Hak Individu Beli Ikut Selera Masing Masing
TANDA pagar Buy Muslim First (BMF) semakin membanjiri media sosial di negara ini dengan kempen mengajak orang ramai beragama Islam mengutamakan produk keluaran Muslim.
Gerakan kempen yang bermula sejak beberapa bulan lalu itu nampaknya masih berterusan sehingga sekarang. Ada yang mendakwa usaha itu menyebabkan pengusaha bukan Islam terpaksa menurunkan harga produk mereka.
Di sebalik kejayaan tersebut, timbul rasa kurang senang dalam kalangan rakyat bukan Islam apabila mendakwa orang Islam terutama Melayu cuba memboikot barangan keluaran orang Cina dan India.
Persepsi itu menular sehingga mencetuskan syak wasangka dengan tuduhan orang Melayu mahu memecahbelahkan keharmonian kaum.
Tidak kurang juga ada dalam kalangan orang Melayu sendiri yang berfikiran sedemikian. Lebih mendukacitakan apabila kempen tersebut dihangatkan oleh orang politik walhal gerakan kempen dilakukan rakyat biasa.
Apabila orang Melayu Islam tidak membeli produk keluaran bukan Islam, mereka dituduh memboikot. Salah faham ini perlu diperbetulkan dan diperjelaskan oleh orang Islam sendiri bagi mengelak kekeliruan.
Perkataan utama dalam kempen tersebut sudah cukup menjelaskan bahawa kita beli produk Islam dahulu dan jika tiada pilihan, barulah beli produk keluaran bukan Islam.
Belum ada lagi kedai bukan Islam yang tutup gara-gara kempen tersebut. Lagi pun setiap rakyat mempunyai hak untuk membeli apa sahaja mengikut selera masing-masing. Bak kata ‘duit sendiri, jadi ikut suka nak beli apa’.
Tiada istilah boikot kerana boikot itu membawa maksud memulaukan atau dalam erti kata lain, jangan beli langsung. Amalan sedemikian tidak boleh dipraktikkan di negara ini kerana kita mempunyai rakyat berlainan agama.
Seperti yang dikatakan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM), Mohd Al Iman Zakaria beliau sendiri menolak usaha memboikot produk bukan Muslim tetapi pada masa sama menyokong kempen mengutamakan beli produk Muslim.
“Kita percaya persaingan sihat dalam sektor perniagaan akan memacu ekonomi negara ke arah yang lebih sihat dan maju. Kempen ini juga bukan bersifat rasis sebaliknya usaha membantu ekonomi orang Islam yang kelak memanfaatkan semua pihak termasuk bukan Islam.
“Ia sekali gus menjadi misi ke arah mengembangkan ekonomi Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam untuk menembusi pasaran halal di seluruh dunia,” katanya.
Sejak kempen dilancarkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu mendapat respons positif, produk keluaran Muslim yang sebelum ini kurang dikenali sudah pun mulai popular. Baru kita ketahui bahawa banyak produk Islam di pasaran dengan kualiti yang setanding produk bukan Islam.
Secara tidak langsung kempen ini menggalakkan pengusaha Islam memohon sijil halal yang lebih banyak dimiliki oleh pengusaha bukan Islam.
Jika dahulu mutu perkhidmatan tidak seberapa tapi kini semakin baik.
Isu ini turut mendapat perhatian Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang percaya kempen menyokong pembelian produk keluaran Muslim bukan sahaja dapat memperkasakan ekonomi mereka, malah baik untuk bukan Islam.
Katanya, kempen ‘beli produk Muslim dulu’ itu secara tidak langsung membantu peniaga atau usahawan Muslim berdikari tanpa mengharapkan insentif bumiputera daripada kerajaan.
“Saya percaya saudara-saudara non-Muslim dalam negara ini, jika orang Islam senang dan mereka (orang Islam) kuat ekonomi mereka, pada masa itu kita (Islam-bumiputera) tak perlu lagilah bantuan-bantuan khusus untuk bumiputera.
“Dengan itu, saudara (bukan Islam) juga akan puas hati satu hari nanti dan tak timbul lagilah perasaan tak puas hati kerana semua dah kaya.
“Sekarang ini rasa tak puas hati adalah disebabkan faktor ekonomi. Tapi kalau saudara jadikan semua orang kaya macam saudara, tak ada orang marah,” katanya.
* Mohd Ridzuan Abu Hassan ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Nasional
Sinar Online
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/09/23/hak-individu-beli-ikut-selera-masing-masing-buy-muslim-first/