Ernie Zakri Cari Protege Ada Aura
Mentor Milenia 2019 kembali dengan format serta pengisian terbaharu dan segar dalam menjanjikan persaingan hebat dalam kalangan mentor untuk menyerlahkan bakat protege masing-masing.
Lebih menarik, dua bunga diperkenalkan dalam program terbabit sebagai mentor iaitu Stacy dan Ernie Zakri, di samping tiga lagi penyanyi lelaki terbaik tanah air iaitu Akim Ahmad, Black dan Hazama.
Bakal menemui penonton secara langsung pada 27 Oktober ini menerusi TV3, semua mentor memperkenalkan protege hasil pemilihan yang dibuat menerusi beberapa uji bakat.
Bagi Ernie, dia mencari seseorang yang mempunyai daya tarikan tersendiri serta pandai membawakan pelbagai genre lagu supaya anak didiknya dapat menyerlahkan bakat mereka setiap minggu.
“Saya cari protege yang ada aura tersendiri supaya ketika penonton melihat persembahannya, mereka akan tertarik.
“Pakej antara aspek penting yang saya cari kerana sebolehnya saya tidak mahu penonton jemu melihatnya beraksi setiap minggu. Tiada rupa itu belakang cerita, asalkan dia ada aura apabila bernyanyi di pentas,” katanya.
Jika selama ini pelantun lagu Ku Bersuara itu bertindak sebagai guru vokal dan mendidik ramai penyanyi hebat tempatan, Ernie memberitahu kali ini cabaran yang dipikul lebih besar kerana harus memastikan persembahan yang dibuat anak didiknya mampu menawan hati juri dan peminat.
“Kalau ikutkan ramai juga artis yang minta saya ajar mereka mengenai teknik nyanyian dan vokal. Malah, saya juga selalu berkongsi ilmu yang ada dengan mana-mana penyanyi yang meminta bantuan.
“Meskipun proses mendidik itu sudah menjadi kebiasaan tetapi cabaran kali ini amat besar dan sedikit-sebanyak beri tekanan kerana saya perlu pastikan protege saya bersedia sepenuhnya serta mahir dalam setiap lagu yang dibawakan,” katanya.
Ditanya, adakah dia mencari protege yang mempunyai jumlah pengikut dan ada kelompok peminat tersendiri, Ernie berkata, dia tidak kesah asalkan protege yang dididik mempunyai ilmu dalam nyanyian.
“Kalau protege saya terkenal dalam media sosial, itu bonus. Memang ada Insta Famous yang datang sewaktu uji bakat berlangsung.
“Kalau saya dapat itu bonus kerana sekurang-kurangnya dia dapat menarik peminat untuk mengundinya nanti.
“Saya tidak menolak atau membantah kerana pertandingan ini memerlukan undian peminat, jadi kalau dapat yang terkenal, saya harap dia gunakan peluang itu sebaik mungkin,” katanya.
Hazama cari penyanyi pop
Mengakui Mentor Milenia 2019 membariskan penyanyi handalan, Hazama berkata, musim kali ini dianggap sengit ditambah dengan kemunculan dua mentor wanita.
Namun, Hazama, 35, atau nama penuhnya Hazama Ahmad Azmi, akan cuba sehabis baik dalam membentuk dua protege menjadi penyanyi unggul.
“Saya nak cari seseorang yang tahu apa kelebihan dia dan ingin melahirkan penyanyi pop musim ini kerana cabang bagi genre ini luas.
“Kalau boleh, saya tidak mahu protege yang ada kontroversi. Namun, kalau ada jumlah pengikut yang ramai dalam laman sosial, saya suka kerana itu adalah bonus.
“Ini kerana, protege yang ramai pengikut dapat meraih undian dengan mudah tetapi dia perlu ada kualiti juga.
“Namun, andai tiada sekali pun, saya tidak hampa kerana bagi saya, populariti akan menyusul seiring dengan kualiti persembahan yang dibawakan nanti,” katanya.
Mengakui dirinya menitikberatkan soal penampilan diri protegenya nanti, Hazama bagaimanapun enggan identiti diubah sepenuhnya asalkan tampil bergaya dalam setiap persembahan.
“Saya akan memantau tetapi tidak akan melarang fesyen yang ingin digayakan. Bagi saya, biarlah protege saya memilih identitinya yang tersendiri.
“Saya bimbang jika ubah secara drastik. dia tidak selesa dengan imej yang digayakan. Apapun kekemasan jadi keutamaan,” katanya.
Bersedia untuk menurunkan ilmu kepada dua protege nanti, Hazama akan berusaha sehabis baik dan menggilap bakat mereka.
“Sebagai mentor, saya akan menurunkan ilmu yang ada dan membantu dalam setiap persembahan.
“Selebihnya adalah usaha protege itu. Cuma, tugas saya dan rakan lain adalah bagi memastikan mereka diberi ilmu yang selayaknya sepanjang pertandingan.
“Menang atau kalah adat pertandingan. Ia rezeki masing-masing. Cuma, apa diharapkan, protege bersama saya nanti perlu memberikan yang terbaik,” katanya.
Mentor Milenia siaran TV3 dijadualkan menemui penonton setiap Ahad bermula 27 Oktober, pada jam 9 malam selama 10 episod.
Juara Mentor Milenia 2019 akan memenangi RM100,000 berserta trofi. Program itu dihoskan Shuk Sahar dan Elly Mazlein.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://artismeletop.blogspot.com/2019/10/ernie-zakri-cari-protege-ada-aura.html