Garlic Oyster Lamb
Assalamualaikum semua. Alhamdulillah kita bersua lagi. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada anda semua yang telah sudi menyumbangkan 1 atau 2 klik iklan yang keluar di blog saya. Semoga Allah membalas kebaikan anda semua. Aamiin.
Ramai mungkin berpandangan yang saya happy ingin tinggal di London. Sebenarnya ya dan tidak. Ya happy kerana dapat bersama anak cucu saya di sini. Sejak kecil, Ammar dan Aliya tinggal dan membesar bersama kami. Tidak pula, kerana ada famili yang saya sayangi tinggal di rumah. Ada suami saya, Nelly, Juita, Aween, Boy dan cucu cucu. Kadang terasa rindu dan rasa nak balik.
Saya sebenarnya tidak pasti apa yang saya kehendaki tapi saya hanya mengikut aturan dan takdir Allah untuk saya. Saya tidak ada apa yang saya ingini lagi. Hanya mahukan ketenangan jiwa. Saya menyerah segalanya pada Allah. Setiap hari saya berdoa memohon pertolongan Allah untuk memberikan takdir yang terbaik buat saya sekeluarga.
Kadang saya melihat orang sekeliling dan merasa kan betapa beruntungnya mereka. Sedangkan kita tidak mengetahui apa yang mereka hadapi, apa masalah yang sedang dijalani.
Dunia ini tidak pernah cukup. Makin dikejar, makin lari. Tidak dinafikan di zaman media social, tak kala semua orang menayang kemewahan, pasti terdetik rasa beruntungnya mereka. Terdetik rasa cemburu melihat kelebihan mereka. Tapi dalam masa yang sama kita juga melihat betapa ada yang struggle dengan kehidupan yang sangat keras. Betapa susahnya mereka. Ia menjadikan kita bersyukur, betapa kita lebih baik dari mereka.
Saya tidak perlu melihat jauh. Keluarga saya sendiri. Kami mencari rezeki dengan bekerja. Menerima gaji bulanan. Tak ada projek, tak ada cable, tak ada jalan mudah. Kadang melihat betapa struggle anak anak dalam membina kehidupan. Sama yang pernah saya alami dahulu. Gaji tidak lah tinggi dan ditambah dengan kos kehidupan di sana yang tinggi menjadikan setiap hujung bulan agak mencabar.
Di sini pun saya melihat Nana struggle, beratus ribu habis untuk persediaan dan membiayai perbelanjaan ke sini. Saya sebagai ibu merasa sangat sedih. Andai saya mampu, mahu sahaja saya yang membayarnya. Bayangkan deposit rumah selama 6 bulan, sewa rumah £2500 sebulan, persekolahan Aliya £580 sebulan, utilities, transportation, makan minum dsb.
Itu sebab saya sebaiknya cuba memasak sarapan untuk Nana membawa bekal. Selain untuk pastikan mendapat makanan halal juga untuk menjimatkan. Saya mahu dia fokus pada programnya dan tamat dengan jaya. Saya melihat bila balik dari hospital, dia dah keletihan untuk ke dapur memasak.
OK lah setakat ini dahulu, doakan semoga kami dan kita semua sentiasa mendapat rahmat dan kasih sayang Allah dan dipermudahkan dalam apa jua urusan. Aamiin.
Saya menyediakan lauk garlic oyster lamb hari ini yang mudah dan sedap. Serious sedap tau. Sedap tak boleh bawa bincang gitu. Di sini banyak sekali dijual daging bebiri (sheep) samada lamb atau mutton. Harga pun tak mahal sangat. Seperti yang saya kongsi sebelum ini bebiri dengan kambing tak sama. Spesis haiwan yang berbeza.
Kambing (goat) yang banyak terdapat di tempat kita terutama daging segar yang diguna untuk korban dan akikah. Beza mutton dengan lamb pula ialah umur bebiri tersebut. Jika bawah 1 tahun dipanggil lamb dan lebih dipanggil mutton.
Hari ini saya menggunakan daging lamb untuk masak garlic oyster. Memasak pun sekejap jer sebab bebiri muda kan. Dalam 10-15 minit jer dah lembut. Saya menyediakan lamb hari ini kerana masih ada sambal tumis udang yang saya sediakan sebelum ini untuk Nana. Nana tak makan bebiri atau kambing. Dia tak makan juga semua organ organ dalaman haiwan. Jadi lauk ni boleh dimakan oleh saya dan Alain.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....
Garlic Oyster LambOleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
500 gram daging lamb
Minyak zaitun dan mentega
Bahan hiris kasar:
1 biji bawang besar Holland - hiris
5 ulas bawang putih - ketuk
1-2 biji cili merah - hiris
Bahan rempah:
1 sudu kecil serbuk parsley
½ sudu kecil serbuk lada hitam
½ sudu kecil serbuk lada putih
2 sudu besar tomato puri - guna 1 biji buah tomato cincang
¼ botol sos tiram - 4-5 sudu besar
Kicap manis secukupnya
½ sudu besar gula
Garam secukupnya
½ cawan susu segar
Cara cara:
Panaskan minyak zaitun dan mentega, tumis bahan hiris. Masukkan bahan rempah dan tomato. Kacau rata.
Masukkan daging. Kacau rata.
Masukkan sos tiram, kicap manis, gula, garam dan susu segar. Kacau rata.
Tutup periuk selama 10-12 minit dan masak atas api perlahan sehingga daging empuk.
Sesuaikan rasa dan boleh tutup api.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.aziekitchen.com/2025/06/lamb-garlic-oyster.html