Erl Tawar Perkhidmatan Terhad Bermula Isnin
   Bernama

ERL  sebelum ini menghentikan perkhidmatannya pada 4 April selepas  merekodkan bilangan penumpang sangat rendah semasa fasa 1 PKP dari 18  hingga 31 Mac. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan memulakan jadual  perkhidmatan terhad mulai Isnin ini berikutan pengumuman Perdana Menteri  Muhyiddin Yassin hari ini untuk membenarkan kebanyakan perniagaan  kembali dibuka dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa 4.
 ERL dalam kenyataan di sini hari ini berkata, ia juga akan  menggabungkan perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit, dari 6 pagi  hingga 11 malam setiap hari.
 “Tren akan beroperasi dengan kekerapan setiap 20 minit pada waktu  puncak pada hari kerja dan setiap 30 minit di luar waktu puncak, hujung  minggu dan cuti umum negara.
 “Pada bulan Ramadan, waktu puncak petang akan diselaraskan  pada jam 4 hingga 6 petang untuk memberi lebih banyak masa kepada orang  ramai pulang dengan selamat untuk berbuka puasa dan tiada perkhidmatan  tren sebelum 6 pagi dan selepas tren terakhir berlepas pada 11 malam,”  menurut kenyataan itu.
     Ia juga berkata, waktu perjalanan antara KL Sentral dan Lapangan  Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah 35 minit (KLIA2: 39  minit) dan di KL Sentral, semua pelepasan dan ketibaan akan melalui  Stesen Transit KLIA.
 Sementara itu, jadual perkhidmatan terhad itu akan berkuatkuasa  selama sebulan dan ia akan dikaji semula dan diselaraskan sekiranya  perlu untuk memenuhi pertambahan bilangan penumpang, kata ERL.
 “Jadual baru itu akan diterbitkan 5 hari sebelum dikuatkuasakan,  selepas berunding dan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa yang  berkaitan,” katanya.
 ERL sebelum ini menghentikan perkhidmatannya pada 4 April lalu  selepas berunding dengan pihak berkuasa berkaitan selepas merekodkan  bilangan penumpang yang sangat rendah semasa fasa 1 PKP dari 18 hingga  31 Mac.
 Menurut kenyataan itu, ERL mengamalkan langkah keselamatan perjalanan  semasa pelaksanaan PKP, termasuk menasihatkan penumpang memakai penutup  hidung dan mulut ketika menaiki tren dan menggalakkan mereka  menggunakan sistem tanpa tunai untuk pembelian tiket.
 Syarikat itu juga berkata jadual penuh tren dan kemas kini mengenai langkah berjaga-jaga, penumpang boleh layari www.KLIAekspres.com atau KLIA Ekspres Facebook.
Untuk pertanyaan berhubung pemulangan semula bayaran dan bantuan  lebih lanjut, penumpang boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di  03-2267 8000 (Isnin hingga Jumaat 8:30 pagi – 6 petang waktu tempatan),  menurut kenyataan itu.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/05/erl-tawar-perkhidmatan-terhad-bermula.html