Golongan Yang Enggan Memasuki Syurga
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
كل أمتي يدخلون الجنة إلا من أبى، قيل ومن يأبى يا رسول الله؟! قال: من أطاعني دخل الجنة، ومن عصاني فقد أبى
“Setiap umatku akan masuk syurga, kecuali orang-orang yang enggan untuk memasukinya.” Ada seseorang yang bertanya: “Siapakah orang yang enggan tersebut wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Barangsiapa mentaatiku akan masuk syurga, barangsiapa tidak taat kepadaku sungguh dia orang yang enggan masuk syurga.” [Riwayat Bukhari dalam kitab sahihnya]
Makna hadith ini bahawasanya umat Baginda yang mentaati dan mengikuti petunjuk Baginda akan masuk syurga. Barangsiapa yang tidak mengikutinya bererti dia enggan masuk syurga. Barangsiapa yang mengikuti Rasul shallallahu ‘alaihi wasallam dan mentauhidkan Allah serta istiqamah dalam syariat Allah serta menunaikan solat, menunanaikan zakat, melaksanakan puasa Ramadhan, berbakti kepada kedua orang tua, menjaga dari perkara yang Allah haramkan seperti perbuatan zina, meminum minuman yang memabukkan, dan perkara haram lainnya, maka akan masuk ke dalam syurga. Kerana orang tersebut telah mengikuti Rasul shallallahu ‘alaihi wasallam. Adapun orang yang enggan dan tidak mahu mentaati syariat maka maknanya orang tersebut enggan untuk masuk syurga. Orang tersebut telah mencegah dirinya untuk masuk ke dalam syurga dengan amal keburukan yang dia lakukan. Inilah yang dimaksud makna hadith di atas.
Wajib bagi setiap Muslim untuk mentaati syariat Allah, serta mengikuti Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam dalam setiap syariat yang Baginda bawa. Baginda adalah Rasulullah yang hak, penutup para Nabi ‘alaihis shalatu wasalam. Allah Taala telah berfirman tentang Nabi-Nya:
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ
“Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah menyayangimu dan mengampuni dosa-dosamu.” (Ali Imran: 31)
Mencintai Rasulullah adalah di antara sebab timbulnya rasa cinta Allah kepada hamba-Nya dan juga sebab datangnya keampunan, serta sebab masuknya hamba ke dalam syurga. Adapun bermaksiat kepada Baginda dan menyelisihi Baginda merupakan sebab kemurkaan Allah dan sebab terjerumusnya seseorang ke dalam neraka. Barangsiapa melakukan yang demikian itu, dia enggan untuk masuk ke dalam syurga. Barangsiapa yang menolak untuk mentaati Rasul shallallahu ‘alaihi wasallam maka dia telah enggan untuk masuk syurga.
Wajib bagi setiap Muslim, bahkan bagi seluruh penduduk bumi, baik lelaki mahupun perempuan, baik jin mahupun manusia, seluruhnya wajib mentaati syariat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, mengikuti Baginda, melaksanakan perintah Baginda, dan menjauhi apa yang Baginda larang. Ini merupakan sebab masuknya seseorang ke dalam syurga. Allah Taala berfirman:
مَّنْ يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللّهَ
“Barangsiapa yang mentaati Rasul sesungguhnya dia telah mentaati Allah.” (An Nisa: 80)
قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ فَإِن تَوَلَّوا فَإِنَّمَا عَلَيْهِ مَا حُمِّلَ وَعَلَيْكُم مَّا حُمِّلْتُمْ وَإِن تُطِيعُوهُ تَهْتَدُوا وَمَا عَلَى الرَّسُولِ إِلَّا الْبَلَاغُ الْمُبِينُ
“Katakanlah: Taat kepada Allah dan taatlah kepada Rasul. Dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya kewajiban Rasul itu adalah apa yang dibebankan kepadanya, dan kewajiban kamu sekalian adalah semata-mata apa yang dibebankan kepadamu. Dan jika kamu taat kepadanya, nescaya kamu mendapat petunjuk. Dan tidak lain kewajiban Rasul itu melainkan menyampaikan (amanah Allah) dengan sejelas-jelasnya.” (An Nur: 54)
قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعاً الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ لا إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ يُحْيِـي وَيُمِيتُ فَآمِنُواْ بِاللّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
“Katakanlah: Hai manusia sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua, iaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, yang menghidupkan dan mematikan, maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummiy yang beriman kepada Allah dan kepada kalimah-kalimah-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah dia, supaya kamu mendapat petunjuk.” (Al A’raf: 158)
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.” (QS. Al Hasyr:7)
Ayat-ayat yang semakna dengan ini sangat banyak. Maka wajib bagi setiap orang yang mahu berfikir dan bagi setiap Muslim untuk mentauhidkan Allah dan komited atas ajaran agama Islam, mentaati Rasul shallallahu ‘alaihi wasallam, menjauhi apa yang dilarang. Itu semua merupakan sebab masuk ke dalam syurga dan jalan menuju syurga. Adapun barangsiapa menolak untuk melakukkannya maka orang tersebut telah enggan untuk masuk syurga.
Hanya kepada Allah kita memohon keselamatan.
Oleh: Adika Mianoki
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/11/golongan-yang-enggan-memasuki-syurga.html