Ftklaa Dilarang Sertai Agm Olahraga Malaysia
V Pulainthiran (kanan) dari FTKLAA pada mesyuarat ahli majlis Olahraga Malaysia. (Gambar Olahraga Malaysia)
KUALA LUMPUR: Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (FTKLAA) dilarang menyertai mesyuarat agung tahunan (AGM) Olahraga Malaysia pada 15 Jun ini.
Melalui pindaan perlembagaan baru-baru ini, FTKLAA perlu bergabung dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan sebelum AGM, di mana pemilihan akan diadakan untuk pemegang jawatan baharu.
Olahraga Malaysia bertegas perlembagaan dipinda itu berkuat kuasa 15 Jan lalu, apabila ia diluluskan Pejabat Pesuruhjaya Sukan, bukannya selepas AGM.
FTKLAA berkata, masa terlalu singkat untuk menubuhkan badan induk.
Disebabkan penggabungan dijangka memerlukan masa, FTKLAA akan terlepas peluang membuang tiga undi dan bertanding jawatan kepimpinan.
Persatuan Olahraga Labuan kini ahli sekutu Olahraga Malaysia tanpa hak mengundi, manakala Persatuan Olahraga Putrajaya tidak menganggotai badan kebangsaan itu.
Ini merupakan tamparan hebat buat FTKLAA yang menjadi pemain utama dalam olahraga kebangsaan selama berdekad.
Pegawainya berkata, FTKLAA menjadi ahli gabungan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) lebih 40 tahun, justeru Putrajaya dan Labuan patut diberikan status sama juga.
“Menubuhkan sebuah entiti bukannya isu, tetapi kami tidak diberi masa mencukupi untuk melakukan penggabungan. Sekarang, kami tidak dapat menyertai AGM,” kata seorang pegawai.
FTKLAA tidak menerima jemputan rasmi untuk menghadiri mesyuarat ahli majlis Olahraga Malaysia semalam. Presidennya, V Pulainthiran dijemput sebagai ahli majlis dilantik.
Setiausaha FTKLAA, S Murugesu yang turut hadir, dibenarkan menyertai mesyuarat itu, tetapi permintaannya untuk melakukan penggabungan selepas AGM ditolak.
Timbul spekulasi Olahraga Malaysia menolak penangguhan penggabungan untuk menghalang Pulainthiran mencabar Presidennya, Shahidan Kassim.
Pulainthiran berkata, beliau tidak berniat merebut jawatan tertinggi itu dan fokus utamanya ialah pembangunan olahraga.
Pada 2022, Pulainthiran bertanding jawatan timbalan presiden menentang Fadzil Abu Bakar dari Persatuan Olahraga Melaka dan terikat 18-18 undi. Undi penentuan oleh Pengerusi AGM, SM Muthu diberikan kepada Fadzil.
Semalam, Shahidan dilaporkan berkata, beliau mengalu-alukan sebarang cabaran dan akan berundur jika ada calon lebih sesuai.
Pulainthiran berkata, beliau telah memanggil mesyuarat majlis pada Sabtu untuk membincangkan nasib FTKLAA serta beberapa kekeliruan mengenai perlembagaan dipinda.
Antara kekeliruan itu ada kaitan keputusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan memaksa Olahraga Malaysia mengadakan pemilihan menjelang 30 Jun ini.
Olahraga Malaysia merancang menangguh pemilihan ke tahun depan, selepas pindaan perlembagaan diluluskan.
Antara pindaan perlembagaan itu ialah perubahan tempoh sepenggal pemegang jawatan daripada tiga tahun dengan maksimum tiga penggal kepada empat tahun yang dihadkan kepada dua penggal, selain nama KOM ditukar kepada Olahraga Malaysia.
Pegawai FTKLAA berkata, acara itu akan diteruskan mengikut jadual dalam tempoh tidak diiktiraf Olahraga Malaysia kerana ia masih entiti sah yang didaftarkan dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/03/ftklaa-dilarang-sertai-agm-olahraga.html