Gelagat Pengguna Budaya Pemasaran Dan Penggunaan Internet Dalam Pemasaran Semasa
Gelagat pengguna, budaya pemasaran dan penggunaan internet dalam pemasaran semasa
Muhammad Nuruddin Bashah
Pendahuluan
Pemasaran adalah aspek yang amat penting kerana disitulah segala hasil perniagaan menerima keuntungan. Dalam Islam, kita dibolehkan melakukan pemasaran sekreatif yang kita mampu serta mengikut persaingan dan perkembangan pasaran. Namun ia perlulah patuh syariah yang sudah ditetapkan. Dalam pemasaran syariah, kita dibolehkan untuk menjaga nama baik pelanggan, menyebut spesifikasi kualiti barang tetapi perlu sesuai dan realiti dengan kondisi barang tersebut. Seorang peniaga perlu jujur dalam menjalankan perniagaan dan mengikuti segala kaedah transaksi ekonomi menurut Islam.
Membeli-belah dalam talian atau pembelian dalam talian ialah proses yang pengguna lakukan untuk membeli produk atau perkhidmatan dalam Internet. Kedai dalam talian, e-kedai, kedai internet, kedai sesawang, atau kedai maya adalah kalimah yang sama.
Tempat perniagaan yang pembangunan laman, pengehosan laman, dan jenis kegiatan berkait laman sesawang yang lain dilakukan adalah kaitan dengan ‘kedai sesawang’. Bertujuan untuk mengurangkan kos, pembelian dalam talian memperkenalkan cara-cara yang baharu seperti mengurangkan bilangan kakitangan yang diperlukan. Kaidah dalam talian ini juga merupakan cara yang lebih berkesan untuk menjual produk kepada pembeli dari seluruh pelosok dunia. Orang Kodiang, Baling, dan Naka Kedah mampu menjual makanan dan barang tempatan ke pasaran Eropah atau benua Jepun misalnya.
Tulisan ini akan membahas gelagat pengguna, budaya pemasaran dan penggunaan internet dalam pemasaran semasa.
Faktor-faktor yang mempengaruhi gelagat pembeli sewaktu berinteraksi dalam perniagaan dalam talian.
Syarikat yang benar-benar memahami kehendak pengguna akan berusaha untuk memasarkan produk atau perkhidmatan mereka dengan memberikan rangsangan pemasaran dari segi produk, harga, promosi dan agihan produk tersebut.
Sebenarnya gelagar pengguna atau pembeli semasa membeli secara biasa (Berdepan) atau secara talian adala sama sahaja dan faktor yang mempengaruhi mereka juga adalah faktor yang sama dengan pembeli barang biasa cumanya gelagat mereka akan berubah serba sedikit atas perkara berikut:
Barang yang boleh dipilih lebih banyak secara talian dan mereka mampu menilai dan membuat khiyar dengan lebih luas dan cepat.
Mereka mudah mendapatkan bantuan pandangan pihak lain tanpa pengetahuan penjual dan ini memberi keselesaan kepada pembeli.
Namun sikap curiga mereka memang tinggi memandangkan pembelian dalam talian ini memiliki potensi menipu dan pemberian barang yang berlainan daripada sangkaan mereka(pembeli).
Terdapat 4 faktor yang mempengaruhi pembeli secara umum termasuk secara talian iaitu:
Faktor budaya
Budaya didefinisikan sebagai nilai asas kehidupan atau corak gelagat berasaskan kepada perkongsian makna, adat dan tradisi di kalangan ahli sesuatu masyarakat. Ia mempengaruhi sikap, kepercayaan, perilaku, kehendak dan keutamaan terhadap sesuatu idea, aktiviti dan produk.
Setiap budaya mempunyai sub budaya tersendiri. Sub budaya adalah kumpulan didalam masyarakat yang mempunyai kelainan tertentu yang dikongsi bersama berasaskan pengalaman kehidupan yang sama. Contohnya pada suatu budaya Masyarakat Malaysia, terdapat sub budaya seperti sub budaya Melayu, Cina, India, Wargatua dan sebagainya. Pemasar dalam talian harus memahami budaya sesebuah masyarakat bagi memperkenalkan produk baharu.
Kelas sosial pula merujuk pembahagian masyarakat mengikut nilai, minat dan tabiat yang sama. Ia boleh dikelaskan mengikut kombinasi elemen termasuklah jumlah pendapatan, pekerjaan, taraf pendidikan dan tahap kemampuan.
Faktor taraf hidup
Struktur taraf sosial yang menentukan bagaimana individu atau kumpulan diiktiraf atau dihormati terdapat pada setiap masyarakat. Individu-individu bagi sesuatu ‘taraf’ selalunya mempunyai nilai, minat, dan gelagat yang tertentu. Penentuan taraf sosial bukan sekadar bergantung kepada jumlah pendapatan, tetapi juga merangkumi jenis pendidikan, harta keturunan, pekerjaan dan sebagainya. Bagi pemasar dalam talian , taraf sosial membantu mengenal pasti kumpulan manusia yang besar dengan persamaan yang jelas terutamanya dalam penentuan jumlah, gaya dan bagaimana mereka berbelanja. Menklasifikasi kelas atasan, kelas pertengahan dan kelas bawahan adalah contoh taraf sosial ialah. Bagi setiap kelas ini, mereka terbukti mempunyai pilihan tertentu dalam pemakaian, aksesori, gajet, rekreasi, buku-buku bacaan dan kenderaan.
Pengguna sebenarnya juga sering berbelanja menuruti pengaruh kumpulan rujukan selain taraf sosial. Kumpulan rujukan ini adalah kumpulan yang mempengaruhi pengguna secara langsung dan tidak langsung. Pengguna selalunya merasa perlu untuk meniru atau mencontohi pemilihan barangan sebagaimana yang diamalkan oleh kumpulan rujukan agar mereka dianggap sebagai setaraf atau menghampiri taraf tertentu kumpulan rujukan tersebut. Misalnya kelompok yang kini banyak memperomosi topi dengan logo capal dan ada kalimah ‘sollu ala nabi’ kini menjadi perhatian anak muda dan kelompok cinta majlis mahabbah Nabi,majlis maulid serta juga kini digemari oleh pelajar pengajian Islamyang ‘moderate’. Ini satu tarikan yang perlu diambil kira oleh pemasar dalam talian.
Faktor personal
Ciri-ciri personal atau peribadi adalah seperti umur, kitaran hidup, pekerjaan, kedudukan ekonomi, gaya hidup, personaliti dan konsep hidup. Pengguna menukar keperluan produk atau barangan dalam kehidupan menuruti kitaran hidup keluarga masing-masing. Misalnya akibat menimang cahayamata para ibumuda mula mencari produk untuk mudahkan anaknya tidur, tidak selsema serta ubat batuk yang tanpa kesan sampingan. Di sini produk umpama balm dengan minyak esential seperti jenama ‘Tasneem’ akan mengambil hati para ibu muda berkenaan. Pekerjaan juga menentukan pemilihan sesuatu barangan misalnya golongan pejabat akan terkesan dengan iklan barangan yang mengurangkan stress mata misalnya. Gaya hidup pula merupakan corak hidup yang boleh dilihat menerusi aktiviti, minat, dan pendapat seseorang. Misalnya yang kerap hiking akan tertarik dengan produk pisau serbaguna yang kuat,tahan dan murah. Selalunya penentuan gelagat pengguna berasaskan gaya hidup adalah lebih menyeluruh berbanding dengan taraf sosial dan ciri lain. Adalah perlu bagipihgakpemasar mewacanakan gaya hidup terkini sebagai subjek utama mereka.
Faktor psikologi
Ianya terbahagi kepada empat:
Motivasi
Motivasi merupakan kehendak dalaman individu yang menentukan perilaku untuk memenuhi kehendak-kehendak tersebut. Dalam teori Freud,ia menganggap manusia selalunya tidak menyedari keperluan psikologi yang menentukan gelagat mereka. Tetapi menurut Teori Maalow ia membahagikan keperluan manusia kepada lima bahagian yang di susun mengikut hierarki di mana pengguna akan memenuhi keperluan asas(bawah) dahulu sebelum beranjak ke keperluan di bahagian atas. Dan teori inilah yang dirujuk oleh para pemasar.
Persepsi
Persepsi adalah satu proses di mana manusia memilih, menyusun dan menterjemah informasi untuk mendapatkan gambaran keseluruhan persekitaran mereka. Misalnya bagi dua pengguna berbeza yang mempunyai motivasi yang sama selalaunya bertindak secara berbeza kerana persepsi yang berbeza. Persepsi adalah proses minda yang abstrak serta benar-benar tulen bagi setiap individu.
Pembelajaran
Pembelajaran perupakan perubahan ke atas gelagat pengguna berdasarkan pengalaman dan pendidikan tidak langsung. Pembelajaran merupakan gabungan kemahuan, motif dan ransangan-ransangan yang menentukan bila, di mana, dan bagaimana seseorang itu bertindak balas.
Sikap
Sikap pula adalah kedudukan positif atau negatif yang konsisten terhadap nilai, perasaan dan kecenderungan terhadap sesuatu perkara. Inilah faktor gelagat yang paling sukar diubah. Justeru itu sesuatu barangan yang dikeluarkan seharusnya bersesuaian dengan sikap pengguna sedia ada dan tidak cuba mengubah pendirian mereka kerana ia hanya membuang masa.
Baik, menurut sudut pandang Islam, terdapat banyak faktor lain yang dikaji. Sebenarnya agama Islam telah memberi panduan kepada manusia sejagat dalam bergelagat. Sumber-sumber yang sahih sebagai pegangan umat Islam dalam bergelagat adalah al-Quran dan Sunnah serta tabiat serta perilaku para ulama’ yang menjadi panduan sepanjang hidup. Islam sebagai cara hidup yang lengkap bertindak untuk mengawal dan menyekat gelagat manusia. Gelagat penguna adalah tabiat yangg dikaji pengeluar dan jika bagi ekonomi konvensional, ianya bermatlamat memaksima kepuasan.
Faktor umum di atas telah dikupas iaitu yang pengaruhi gelagat pembeli/pengguna adalah faktor budaya, sub budaya, motivasi, psikologi, sosial, peribadi,gaya hidup,umur dan sebagainya.
Bagi pandang sarwa Islam pula, matlamat kajian adalah hubungkait kerohanian dengan kebendaan. Justeru, gelagat pembeli seharusnya diakibatkan oleh unsur aqidah, konsep ibadat iaitu mengguna dan membeli atas tujuan ibadah, akhlak sehingga tidak mengguna mudah mudah konsep ‘customer is always right’. Faktor keagamaan juga merupakan penentu utama dalam mempengaruhi gelagat seseorang. Secara khususnya, individu yang mempunyai agama akan memegang nilai-nilai keagamaan dalam mempengaruhi setiap tindakan dan keputusan yang dilakukan termasuk semasa membeli dalam talian.
Perbahasan pandangan ulama terhadap kaedah pemasaran berbentuk tular (viral) dan ulasan berbayar (paid review) serta pandangan terhadapnya Antara faedah membeli-belah dalam talian termasuklah:
Kuasa tawar-menawar pengguna yang lebih serta lebih banyak pilihan.
Kuasa pembekal,sesiapa sahaja mampu memasarkan produk tanpa memiliki stok bekalan sendiri.
Internet mempertingkat pengkomoditian.
Kedai dalam talian memudahkan pengenalan produk dan perkhidmatan baharu, dengan overhed yang lebih rendah.
Persaingan antara pesaing: Kedai dalam talian memudahkan pengenalan produk dan perkhidmatan kepada pasaran-pasaran yang berbeza.
Untuk sebuah perniagaan kekal lama ianya bergantung kepada dua usaha, iaitu pemasaran dan jualan. Langkah gerak-kerja pemasaran yang berkesan dan tepat, akan memberi inpak pada peningkatan jualan sekaligus membawa keuntungan kepada syarikat. Oleh kerana itu, syarikat-syarikat besar sangat memberi perhatian kepada unit pemasaran sehingga memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi aktiviti tersebut.
Telah wujud kini satu bentuk baru pemasaran dalam talian iaitu melalui kaedah ‘viral marketing’ dan kaedah ‘paid review’. Dengan melakukan viral marketing boleh berlaku dengan menularkan produk perniagaan sama ada dirancang atau tidak. Manakala kaedah membayar seseorang untuk membuat testimoni terhadap produk mahu pun perkhidmatan pula adalah paid reviews.
Dalam perniagaan dalam talian, testimoni sangat mempengaruhi pelanggan kerana pelanggan menilai review sebelum membeli barang, sebelum menempah hotel dan sebagainya. Yang menjadipermasalahanadalah review yang berasaskanpenipuanatau terancang sehingga produkyang tidak digunakan diberi komentar berlebihan seolah ramai yang menggunakannya.
Dalam transaksi muamalat Islam, maklumat dan ketelusan urus niaga sangat penting kerana ia menjadi asas kepada kesahihan sesuatu akad. Syariah telah mengharamkan amalan ghish, taghrir dan tanajush dalam perniagaan untuk memastikan perniagaan berlaku secara adil dan wujud redho meredhoi antara penjual dan pembeli.
Dalam kaedah viral marketing yang dirancang, antara contoh ialah insentif rujukan (referral), seperti yang digunakan oleh Dropbox dan pelbagai syarikat‐syarikat lain. Dengan memberi insentif jika memperkenalkan rakan kepada perniagaan mereka. Selain itu dalam media sosial, kaedah yang mempergunakan tribe juga digunakan, iaitu dengan mempergunakan agen‐agen, rakan yang sama perniagaan mempromosikan produk masing‐masing dengan pelbagai cara.
Ada juga yang menggunakan kaedah ‘bot’, iaitu aplikasi yang boleh menambah ‘like’ kepada iklan-ilan produk. Kaedah bot untuk meningkatkan komen juga wujud. Ianya bot, sama ada secara sah, atau secara tidak sah dengan menggunakan akaun‐akaun palsu. Kaedah bot yang menggunakan akaun dan profil palsu banyak berlegar di medium facebook dan juga platform jualan seperti Trevaloka, Amazon, Tripadvisor dan seumpamanya. Peranan akaun‐akaun palsu ini adalah untuk meningkatkan capaian (reach), like, ‘engagement’ melalui komen‐komen ringkas tanda minat terhadap hantaran (posting) yang dibuat oleh pemilik produk.
Manakala terdapat juga bot yang beroperasi secara sah tanpa menggunakan akaun palsu. Ianya bertujuan untuk meningkatkan kuasa viral yang biasa digunakan di Instagram. Kaedahnya adalah,bot ini bertindak dengan mencari kata kunci yang disukai, disebutkan oleh pemilik akaun, kemudian akaun penjual secara automatik akan follow pemilik akaun terbabit secara sah.
Secara umum syariat Islam menggariskan beberapa prinsip utama dalam muamalat Islam yang mana prinsip inilah yang menjadi asas kepada fiqh al-taswiq (fiqh pemasaran) yang beretika serta pembinaan konsep fiqh at-tijarah . Prinsip utama muamalat Islam ialah:
Kerelaan dan keredhoan yang menjadi asas kepada urus niaga Islam.
Mesti meninggalkan urus niaga yang dilarang oleh Syariah seperti kontrak riba, gharar dan maysir(judi).
Menjauhi jualan produk dan perkhidmatan yang haram dan berbahaya seperti babi, pelacuran, arak dan seumpamanya.
Menjauhi urus niaga yang boleh menjejaskan struktur pasaran seperti ihtikar(monopoli dan sebagainya..
Usaha menipu terhadap pelanggan adalah berdosa. Dalam hadisNabi melarang tindakan an-najash. Walaupun pada gambaran asalnya kelihatan an-najash berlaku dalam sesi jual beli muzayadah(berpakat dengan seseorang buat tawaran harga palsu yang tinggi dengan harapan si pembeli lain akan membeli dengan harga yang lebih tinggi), namun objektif pengharaman an-najash sebenarnya perlu dilihat dalam skop yang lebih luas. Kamil Sakr al‐Qaisiy , misalnya, melihat an-najasy ialah cubaan menipu daya terhadap kualiti sesuatu produk. Sesorang itu dikira melakukan tanajusy jika mencela dan merendah-rendahkan kualiti barang orang lain, atau terlalu memuji‐muji sesuatu barang itu baik kualitinya sedangkan hal sebenarnya tidak begitu.
Nabi melarang an-Najsy. An-najasy secara umum adalah sengaja meletak harga tawaran tinggi untuk menghalang orang lain membeli. Ibn al-Arabi juga menyatakan bahawa an-najash ialah situasi seseorang itu sengaja menawarkan harga belian yang tinggi, tetapi tidak pun berniat untuk membelinya. Tetapi menurut Ibn Qudamah, an-najash juga merupakan perbuatan khida’, iaitu usaha menipu daya terhadap orang iaitu cubaan menipu daya terhadap kualiti sesuatu produk.
Menurut Dr Ahmad Sufian bin Che Abdullah Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Pengurusan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya hal-hal viral marketing yang berunsur penipuan adalah haram. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, viral marketing yang berlaku tanpa usaha daripada pemilik,tidak dirancang tidaklah menjadi isu kepada pelanggandanianya harus. Namun jika usaha menularkan itu dirancang, usaha itu perlu dilihat dan dikaji, adalah ia termasuk dalam bentuk menipu daya secara an-najash atau taghrir.
Misalnya menurut Dr Ahmad Sufian isu’PM palsu’. Usaha viral yang menggunakan PM palsu ini mempunya dua niat utama, iaitu mendakwa mereka cuba untuk menaikkan posting, atau meningkatkan engagement, dalam media sosial. Sebenarnya boleh menggunakan kaedah lain seperti menyampuk dengan perbualan-perbualan biasa, atau sekadar up jika kita sekadar untuk meningkatkan engagement, tribe. Namun,apabila menggunakan PM ia seperti cuba untuk menggambarkan bahawa produk itu mendapat sambutan hangat, sedangkan PM itu sebenarnya pakatan yang berlaku (tawatu’) sesama sendiri.
Penggunaan bot palsu yang menggunakan akaun palsu sudah tentu jelas bercanggah dengan Syariah kerana akaun palsu itu sendiri sudah memberi gambaran usaha penipuan cuba dilakukan.
Manakala bagi isu ‘Paid Review’ sesebuah ulasan itu jika datang secara bebas daripada mana‐mana individu, ia tidak perlu dibahaskan. Yang perlu diperhalusi adalah apabila mereka yang diberikan upah dan orang yang mengulas itu sudah dibayar sudah tentu ulasannya tidak akan menyentuh sesuatu produk secara menyeluruh tetapi hanya menyentuh kepada aspek‐aspek positif sahaja. Ulasan yang bersifat positif sahaja dianggap tidak seimbang dan maklumat yang diperolehi oleh pembaca tidak menyeluruh.
Selanjutnya ulasan sebegini boleh membawa kepada isu yang lebih besar jika para pengulas yang dibayar itu dengan sengaja tidak mendedahkan bahawa dia sudah dibayar,
dengan harapan agar ulasannya dianggap neutral.
Seperti yang dinyatakan diatas sekiranya dalam sesuatu ulasan atau testimoni itu mengandungi unsur yang merendahkan produk‐produk lain, ia juga boleh termasuk dalam at-tanajush kerana tujuannya sama iaitu untuk memberi gambaran bahawa produk yang dijual itu lebih berkualiti berbanding orang lain.
Analisa organisasi yang memberikan perkhidmatan makanan dan analisis mutu perkhidmatan berdasarkan rangka mutu perkhidmatan
Pemasar dan pengeluar dapat membentuk kawalan mutu melalui:
Tanggapan Mutu
Pengalaman Mutu
Pengenalan rangka mutu perkhidmatan
Rangka mutu perkhidmatan ringkasnya adalah seperti dibawah:
Pengurusan yang Menentukan Strategi, Wawasan dan Budaya
Pekerja Perkhidmatan yang Cemerlang dan Produktif
Diberi Kuasa (Autonomi)
Kerja Berpasukan
Latihan
Pembekal
Sumber Maklumat tentang Sesuatu Perkhidmatan
Memfokuskan pelanggan
Ini adalah rangka mutu perkhidmatan secara teori. Mari kita melihat analisa perkhidmatan restoran makanan segera terkemuka dunia McDonald berdasarkan rangkamutu perkhidmatan.
Mc’ Donald perkhidmatan makanan tersohor
Sektor makanan segera, layanan dan perkhidmatan kini menjadi terlalu meluas disebabkan masyarakat kini terlalu sibuk dengan kerjaya dan rutin harian. Tempoh covid-19 ini menyaksikan tumbuhnya satu sektor ekonomi yang kian kukuh dan melebar iaitu servis penghantaran dan servis penghantaran makanan.
Pengurusan yang Menentukan Strategi, Wawasan dan Budaya
McDonald's yang sudah bertapak 38 tahun di negara ini. Reputasi kukuh korporat gergasi ini terletak kepada dedikasi 14,000 kakitangannya, dengan 300 restoran di seluruh negara. Dengan sasaran mewujudkan 450 restoran menjelang 2025, McDonald's komited mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan tambahan untuk rakyat Malaysia.
Pekerja Perkhidmatan yang Cemerlang dan Produktif (Diberi Autonomi, Kerja Berpasukan, Latihan)
Misalnya telah disiarkan baru-baru ini kisahkejayaan Pengarah Kanan Operasi, McDonald's Malaysia, Felina Lim, 53, sudah 37 tahun bersama syarikat dan antara kakitangan paling lama berkhidmat di Mc Donald. Felina bermula kerjaya secara sambilan pada usia 16 tahun ketika cuti sekolah. Walaupun kemudiannya beliau ada menerima tawaran menyambung pengajian, Felina memilih bersama McDonald's kerana ketika itu beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Restoran. Selepas itu beliau ditawarkan untuk mengikuti kursus profesional dalam bidang perkhidmatan makanan di Hamburger University di Chicago, Amerika Syarikatdan dinaikkan pangkat untuk bertugas di Jabatan Latihan di ibu pejabat McDonald's Malaysia serta diberi tanggungjawab, melaksanakan perubahan sistem operasi restoran. Ini antara bukti bagaimana Mc Donald memberi peluang mengembang kerjaya, potensi,kemahiran dan pengalaman kepada para pekerjanya. Malah bukan sahaja Felina,ramai lagi pengurus McDonal berlainan bangsa mampu naik keatas walaupun awalnya hanya penjaga kaunter restoren.
Pembekal
Ulasan lanjut pembekalan Halal McDonalds boleh dilihat melalui pautan dibawah.
https://www.youtube.com/watch?v=xTFBoITJeAw
Sumber Maklumat tentang Sesuatu Perkhidmatan
Untuk mendapat maklumat tentang McDonalds memang tidak menjadi kesukaran langsung. Menu dan tawaran terkini boleh diketahui melalui laman webnya, serta apps yang lebih ienteraktif.
https://www.mcdonalds.com.my/en/mcdapp
Memfokuskan pelanggan
Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald's Malaysia, Melati Abdul Hai, menyatakan kini rangkaian McDonald's Malaysia, mengambil langkah meningkatkan tahap keselamatan dan kebersihan makanannya dengan mengamalkan sistem pembayaran tanpa tunai dan tidak bersentuhan bagi perkhidmatan penghantarannya. Ini antara langkah yang diambil ketika negara berdepan krisis kesihatan ini ekoran penularan pandemik COVID-19 itu, bertujuan memastikan kesihatan pelanggan dijaga dan terhindar daripada sebarang wabak.
Melati Abdul Hai juga menyatakan McDonald's Malaysia akan memperluaskan rangkaian perkhidmatan penghantaran makanannya, McDelivery kepada 1,000 lokasi menjelang 2025 bersandarkan kepada perubahan dan keperluan semasa dalam landskap dunia perniagaan. Sasaran berkenaan dipercayai mampu melonjakan penguasaan pasaran perkhidmatan McDelivery dari 10 peratus kepada 30 peratus dalam tempoh yang ditetapkan. Hal ini direalisasikan menerusi kehadiran 450 cawangan McDonald's bakal dibina pada 2025 selain kerjasama strategik dengan pengendali pihak ketiga melalui pelaburan keseluruhan mencecah RM1.4 bilion.
Kesimpulan
Dari tugasan ini kita dapat mengupas sedikit sebanyak berkenaan aktiviti pemasaran yang cocok dengan Islam serta apa yang dibenarkan dan apa yang dilarang. Hari ini aktiviti pemasaran bukan sahaja menjadi topik pihak peniaga tetapi sesiapa sahaja malah para guru juga kerana meniaga sampingan secara talian telah menjadi budaya hari ini. Boleh dikatakan setiap individu ada produk yang dijualnya secara sampingan. Maka akhlak,piawaian syarak dan rangka mutu perkhidmatan, perlulah dijadikan indikator untuk memastikan pemasaran kita bukan sahaja adil untuk pembeli, malah memberi rezeki halal dan berkat kepada kita sekaligus menjana KDNK negara melalui aktiviti ekonomi yang rancak. Pada penulis, subjek pemasaran menurut syarak perlu dibuat kursus pendek dimasjid-masjid untuk membumikan ilmu ini.
RUJUKAN
Ismah Osman , ABSS2103 Prinsip Pemasaran , 2020, Open University Malaysia (OUM)
Dr Ridzwan Ahmad, Pengantar Syariah, dimuat turun pada 12 Nov 2020 di laman :
http://e-muamalat.islam.gov.my/images/pdf-bahan-ilmiah/penghantar_hukum_islam-dr_ridzwan_portal.pdf
Membeli-belah dalam talian, dimuat turun pada 9 Nov 2020 di laman :
https://ms.wikipedia.org/wiki/Membeli-belah_dalam_talian
Siti Khalilah Basarud-din1 dan Azizi Abu Bakar, Model Gelagat Pengguna Islam, dimuat turun pada 9 Nov 2020 di laman :
https://johdec.unimap.edu.my/images/PDF/JOHDEC_DEC_2019/Vol_8_2019_169-182.pdf
Dr Ahmad Sufian bin Che Abdullah, Isu Viral Marketing Dan Paid Review Dalam Pemasaran Internet: Analisis Perspektif Syariah, dimuat turun pada 9 Nov 2020 di laman :
http://muamalat.my/v6/wp-content/uploads/viralmarketing.pdf
Konvensyen Keusahawanan Malaysia, dimuat turun pada 8 Nov 2020 di laman :
http://e-muamalat.islam.gov.my/images/pdf-bahan-ilmiah/cd_prosiding_ncie_2015_1.pdf
McD utamakan keselamatan, kesihatan pelanggan,Berita Harian, dimuat turun pada 8 Nov 2020 di laman :
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/683101/mcd-utamakan-keselamatan-kesihatan-pelanggan
McDonald's bukan sekadar tempat kerja,Berita Harian, dimuat turun pada 8 Nov 2020 di laman :
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/723014/mcdonalds-bukan-sekadar-tempat-kerja
McDonald's perluas perkhidmatan McDelivery, dimuat turun pada 8 Nov 2020 di laman :
https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2018/07/455714/mcdonalds-perluas-perkhidmatan-mcdelivery
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://laman-munawwarah.blogspot.com/2021/01/gelagat-pengguna-budaya-pemasaran-dan.html