Gadis Berhijab Gegarkan Dunia Tawan Gelanggang Gusti
BERBEKALKAN berat 43 kilogram dan ketinggian 155 sentimeter, siapa sangka gadis kecil molek ini mampu menggegarkan dunia apabila menjadi ahli gusti wanita pertama dunia dengan penampilan berhijab.Syaradeeba Khamarulzaman atau mahu dikenali dengan nama Nor ‘Phoenix’ Diana baru berusia 19 tahun menjadi perhatian dunia apabila berjaya menjuarai pertandingan Pro Wrestling-The Wrestleconi di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini dengan menumbangkan beberapa ahli gusti lelaki negara.Kemenangan Phoenix tular di laman sosial sehingga menarik perhatian media antarabangsa apabila aksi terbang dari penjuru gelanggang mengagumkan orang ramai, sekali gus menonjolkan penampilan berhijab.Bagi gadis kelahiran Keramat, Kuala Lumpur ini, walaupun pada luarannya dia sangat pemalu, tetapi di dalam gelanggang dia mengubah 100 peratus dirinya menjadi watak Phoenix.“Saya mula meminati gusti ketika berusia 14 tahun disebabkan adik dan bapa yang gemar menonton rancangan ini di televisyen.“Selain itu, saya banyak bermain permainan video gusti bersama adik, bermula saat itu saya tidak akan melepaskan peluang menonton rancangan gusti di televisyen hingga larut malam walaupun tahu keesokannya saya perlu bersekolah,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.Katanya, dia mula terdetik untuk menjadi ahli gusti profesional ketika tamat tingkatan empat, tatkala rakan baiknya sudah memasang angan-angan karier bakal diceburi selepas meningkat dewasa.“Ada rakan memberitahu mahu menjadi pelukis, ahli muzik dan pelbagai lagi kerjaya lain, sedangkan saya pula masih belum menetapkan pendirian dan hanya tahu gusti sehinggakan saya sering datang lewat ke sekolah kerana menonton rancangan itu sehingga lewat malam.“Satu ketika terdetik di hati saya hendak menjadi ahli gusti profesional kerana terlalu obses dengan sukan berbentuk hiburan ini.“Selama dua tahun saya cuba mencari maklumat mengenai persatuan ini di laman sosial sehingga terjumpa dengan Persatuan Gusti Malaysia.“Ketika itu Malaysia Pro Wrestling (MYPW) masih belum ditubuhkan lagi. Pertarungan pertama dipertontonkan kepada umum belum ada lagi ahli gusti wanita, tapi saya sudah tidak sabar untuk menyertai mereka," katanya yang menjadikan Sasha Banks sebagi idola.Menurutnya, pada persembahan kedua barulah seorang ahli gusti wanita diperkenalkan dan ketika itu dia sudah menguntum senyuman kerana dia mampu mengikut jejak langkah berkenaan.Katanya, selepas seminggu persembahan itu, barulah dia menyertai mereka pada November 2015 dengan melihat bagaimana ahli gusti ini berlatih di Kampung Baru.“Bagaimanapun, saya masih belum memberanikan diri dan ayah menemani saya untuk hantar serta jemput ke tempat latihan,” katanya yang terkenal dengan gerakan penyudah, 'Tilt-a-Whirl Cutter', 'Crossbody' dan 'Suicide Dive'.Phoenix yang bekerja sebagai pembantu klinik di sebuah hospital di Lembah Klang mengakui dia sangat pemalu dan kurang bercakap sejak di bangku sekolah lagi.Katanya, dia sukar berinteraksi dengan orang, tidak bersosial namun sejak menyertai MYPW, 100 peratus perubahan berlaku apabila menjadi orang lebih banyak berbual dan berkeyakinan tinggi.“Selepas penampilan pertama saya iaitu selang beberapa bulan ketika bersama MYPW, ramai terkejut dengan persembahan saya kerana ketika dalam gelanggang saya seperti mendapat aura lain.“Jadi gusti profesional ini membantu saya daripada segi itu," katanya yang memulakan karier dengan penampilan bertopeng dan berhijab.Ditanya mengenai apa reaksi rakan-rakannya ketika dia berazam untuk menjadi ahli gusti profesional, Phoenix mengakui niatnya itu seakan tidak dipeduli serta dipandang remeh.“Memang mereka tahu saya minat gusti tapi mereka seakan tidak peduli apabila saya menyatakan hasrat untuk menceburi bidang ini.“Mereka boleh bertanyakan kepada saya mengenai kewujudan gusti di Malaysia dan memperlekehkan kemahuan saya," katanya yang setakat ini sudah mengharungi 10 perlawanan.Phoenix yang sudah mendapat jemputan untuk beraksi di luar negara turut berharap dia dan pasukan mampu mengharumkan nama negara dan lebih banyak wanita tampil menceburi bidang ini, tatkala dia berazam menjadikan sukan ini sebagai satu kerjaya tetap.“Sebaik video saya beraksi tular, ramai wanita mula menghantar mesej peribadi di Instagram bertanyakan bagaimana untuk menjadi seorang ahli gusti, saya kira ini permulaan yang baik untuk negara melahirkan lebih ramai ahli gusti wanita,” katanya.PROFILNama gelaran: Nor 'Phoenix' DianaTempat lahir: Kuala LumpurTarikh lahir: 14 Disember 1999Berat: 43kgTinggi: 155smIdola: Sasha BanksTahun aktif: 2015 hingga sekarangBilangan adik-beradik: Anak keempat daripada lima beradikGerakan penyudah: Tilt-a-Whirl Cutter', 'Crossbody' dan 'Suicide Dive'.Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 10:52 PM (Mymetro)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.ibnuhasyim.com/2019/07/gadis-berhijab-gegarkan-dunia-tawan.html