Gejala Keracunan Makanan Selepas Makan Roti Canai Telur Bersama Bawang
Akhirnya, saya terkena juga dengan gejala keracunan makanan. Tumpas! ingatkan boleh pulih dengan sendirinya selepas membuang. Rupa-rupanya tidak sama sekali ya. Saya kira, ini lah yang paling teruk dalam sejarah hidup, setakat ini.
Dengan 6 kali cirit-birit. Dari jam 1 pagi sehingga 3 pagi. Kalau setakat membuang cirit-birit tu takpe lah. Tapi, gejala keracunan makanan ni di datangi bersama sakit perut sehingga menyebabkan kekejangan perut berlaku. Sehinggakan saya asyik mengerang kesakitan sehingga menjerit, dek menahan kekejangan perut berlaku.
Kronologi Keracunan makanan
1. Perut lapar, betul-betul kosong selepas maghrib.
2. Beli bungkus di Grab. Warung roti canai.
3. 3 orang anak yang lain, semuanya memesan roti canai kosong.
4. Hanya saya sahaja yang makan roti canai telur bercampur bawang.
5. Anak nombor 2, Wardina makan roti bawang.
Gejala Keracunan Makanan
Selepas 4 jam makan, perut saya sudah mula menunjukkan gejala keracunan makanan. Iaitu sakit perut memulas, seakan mesin basuh dalam keadaan spin . Seterusnya rasa mual sahaja.
Sakit tersebut 15 minit sekali, kemudian 10 minit dan semakin kerap jadinya. Kemudian, membuang beberpa kali dalam 1 pusingan ke tandas.
Berselang setengah jam kemudian, membuang lagi. Tapi kali ini cirit-birit. Isi dah habis, keluar lendiran dan air sahaja. Masa kejadian, saya dah gembira. Siap bisik dalam hati lagi. "Alhamdulillah, settle juga akhirnya. Boleh tidur dah lepas ni."
Semakin parah
Baru sahaja mahu berbaring di katil, belum labuhkan kepala lagi di bantal. Perut memulas-mulas. Kali ini lebih menyakitkan.
Kejutkan suami, dan sempat suami urutkan perut saya sambil baca 3 Qul dan angin saya keluar dan juga suami. Fikirkan dah habis di situ sahaja. Rupa-rupanya tidak ya!
Memandangkan suami tengok saya sudah 4 kali ke tandas, dia meminta saya minum air masak untuk elakkan daripada terjadi dehidrasi.
Saya nekad, tidak mahu minum air. Ini disebabkan saya berpuasa untuk pemeriksaan ibu mengandung pada keesokan harinya. Hari tersebut saya perlu minum air gula bagi menetukan tahap kesihatan ibu mengandung sama ada GDM atau pun tiada.
Keluarkan kesemua racun
Jam 3 pagi ketika itu, serangan sakit perut semakin teruk. Perut saya kembung! saya masuk ke tandas, sambil mengusap perut dengan membaca selawat keatas nabi sebanyak 3 kali.
Selepas berselawat, saya memohon doa kepada Allah .
"Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim"...
Jika dalam perutku mengandungi racun bisa, makanan kotor dan pelaris keluarkan melalui najis.
Dengan izin Allah SWT, doa dari orang sakit diangkat.
Maasya allah, najis keluar tak berhenti-henti masa ni. Rasa nak menangis pun ada. Kemudian, sakit memulas tu masih ada. Tidak hilang sepenuhnya, saya menangis di sisi suami.
Jarum jam menunjukkan 4 pagi, saya tidak dapat bertahan lagi jika berterusan begini. Risau saya akan pengsan akibat menahan kesakitan yang tidak dapat ditanggung lagi. Tambahan lagi, saya risau dengan kandungan, takut akan memberi kesan.
Lalu suami membawaku ke Bahagian Kecemasan di Hospital Tengku Ampuan Afzan ( HTAA ) . Syukur ya Allah, urusan di sana lancar. Jam 5.20 pagi, sudah siap urusan. Nasib baiklah, tidak kena tahan. Appointment ke Klinik Kesihatan untuk buka buku merah saya tangguhkan dahulu. 2 hari saya sakit dan proses penyembuhan. Doktor memberikan ubat Paracetamol dan air garam jika berlaku cirit-birit. Alhamdulillah, pulih pada hari ke-2.
Selepas kejadian, saya seakan trauma dengan telur.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.ehbelogaku.com/2024/06/gejala-keracunan-makanan-roti-canai-telur.html