Gesa Mp Muslim Usul Pindaan Batalkan Lesen Pemandu Mabuk
Siti HafidahSyor perketat lesen memandu warga emas perlu kajian terperinci

		  			 			BANGI – Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)  menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap individu yang memandu di  bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Timbalan Presidennya, Datuk Dr Mohamed  Hatta Mohamed Tarmizi berkata, sudah tiba masanya pindaan segera wajib  dilakukan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ini supaya hukuman yang lebih berat –  termasuk membatalkan serta merta lesen kenderaan memandu (LKM) dan  mengharamkan mereka memperbaharuinya – dilakukan ke atas pesalah yang  terbukti memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
“I-Medik menyarankan Ahli-Ahli Parlimen  muslim wajib membawa usul pindaan akta tersebut ke persidangan Parlimen  sekarang dan meluluskannya dengan kadar segera.
“Ini selari dengan Maqasid Syariah  mewajibkan nyawa dan akal dipelihara. Ini juga sejajar dengan  Perlembagaan Malaysia yang mengambil Islam sebagai agama  Persekutuannya,” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net.
Beliau menyuarakan saranan itu susulan  cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada kerajaan agar mengehadkan  pengeluaran lesen memandu kepada warga emas.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan  dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata,  antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan adalah kerana warga emas  memandu kenderaan dalam keadaan mereka tidak sihat sepenuhnya.
Beliau berkata, kumpulan warga emas  seharusnya menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan surat  daripada doktor terlebih dahulu untuk mengesahkan bahawa mereka sihat  untuk memandu.
Mengulas perkara itu, Dr Hatta berkata,  saranan berkenaan perlu kajian lebih terperinci dan mungkin dijadikan  sebagai pilihan terakhir.
Katanya, I-Medik berpandangan perlu lebih  banyak data-data diperolehi untuk melihat sama ada faktor umur pemandu  itu boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya.
“Bagaimanapun, I-Medik berpendapat lebih  tumpuan harus diberikan kepada kesalahan memandu di bawah pengaruh arak  dan dadah,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/09/gesa-mp-muslim-usul-pindaan-batalkan.html