Hakuru Miskiiy Masjid Tertua Di Kepulauan Maldives
Kepulauan Maldives satu masa dahulu diperintah oleh kerajaan Budha, sehinggalah pada tahun 1153 seorang ulama Magribi bernama Abul Barakat Yoosuf Al Barbary singgah di sana untuk berdakwah dan kedatangannya mengubah keyakinan pemerintah pada masa itu sehingga memeluk agama Islam. Raja Sri Tribuvana Aditiya yang memerintah Maldives pada masa itu telah menukar nama kepada Sultan Muhammed Ibnu Abdullah. Tindakkannya mengubah keyakinan dan menukar agama diikuti oleh ahli keluarganya dan rakyat jelata sehingga candi-candi dan kuil-kuil di kepulauan Maldives dimusnahkan. Sebagai ganti tempat beribadat, telah dibina sebuah masjid atas permintaan Siri Kalo, saudara Sultan Muhammed Ibnu Abdullah. Sejak itu, Kerajaan Kesultanan Islam pun bermula di kepulauan Maldives.
Masjid Hakuru Miskiiy juga dikenali sebagai Male Friday Mosque merupakan masjid tertua dan terawal dibina di Maldives. Saya dan teman-teman singgah di masjid ini ketika bercuti di kepulauan Maldives pada pertengahan bulan February 2019. Semasa kami sampai di masjid yang kelihatan amat sederhana tetapi istimewa ini, beberapa orang lelaki sedang membersihkan ruang masjid untuk persediaan solat jumaat. Mereka menyapa dan melayan kami dengan sangat baik. Seorang lelaki menceritakan kepada saya tentang kayu-kayu binaan masjid tersebut yang sebahagiannya dibawa dari luar negara semasa pembinaan, manakala bahagian lantai dan dinding dibina dari batu karang.
Masjid Hakuru Miskiiy dibina di atas bekas candi yang mengadap ke arah timur, oleh sebab itu barisan saf menghadap ke Qiblat agak terpesong dan tidak selari dengan bangunan masjid. Terdapat beberapa buah telaga yang masih boleh digunakan dan di kawasan masjid terdapat kawasan perkuburan yang kelihatan sangat tua. Batu-batu nisan di kuburan tersebut dibina agak besar dan leper sekitar paras pinggang jika kita berdiri disisinya. Kuburan tersebut merupakan makam para sultan, bangsawan, ahli ulama dan pahlawan Maldives satu masa dahulu.
Paling menariknya bagi saya semasa melawat masjid ini adalah kerana menara masjid ini dibina jauh dari bangunan masjid. Kenapa perkara ini terjadi tidak dapat saya pastikan. Ibnu Batutah, cendiakawan dan pakar sejarah islam dari Morroco yang terkenal sebagai penjajah dan pengembara pernah singgah di Maldives pada abad ke 14 dan mengatakan Maldives merupakan salah satu keajaiban dunia.
Menara masjid yang terasing dari bangunan masjid
Pada tahun 1656, masjid Hakuru Miskiiy dibina semula atas arahan Sultan Ibrahim Iskandar 1. Sehingga ke hari ini kerajaan dan penduduk kepulauan Maldive utuh dengan ajaran islam dan majority rakyatnya beragama Islam. Masjid Hakuru Miskiiy terletak di Male, ibu kota Maldives berdekatan dengan Masjid Agung Male atau Grand Mosque Male. Saya berharap akan mengunjungi masjid ini lagi jika berpeluang ke Maldives di masa hadapan. Terima kasih Allah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://jalankegunung.blogspot.com/2019/02/hakuru-miskiiy-masjid-tertua-di.html