Enam Pemimpin Cabang Pkr Pahang Di Pecat Kerana Khianat
KUANTAN: Majlis Pimpinan PKR Negeri (MPN) Pahang menghantar enam nama pemimpin peringkat cabang negeri itu kepada Lembaga Disiplin Keadilan untuk tindakan pemecatan keahlian.
Mereka, Ketua Cabang Paya Besar, Al Bakri Salim; KEtua Cabang Pekan, Jefri Jaafar Tukemin; Naib Ketua Cabang Bera, P. Saravanan; Ketua Cabang Rompin, Rabidin Kasmawi; Ketua Cabang Bentong, Dasimah Zainuddin; dan anggota Cabang Rompin, Sitarunisah telah didapati terlibat dalam salah laku gerakan hasutan untuk mengkhianati parti.
Menurut Pengerusi MPN Pahang, Fuziah Salleh, semua pemimpin itu giat mempromosi Perikatan Nasional (PN) kepada anggota akar umbi dengan maksud mengajak mereka meninggalkan PKR.
Katanya, setengah daripada mereka juga tanpa berselindung telah memburukkan kepimpinan parti sama ada peringkat negeri mahupun pusat termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjadi sasaran kecaman mereka.
“Dengan ini MPN Pahang menyarankan Lembaga Disiplin Keadilan untuk mengambil tindakan pemecatan keahlian ke atas mereka berkuatkuasa serta merta.
“Mereka ini juga didapati menjadi dalang di sebalik usaha keluar parti beramai-ramai yang dirancang pada 15 Mac ini di Hotel Seri Bera, Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Fuziah, teguran secara lisan telah dibuat namun mereka masih berdegil malah semakin giat dan aktif meneruskan gerak kerja mencemarkan imej parti termasuk cubaan menghasut seramai mungkin anggota parti keluar PKR.
Katanya, keputusan melapor kepada Lembaga Disiplin Keadilan diambil berdasarkan laporan dan bukti lengkap yang diperolehi dari anggota parti di peringkat akar umbi.
“Kita juga mempunyai bukti melalui rakaman audio atau tangkap layar artikel mahupun status mereka di media sosial seperti aplikasi Whatsapp dan Facebook. Dari sudut moral dan etika, perbuatan mereka ini jelas salah dan bertentangan dengan peraturan disiplin yang telah ditetapkan oleh parti.
“Kita berharap dengan tindakan Lembaga Disiplin Keadilan memecat mereka ini, tiada lagi duri dalam daging yang boleh memecah belahkan kesatuan di dalam parti,” katanya.
Beliau menjelaskan, untuk ketika ini pentadbiran Cabang PKR yang kosong itu akan diterajui sementara oleh MPN.
Katanya, parti itu tidak akan berkompromi dengan pengkhianat dalam PKR ketika ini dan di masa hadapan. #sumberhttp://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2020/03/enam-pemimpin-cabang-pkr-pahang-di.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+blogspot%2FLWFdy+%28Pahang+Daily+Online%29