Golongan 50 Tahun Ke Atas Berisiko Jadi Mangsa Macau Scam
Kedudukan ekonomi individu berusia 51 tahun ke atas yang mempunyai aliran kewangan stabil, simpanan hari tua dan wang persaraan terkumpul menyebabkan mereka menjadi sasaran mudah sindiket penipuan Macau scam.KUALA LUMPUR: Golongan berusia 50 tahun cenderung menjadi mangsa sindiket Macau scam kerana kurang pendedahan kepada maklumat serta perkembangan semasa berhubung kes seumpamanya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Mohd Kamaruddin Md Din berkata faktor kedudukan ekonomi golongan itu yang lazimnya mempunyai aliran kewangan stabil, simpanan hari tua dan wang persaraan terkumpul, menjadikan peratusan mereka sebagai mangsa lebih tinggi.
“Amat menyedihkan apabila wang yang sepatutnya menjadi kegunaan dalam menempuh hari persaraan hilang akibat menjadi mangsa penipuan,” katanya dalam kenyataan.
Kamaruddin berkata, sepanjang 2019 sehingga bulan lalu, statistik menunjukkan jumlah tertinggi mangsa sindiket berkenaan adalah individu dalam lingkungan 51 tahun ke atas, iaitu 1,621 orang atau 29.3% daripada 5,535 mangsa yang direkodkan.
Katanya, dapatan tersebut adalah hasil analisis pihaknya berhubung kes penipuan Macau scam di seluruh negara.
Menurutnya, mangsa berumur 41 hingga 50 tahun pula merekodkan 17.8%, 31 hingga 41 tahun (25.3%), 21 hingga 30 tahun (26.2%), manakala mangsa di bawah 20 tahun adalah 1.5%.
Selain itu, katanya, sepanjang tempoh itu, sebanyak 5,527 kes penipuan Macau scam dicatatkan JSJK melibatkan kerugian berjumlah RM327,910,835.05.
Pada 2019, sejumlah 2,466 kes dicatatkan dengan nilai kerugian RM121.85 juta, sebanyak 2,247 kes (RM172.7 juta) pada 2020 dan Januari hingga bulan lalu sebanyak 814 kes (RM33.3 juta).
Sehubungan itu, beliau berkata, komunikasi dalam kalangan keluarga amat perlu bagi menyalurkan maklumat serta perkembangan modus operandi penipuan sebegini.
Katanya, anak-anak yang mempunyai pendedahan langsung kepada maklumat di media sosial disarankan berkongsi pengetahuan dengan ibu bapa agar mereka turut cakna dengan situasi semasa. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2021/07/golongan-50-tahun-ke-atas-berisiko-jadi.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+MalaysiansMustKnowTheTruth+%28Malaysians+