Gara Gara Muflis Ibu Tunggal Terpaksa Tumpang Rumah Adik Bergantung Wang Kwsp
                                  Shawaliah Hadir                                                                                                                                                                                                                      

Temubual  bersama ibu tunggal, Normala Nursai di Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL             KUALA LUMPUR – Bermula dengan bekerja di salah sebuah gedung  pakaian terkemuka di ibu kota 12 tahun yang lalu, sebelum mengambil  keputusan membeli rumah pada 2013, Normala Nursai, 36 akhirnya terpaksa  menumpang di rumah adik bongsunya di Projek Perumahan Rakyat (PPR)  Kampung Baru Air Panas setelah diisytihar muflis.
Ibu tunggal kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ini  diisytihar muflis selepas tidak mampu membayar bayaran bulanan pinjaman  yang dilakukannya.
Kehidupan Normala semakin rumit apabila terpaksa berhenti  bekerja pada 2018 untuk menjaga arwah ibunya yang ketika itu menghidap  penyakit buah pinggang kronik.
Setelah ibu tercinta meninggal dunia, hajatnya untuk kembali bekerja  terbantut selepas disahkan menderita akibat fibroid di perut.
Meskipun telah menjalani pembedahan, beliau dimaklumkan oleh doktor  bahawa fibroid berkenaan kembali membesar dan menyebabkannya sering  mengalami pendarahan teruk.
Ketika itu katanya, pembedahan ditanggung sepenuhnya oleh hospital kerana Normala sudah tidak mempunyai simpanan.
“Masa saya buat pembedahan fibroid pun semua hospital yang tanggung,” katanya.
Dalam masa sama tahap kesihatan ayahnya yang berusia 68 tahun semakin  merosot setelah pemergiaan isterinya kerana tidak dapat menerima  hakikat insan tercinta sudah tiada lagi.
“Selepas mak meninggal ayah pula sakit sebab terlalu sedih,” tambahnya.
Lebih memburukkan keadaan apabila ayahnya disahkan menghidapi masalah buah pinggang dan memerlukan penjagaan rapi.
Hanya hidup menumpang di rumah adik bongsu, Normala mengaku tidak mampu memberikan wang saku kepada anaknya untuk ke sekolah.
Wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibenarkan oleh  kerajaan untuk digunakan dengan kadar RM500 sebulan digunakannya sebaik  mungkin untuk menampung perbelanjaan harian diri, anak serta ayahnya  termasuk membantu membeli keperluan harian.
Anak lelakinya hanya bergantung kepada Rancangan Makanan Tambahan  (RMT) yang diberikan sebelum ini ketika sesi persekolahan masih  berjalan.
“Anak pun pergi sekolah sebelum ini kadang-kadang ada duit belanja,  kadang tidak ada, tengok keadaan, dia harapkan makan RMT di sekolah,”  katanya lagi.
Seolah-olah memahami kehidupan mereka, Normala menyifatkan anaknya  matang kerana sudah mampu membantunya menyiapkan tugasan harian di rumah  termasuklah menjaga datuknya yang sakit.
“Masa saya di hospital anak saya yang jaga datuk dia, tolong mandikan, masak nasi,” katanya lagi.
Perit, namun itulah takdir hidup yang perlu dihadapi oleh ibu tunggal ini.
Anak dan ayah adalah tanggungjawabnya, meskipun dalam keadaan tidak mampu. Normala tetap melangkah.
Ekoran kesusahan hidupnya, Normala mencuri perhatian Angkatan  Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) untuk menerima sumbangan  pek makanan hari ini.

Ibu  tunggal, Normala Nursai bersama anaknya menyusun barangan keperluan  yang baru diterima mereka sempena Program (Angkasa) Coop Care Sumbangan  Barang Keperluan Harian di Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, Normala adalah antara 50 keluarga kategori asnaf dan ibu tunggal yang menerima bantuan pek makanan hari ini.-MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/11/gara-gara-muflis-ibu-tunggal-terpaksa.html