Fazliyaton Aktif Bersama Ngo Membantu Asnaf
Pada mulanya Fazliyaton Daud sekadar terlibat dalam aktiviti kemasyaraktan membantu golongan asnaf secara ‘sekali bantu’ apabila ada yang dirasakan perlu dibantu.
Perkara itu dilakukan di atas tanggungjawab membantu sekadar yang termampu. Beliau tidak sampai hati untuk membiarkan mereka yang memerlukan bantuan, lalu diusahakan bantuan biarpun sekadar sedikit.
Ibu kepada lima cahaya mata yang berumur di antara 19 hingga 30 ini mula melibatkan dengan kerja kesukarelawan ini apabila kembali menetap di Kampung Rusa, Jelawat. Bachok, Kelantan, kampung asalnya selepas berada di luar Kelantan dalam tempoh masa agak panjang.
Bersyukur dengan rezeki dikurniakan Allah yang diperoleh sebagai kontraktor, beliau ingin mengkongsi sekadar yang termampu kerana sedar biarpun tidak berstatus jutawan yang mempunyai banyak harta, tetapi ada golongan yang perlu dibantu seadanya.
Bermula dengan memberi bantuan secara individu, Fazliyaton mula menyertai beberapa NGO kemudiannya. Penglibatan di dalam NGO banyak membuka mata Fazliyaton bahawa sebenarnya banyak keluarga dan individu yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kelangsungan hidup di sekeliling kita.
Beliau kemudian bertemu dengan beberapa rakan sealiran, mencetuskan cadangan untuk menubuhkan persatuan bagi memudahkan aktiviti menyalurkan bantuan secara skala lebih besar dan berorganisasi.
Biarpun sudah berada di dalam NGO, beliau berpendapat tidak salah untuk menubuh NGO baharu yang akan dipimpin beliau sendiri. Bukan kerana inginkan jawatan, tetapi ia dirasakan perlu kerana lebih banyak lebih baik.
Setiap NGO tentu ada sasaran atau matlamat tersendiri. Cara berbeza tentu sekali memberi hasil yang berbeza. Apa yang penting ia memberi manfaat kepada golongan sasar.
Atas matlamat itulah, Fazliyaton dengan beberapa orang aktivis masyarakat mula mendaftarkan NGO Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan pada Mac 2021 dengan nombor pendaftaran pertubuhan: PPM-006-03-30032021
Menurutnya lagi, pada peringkat awal, sumber untuk mengerakkan aktiviti lebih menggunakan wang ahli jawatankuasa, sehinggalah ada individu dan organisasi lain turut menyalurkan bantuan.
“Pada peringkat awal, tidak banyak aktiviti bantuan dapat dilakukan kerana berdepan kengkangan kewangan dan kekurangan pengalaman,” ujar Fazliyaton.
Tambahnya lagi, biarpun tidak banyak sumbangan yang diterima, tetapi keadaannya lebih baik berbanding pada awal penubuhan. Semakin banyak individu yang sudi membantu.
Untuk menjayakan aktiviti, Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan turut melakukan kerjasama atau mengajur bersama dengan NGO lain. Antara NGO yang sering berganding dengan Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan melakukan aktiviti ialah Pertubuhan Chempaka Puteh, Rantaian Kasih Malaysia Negeri Kelantan (IKasih Kelantan), Thirdforce Kota Bharu, Persatuan Busana Kelantan dan lain-lain.
Antara aktiviti dilakukan Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan menhulurkan bantuan makanan, wang, keperluan dapur, pakaian, peralatan perubatan, keperluan pesakit kronik dan sebagainya.
Menurut Fazliyaton, Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan akan terus menyantuni golongan yang memerlukan bantuan, dan berharap lebih banyak lagi pihak yang sudi menyumbang.
Pihak yang ingin menyumbang boleh dilakukan melalui akaun bank: 100-5055-000000-084 (MBSB).
Untuk maklumat lanjut boleh berhubung dengan Fazliyaton sendiri di talian 011-1941-3639
Masyarakat memerlukan lebih banyak individu seperti Fazliyaton yang bersedia melakukan aktiviti kesukarelaan dan membantu masyarakat yang memerlukan sokongan dan bantuan untuk menikmati kehidupan lebih baik.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://hwaliman.blogspot.com/2022/03/des.html