar sebagai veteran tentera dan mendapat manfaat di bawahnya. (Masa) 24 tahun sudah berlalu, sampai sekarang saya dihukum.
“Kesalahan saya bukannya seberat seperti menjual aset negara, mengambil rasuah dan menganiaya anggota bawahan,” katanya.
Penganjur perhimpunan Suara Veteran
Penganjur demonstrasi itu Mejar (B) Mior Rosli Mior Rosdi berkata bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk mengampunkan dan meringankan hukuman bagi kes mahkamah tentera.
Bagaimanapun, katanya, dari tahun 1974 ketika dia mula berkhidmat dengan tentera, tiada satu pun kes di mahkamah tentera yang diberikan pengampunan.
Sedangkan, katanya, ahli politik yang berjaya mendapat pengampunan.
“Bekas komunis yang merupakan petualang negara pun dapat peluang kedua untuk hidup dengan selesa dalam tanah air kita ini.
“Kes seorang lelaki India yang menyeludup dadah ke Singapura dan dihukum gantung, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Malaysia sampai tulis surat rayuan kepada kerajaan dan Presiden Singapura.”
Kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Suara Veteran itu merancang mengadakan demonstrasi itu pada awal bulan. Butiran lanjut acara belum didedahkan.
Hishammuddin Hussein
Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein hari ini menasihatkan pesara tentera yang tidak puas hati itu supaya membawa cadangan mereka terus kepadanya dan bukan dengan membuat ugutan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2022/05/hari-hari-kelam-seorang-kapten-yang.html